NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI ATAU BERHUTANG TINGGI?
DALAM SISTEM KEWANGAN, penarafan kredit yang dijalankan oleh Agensi Penarafan Kredit seperti Standard & Poor's, Moody's dan Fitch Ratings adalah penting untuk mengukur tahap keupayaan kewangan sesebuah negara. Dalam hal ini, semakin rendah penarafan yang diberi bermakna semakin tinggi risiko untuk negara tersebut untuk gagal membayar hutang (bon) yang diterbitkan.
Oleh sebab itulah, tiga minggu lepas, apabila agensi penarafan Fitch menurunkan taraf unjuran kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif, ia cukup membimbangkan saya.
Mengapa Turunnya Penarafan Kewangan Negara?
Mengikut laporan Fitch, mereka menurunkan kadar penarafannya kerana melihat pengurusan kewangan kita adalah lemah. Hutang negara meningkat dari 39.8% peratus daripada KDNK (GDP) pada tahun 2008 kepada 51.6% pada tahun 2011 dan 53.3% pada akhir tahun 2012. Bajet defisit pula meningkat dari 3.8% pada tahun 2011 kepada 4.7% pada tahun 2012.
Kesan daripada penurunan penarafan ini dapat segera dirasa apabila Ringgit Malaysia susut di paras tiga tahun terendah berbanding Dollar Amerika dan 15 tahun terendah berbanding Dollar Singapura. Mata wang yang rendah ini menyebabkan barangan import menjadi semakin mahal dan barangan eksport menjadi semakin murah yang tentunya menekan kedudukan akaun semasa negara.
Selain itu, kesan penurunan penarafan ini juga menyebabkan pasaran bursa saham dan juga nilai pasaran bon jatuh. Keadaan ini menurunkan keyakinan pelabur lalu menyekat aliran tunai dan kredit di dalam pasaran. Apabila ini berlaku, ia menambahkan bebanan kewangan awam lalu menjadikan sasaran mengurangkan defisit dan hutang awam semakin jauh. Kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih banyak wang untuk membayar faedah dan mengurangkan perbelanjaan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat.
Mengikut Fitch, berlakunya kelemahan pengurusan kewangan ini adalah kerana beberapa faktor. Pertama, jaminan kerajaan Malaysia kepada hutang luar jangka yang dibuat oleh agensi berkaitan kerajaan seperti 1MDB, PTPTN dan sebagainya yang meningkat kepada 15.2% daripada KDNK negara. Kedua, kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak oleh Petronas. Ketiga, janji-janji pilihan raya oleh BN yang akan menambah beban kewangan negara. Keempat, subsidi tinggi yang menyempitkan lagi ruang untuk mengurangkan defisit perbelanjaan dan hutang negara.
Selain itu, ada juga penganalisis yang menyatakan pemilihan UMNO pada 5 Oktober ini, rasuah, kronisme dan ketelusan dalam perbelanjaan kerajaan turut mempengaruhi penurunan penarafan ini.
Apakah Malaysia Akan Jadi Seperti Greece dan Sepanyol?
Apabila soalan ditanya, pendapat rakyat kita terus terbahagi kepada dua, bergantung kepada parti mana yang disokong. Saya ingin mengingatkan soal kesihatan ekonomi negara adalah tanggungjawab kita bersama dan untuk itu kita tidak perlu mempolitikkan isu hutang negara ini.
Kembali kepada soal ini, jika kita melihat kepada pengalaman dua negara di atas, memang mereka menghadapi krisis kewangan kerana hutang. Greece misalnya, pada tahun 2012 mempunyai pendapatan per kapita sebanyak USD$27,875 (atau RM84,112), iaitu jauh lebih tinggi berbanding Malaysia. Tetapi ekonomi Greece hancur disebabkan masalah hutang kerana semua bantuan kerajaan kepada rakyatnya adalah melalui pinjaman dari bank Jerman dan Perancis. Apabila mereka menghadapi masalah membayar hutang, Jerman dan Perancis mendesak Greece menaikkan kadar bunga, mengurangkan perbelanjaan awam dan mengecilkan pekerja sektor awam. Tindakan kerajaan Greece ini menyebabkan rakyat menderita, lalu berlakulah rusuhan di negara tersebut.
