24 September 2013

HOT ! ADA HADIAH PALING BESAR DARI NAJIB & BN DALAM BAJET 2014....I LOVE PM!!!!




Penganalisis ramal GST bakal naikkan kemarahan rakyat

Penganalisis ekonomi tidak menolak GST adalah kaedah terbaik untuk mengutip wang dan menjana pendapatan negara, sekaligus pada masa sama membantu pertumbuhan ekonomi negara.

"Lebih awal kita laksanakan lebih pantas kita menyesuaikan diri, saya jangkakan lebih banyak penambahbaikan berlaku kepada ekonomi kita.

"Ia memperkasakan pengurusan cukai dan memberi kerajaan lebih banyak fleksibiliti dalam menguruskan kewangan awam," kata Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Dr Yeah mengakui langkah itu akan menyumbang kepada inflasi yang tinggi terutamanya selepas kenaikan harga minyak baru-baru ini, tetapi melihatnya sebagai satu "realiti kehidupan".

"Mengenai inflasi, ia adalah realiti kehidupan kerana kos hidup sentiasa meningkat dari tahun ke tahun, ia tidak ada bezanya.

"Tetapi yang menjadi kebimbangan ialah kawalan dan penguatkuasaan ke atas pelaksanaan GST, ia bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan berlebihan dan kenaikan harga yang tidak munasabah," katanya.

Fellow Kanan Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI), Dr Michael Lim Mah Hui, berkata pelaksanaan GST adalah satu langkah tidak adil kerana kumpulan berpendapatan rendah terpaksa membayar pendapatan boleh guna mereka lebih tinggi daripada mereka yang kaya.

"GST secara dasarnya adalah kaedah berkesan untuk mengutip wang.

"Namun, secara jelasnya GST dilihat akan menghukum kumpulan yang lebih berpendapatan rendah kerana peratusan pembayaran GST daripada pendapatan boleh guna mereka akan lebih tinggi daripada mereka yang kaya," katanya.

Lim berkata, pelaksanaan GST tidak kena pada masanya kerana kerajaan baru sahaja menaikkan harga minyak baru-baru ini di samping langkah pencegahan rasuah dan ketirisan yang masih lagi lemah.

"Kerajaan sepatutnya melihat dan menangani isu ketirisan serta rasuah yang lebih merugikan orang ramai," katanya.

Lim juga mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan berbeza untuk meningkatkan perolehan negara antaranya meningkatkan kadar cukai bagi mereka yang kaya, meningkatkan keuntungan modal dan memperkenalkan semula cukai duti harta pusaka.

"Putrajaya perlu memperkenalkan polisi yang lebih berkredibiliti untuk mengawal defisit dan membawa pendapatan dengan cara yang lebih berkesan," katanya merujuk kepada tiga kaedah yang dicadangkannya.

Malaysia mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, iaitu jumlah yang kerajaan belanjakan lebih daripada jumlah yang diperolehi, iaitu 4.5 peratus daripada Keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun lalu. Sementara itu, hutang kerajaan berbanding KDNK ialah pada 53.1 peratus, hampir mencecah set siling kerajaan iaitu 55 peratus.

Lebihan akaun semasa Malaysia juga jatuh kepada RM2.6 bilion pada suku kedua daripada RM8.7 bilion awal tahun ini ketika eksport jatuh selepas berita mengenai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mengurangkan dolar.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia(UUM), Prof Amir Hussin Baharuddin meramalkan langkah itu akan menerima aksi marah daripada orang ramai khususnya selepas kenaikan minyak.

"Demam 20 sen belum habis lagi, kalau GST ini diperkenalkan ia akan parah lagi.

"Tunggulah dua tiga tahun lagi, sekarang bukan masanya lagi. Kerajaan perlu juga pertimbangkan persepsi rakyat, lebih baik kerajaan berjimat dalam belanja dahulu sebelum mahu perkenalkan GST," katanya.

Selepas kenaikan minyak baru-baru, orang ramai meluahkan kemarahan dan menyifatkan ia satu bebanan kepada mereka, malah Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan, berkata pemandu teksi mengeluh mengenai keadaan selepas pengumuman Putrajaya tersebut.

"Kami ini pemandu teksi, hari-hari guna minyak. Bila minyak naik, kos penyelenggaraan juga naik hampir 30 ke 40 peratus.

"Barang keperluan harian, semuanya sudah naik," kata Amran ketika dihubungi The Malaysian Insider.


Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengakui bahawa kerajaan akan cuba memasukkan GST dalam Bajet 2014, yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan, Oktober ini.

Malah, Najib dalam pembentangan Bajet 2013 tahun lalu, turut menyatakan bahawa kerajaan akan cuba menstruktur semula sistem cukai negara dalam memastikan defisit perbelanjaan kerajaan dapat dikurangkan.

Najib berjanji untuk mengurangkan defisit sebanyak 4.5 peratus daripada KDNK, Malaysia antara negara yang mempunyai hutang tertinggi di Asia.

Agensi penarafan kredit dunia, Fitch Ratings turut meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif, serta mempersoalkan langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan terutamanya selepas berakhir pilihan raya baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...