23 September 2013

PUNCA KU LI TIDAK CABAR NAJIB TERBONGKAR

Kenapa Ku Li tak jadi bertanding?

Tindakan Ku Li itu amat bijak kerana beliau tahu bukan mudah untuk menawan 146,000 orang perwakilan dalam pemilihan Umno pada 19 Oktober depan.

ANALYSIS



 Sabtu lalu, 21 September, ramai menunggu ketibaan wakil ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menghantar borang pencalonan bagi jawatan Presiden Umno di PWTC.

Tetapi sampai jam 5 petang, wakil Ku Li tidak datang menandakan Ku Li yang dihebohkan sebelum ini akan bertanding jawatan Presiden Umno tidak jadi berbuat demikian.

Menurut pemerhati politik, tindakan Ku Li itu amat bijak kerana beliau tahu bukan mudah untuk menawan 146,000 orang perwakilan dalam pemilihan Umno pada 19 Oktober depan. Kalau perwakilan masih 2,600 orang mungkin Ku Li mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sabtu lepas, Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno buat penggal kedua.

Jadi Ku Li tak mahu buang duit dan buang masa. Buat apa beliau habiskan duit (untuk jenteranya) kerana belum tentu perwakilan akan mengundinya setelah “dikepung” oleh semua perhubungan Umno negeri yang mahu kepimpinan Najib-Muhyiddin dikekalkan buat penggal kedua.

Ku Li yang seangkatan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Ghafar Baba dan Tun Musa Hitam akhirnya mengakui bahawa beliau tidak lagi relevan dalam Umno.

Dicabar

Malah jawatan Ketua Umno Bahagian Gua Musang yang disandangnya sejak 51 tahun lalu dicabar Ketua Pemuda Bahagian, Datuk Bazlan Baharuddin.Sebelum ini Ku Li sudah umum tidak mahu bertanding jawatan Ketua Bahagian tetapi beliau didesak akar umbi agar mempertahankan jawatan.

Memang mustahil Ku Li kalah tapi undi yang dipungut Bazlan akan menunjukkan kepimpinan Ku Li sudah tidak diterima sepenuhnya ahli Umno Gua Musang. Ia tentu memalukan Ku Li yang selama ini dianggap sebagai arkitek pembangunan Gua Musang.

Kalau di peringkat bahagian, sokongan penuh kepadanya sudah tidak jitu, mana mungkin beliau mahu mencabar jawatan Presiden Umno? Inilah yang difikirkan Ku Li semasak-masaknya.

Kali pertama dan terakhir beliau bertanding jawatan Presiden Umno ialah pada 24 April 1987. Beliau mendapat 37 pencalonan tetapi kalah tipis di tangan Dr Mahathir yang menang dengan majoriti 43 undi. Kekalahan itu menyebabkan penyokongnya mengheret kes itu ke mahkamah yang menyebabkan Umno dibatalkan pendaftarannya pada tahun 5 Februari 1988.

Ku Li tidak dibenarkan menyertai Umno (baru) oleh Dr Mahathir pada tahun 1988 setelah Umno (baru) dihidupkan. Ini menyebabkan beliau menyertai Semangat 46 untuk memulihkan Umno lama.

Membubarkan

Dua kali Semangat 46 bergabung dengan DAP dan PAS untuk menjatuhkan BN dalam dua pilihanraya umum 1990 dan 1995, akhirnya Ku Li membubarkan parti itu pada tahun 1996 setelah rakyat menolak mereka dan tetap bersama BN.

Ku Li menyertai semula Umno pada tahun 1996.Pada tahun 1996, beliau cuba bertanding kerusi Naib Presiden Umno tetapi disekat kerana tidak cukup kuota (15 pencalonan).

Pada tahun 2000, beliau cuba bertanding kerusi Timbalan Presiden Umno menentang Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) tetapi tidak cukup kuota. Pada tahun 2004, beliau cuba bertanding kerusi Presiden menentang Pak lah tapi gagal mendapat kuota juga.

Pada tahun 2008, beliau juga mahu menentang Pak Lah yang akhirnya Pak Lah berundur tetapi tidak cukup kuota untuk menentang Najib. Pada tahun 2013, Najib sudah menghapuskan kuota tetapi semua Pengerusi Perhubungan negeri memutuskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan, maka “kepungan” mereka menyukarkan peluang Ku Li untuk menang. Apatah lagi bilangan perwakilan bertambah dari 2,600 orang kepada 146,000 orang.

Jadi Ku Li fikir sebaik-baiknya tak payahlah beliau bertanding jawatan Presiden Umno. Buang masa dan buang duit sahaja. Najib bukan seangkatan dengannya.

Kalau bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib masih dalam Umno, mungkin Mat Taib yang layak menentang Najib kerana beliau seangkatan dengan Najib dan Muhyiddin menjadi Naib Presiden Umno pada tahun 1993.

Berlalu

Zaman Ku Li yang pernah menjadi Naib Presiden Umno dari tahun 1974 hingga 1981 sudah berlalu. Maka inilah penggal terakhir beliau menjadi ahli parlimen Gua Musang. Dalam lipatan sejarah, jasanya membangunkan Bank Bumiputera, Pernas dan Petronas tetap dikenang.

Ku Li di zaman mudanya (37) dilantik Pengerusi Eksekutif Petronas bertaraf menteri. Ini bermakna Tun Razak mengakui kehebatan Ku Li yang masih muda itu. Ku Li banyak terhutang budi kepada Tun Razak. Maka tidak wajar Ku Li mencabar Najib yang pernah bekerja di bawahnya di Petronas.

Justru itu tindakan Ku Li tidak mencabar Najib merupakan satu tindakan yang wajar walaupun Najib adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama yang gagal membawa BN menang majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum pertama yang diketuainya.

Ketika ada kuota, Ku Li cuba bertanding jawatan Presiden Umno tetapi bila tiada kuota, Ku Li tidak bertanding. Maka keputusan Ku Li kena dihargai Najib supaya Najib memberi jawatan yang sesuai kepada Ku Li. Alangkah ruginya kalau pemikiran Ku Li tidak dimanafaatkan oleh kerajaan Najib.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...