08 Januari 2014

350 POLIS DIPECAT TERLIBAT RASUAH !!!




Erdogan pada sidang media di Istanbul, baru-baru ini. REUTERS

Ankara: Turki memecat sekurang-kurangnya 350 pegawai polis di ibu negara Ankara dalam tempoh 24 jam semalam, ekoran siasatan rasuah yang menyasarkan orang yang dekat dengan kerajaan, demikian menurut laporan.

Kira-kira 250 orang, kebanyakannya dari luar ibu negara Turki itu, dilantik menggantikan tempat pegawai yang disingkirkan itu, yang akan menjalankan tugas di jabatan polis trafik dan balai polis daerah, lapor berita penyiaran NTV.

3 menteri letak jawatan

Beratus-ratus polis disingkirkan atau dipindahkan ke bahagian lain negara ini sejak siasatan rasuah bulan lalu. Tiga menteri Kabinet meletak jawatan selepas anak lelaki mereka ditahan dalam serbuan, kata laporan itu.

Perdana Menteri, Tayyip Erdogan menuduh polis dan badan kehakiman menjalankan perancangan kotor.

Penahanan dilakukan sebagai sebahagian daripada penyiasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan tender awam.

Mereka yang ditahan ketika serbuan 17 Disember lalu termasuk pegawai kerajaan dan ahli perniagaan yang rapat dengan Perdana Menteri. 

Penyingkiran terbaru dan penempatan semula lokasi bertugas pegawai polis dijalankan mengikut arahan kerajaan yang disiarkan pada tengah malam.

Agensi berita Dogan melaporkan mereka yang dilucutkan jawatan termasuk ketua jenayah kewangan, serta ketua unit anti-penyeludupan dan jenayah terancang.

Langkah itu diambil kerana mahu membendung kesan kebencian rakyat kepada kerajaan ekoran siasatan rasuah itu.

Ramai percaya penahanan dan penyingkiran pegawai polis terbabit menggambarkan pertikaian di kalangan ahli parti pemerintah Parti AK yang menyokong Erdogan, dan penyokong Fethullah Gulen, ulama Islam yang berpengaruh yang tinggal dalam buangan di Amerika Syarikat.

Ahli-ahli pergerakan Hizmet pimpinan Gulen dikatakan memegang jawatan penting dalam institusi seperti polis, kehakiman dan Parti AK sendiri.
AGENSI

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...