08 Januari 2014

Najib dibidas lagi “Adakah beliau raja berkuasa mutlak yang tidak boleh disentuh barang sedikit pun?





Kadir Jasin: Najib 'keramat hidup' tak boleh disentuh?

Tokoh wartawan A Kadir Jasin mempertahankan siri kritikannya terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya boros, cemerkap menguruskan kewangan dan tidak sensitif terhadap perasaan rakyat.

Ini kerana, menurut bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times itu, masih banyak masalah membimbangkan dalam pentadbiran Najib, selain kesan negatif rasionalisasi terhadap ekonomi.



“Adakah beliau raja berkuasa mutlak yang tidak boleh disentuh barang sedikit pun?

“Atau adakah dia keramat hidup yang bebas daripada segala bentuk kesilapan?” sindir Kadir.

Menulis di blognya semalam, Kadir juga membangkitkan langkah Najib dua tahun berturut-turut bercuti di luar negara dan kemudian “menjanjikan khabar buruk” kepada rakyat dengan memansuh dan mengurangkan subsidi secara serentak.

Dalam tulisan panjang itu, Kadir juga membangkitkan soal kemerosotan nilai ringgit, masalah defisit belanjawan, hutang negara yang makin meruncing serta penjualan aset bagi mengatasi masalah kewangan negara.

“Ini bukan cerita khayalan rekaan saya. Bukan fitnah. Ini adalah kata Bank Dunia yang kita menjadi anggotanya,” katanya lagi. ~mk


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan penasihatnya yang berjanji tiada kenaikan harga ketika kempen pilihan raya lalu, kata Datuk A Kadir Jasin. 

Penyokong pro kerajaan patut sedar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh dikritik akibat keputusan Putrajaya untuk memotong subsidi rakyat hingga menyebabkan kenaikan harga, kata bekas pengarang akhbar yang ada kaitan dengan Umno.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menerusi tulisan dalam blognya, berkata Najib dan penasihatnya patut ditegur apabila rakyat memberi reaksi terhadap cara Putrajaya mengendalikan ekonomi negara.

“Najib dan penasihatnya ketika pilihan raya umum yang berjanji kepada rakyat bahawa harga tidak akan dinaikkan. Jadi, sekarang siapa yang mungkir janji,” katanya dalam posting terbaru dalam blognya, The Scribe semalam.

Sejak September, Putrajaya memperkenalkan beberapa siri kaedah pemotongan kos untuk mengawal defisit bajet yang kronik dan ini termasuk mengurangkan subsidi minyak, pemansuhan subsidi gula, membenarkan peningkatan tarif elektrik dan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Putrajaya juga dikatakan sedang menyemak kadar tol manakala rebat 20% yang ditawarkan kepada pengguna kerap lebuh raya di Lembah Klang dikatakan akan dimansuhkan.

Peningkatan kos barangan dan perkhidmatan juga mencetuskan bantahan pada malam sambutan tahun baru oleh organisasi bukan kerajaan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka Turun, sehingga menarik penyertaan lebih daripada 10,000 orang.

Mempertahankan kritikan lantangnya terhadap Najib, Kadir berkata, pengkritiknya yang mendakwa beliau hanya membelasah perdana menteri mengenai pengurusan ekonomi tetapi tidak menawarkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar.

Kadir berpendapat pengkritiknya tidak membaca ‘nasihat panjang’ yang diberikan kepada Najib dan kerajaan menerusi blognya dan melalui beberapa tulisannya di tempat lain.

Katanya, beliau mengkritik Putrajaya sejak 2006 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri susulan daripada peningkatan drastik harga minyak, gas memasak yang kemudiannya diikuti dengan kenaikan harga barangan asas dan perkhidmatan.

“Saya menulis beberapa rencana mengingatkan kerajaan mengenai kesan buruk tindakan itu dan bagaimana mengurangkan beban pengguna,” kata pemilik Berita Publishing yang menerbitkan majalah Malaysian Business itu.

Beliau berkata, bukan tanggungjawabnya untuk mengajar Putrajaya mengenai pengurusan ekonomi kerana ia adalah bidang kuasa kementerian, agensi kerajaan dan penasihat perdana menteri yang ramai, hebat dan tersohor.

“Tugas saya adalah memberi maklum balas dan membuat kritikan. Malangnya ada pihak menganggap kritikan sebagai penentangannya. Inilah akibatnya apabila masyarakat tidak berfikiran kritis ditambah pula oleh sikap partisan yang melampau,” katanya.

Kadir berkata, beliau berulang-kali mengatakan bahawa subsidi yang tidak lestari (unsustainable), mengherotbenyotkan (distort) ekonomi dan menyebabkan pergantungan terhadap kerajaan.

“Tetapi saya mempertikaikan cara kerajaan, khasnya pada zaman Abdullah dan Najib menguruskan subsidi, memantau dan mengawal kenaikan harga, mengagihkan penjimatan subsidi dan mengurangkan pembaziran sumber kewangan negara,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...