Sepanyol, sebuah negara maju dengan pendapatan per kapita pada tahun 2011 sebanyak USD$32,900 (atau RM100,098) juga begitu. Negara ini terlibat dengan hutang luar yang banyak kerana berlakunya spekulasi dalam pertumbuhan sektor hartanah. Akibatnya harga hartanah melambung tinggi dan ramai rakyat Sepanyol telah berhutang untuk melabur dalam sektor tersebut. Apabila rakyat gagal membayar hutang, maka sektor perbankannya runtuh menyebabkan kerajaan Sepanyol terpaksa berhutang untuk menghidupkan kembalinya bank-banknya yang hendak bankrap. Nisbah hutang kerajaan Sepanyol berbanding KDNK adalah 55.2% pada tahun 2009, tetapi telah melonjak naik dengan cepat menjadi 90.5% pada akhir tahun 2013.
Tetapi apabila dikaitkan dengan hutang kerajaan Malaysia yang banyak dan kemungkinan akan menjadi seperti dua negara Eropah di atas, saya ‘terpegun’ apabila terdapat juga pakar ekonomi yang menyatakan Malaysia tidak akan menjadi seperti Greece. Ini kerana walapun hutang negara adalah 53.1% daripada KDNK, tetapi 88.6% hutang negara adalah dari sumber dalaman dengan 11.4% sahaja pinjaman dari luar sedangkan hutang luar Greece adalah 93.2%. Greece juga adalah sebahagian dari Eurozone, dan oleh itu tidak mempunyai kawalan ke atas pengeluaran wangnya sendiri sedangkan Malaysia berdikari kerana sumber wangnya dikawal oleh Bank Negara. Betulkah begitu?
Bagi mendapat gambarannya, mari kita lihat hutang negara kita. Mengikut Laporan Ekonomi dan Beritasemasa.com, hutang negara pada tahun 1970 ialah RM3.5 bilion, 2001 RM121.4 bilion, 2005 RM189 bilion, 2007 RM247 bilion, 2009 RM348.6 bilion, 2010 RM390.356 bilion, 2011 RM438.467, suku kedua 2012 RM476.68 bilion, suku ketiga 2012 RM484.621, suku keempat 2012 RM505.7 bilion, dan suku pertama 2013 RM547.79 bilion menjadikan purata hutang rakyat Malaysia dalam lingkungan RM17,500 seorang.
Peningkatan kadar hutang ini sangat merisaukan. Namun, terdapat pakar ekonomi yang menyatakan kita tidak perlu risau dengan keadaan ekonomi negara kerana ia dalam keadaan yang cukup terkawal.
Kata pakar ekonomi ini, memang benar kerajaan mempunyai 50% hutang dari KDNK negara, tetapi hutang tersebut adalah untuk pembangunan sesioekonomi bagi menjaga kesejahteraan serta kesihatan rakyat. Katanya lagi, “prinsip ekonomi memerlukan kerajaan memainkan peranan jentera penyelamat.” Beliau menyatakan lagi “ekonomi Malaysia begitu resilient dan Malaysia tidak merasai ketenatan yang teruk, sungguhpun pertumbuhan ekonomi terrjejas.” Beliau juga menyatakan pendapatan per kapita negara adalah AS10,075, suatu peningkatan yang cemerlang.
Sebagai reaksi kepada apa yang dikatakan di atas, saya ingin timbulkan beberapa pertanyaan. Apakah untuk membangun, negara memerlukan pinjaman yang banyak? Sejauh manakah keberkesanan pinjaman tersebut dalam melonjakkan ekonomi negara? Hujah apakah yang boleh kita gunakan untuk menyatakan hutang yang banyak itu boleh menjana ekonomi negara? Saya timbulkan pertanyaan ini kerana bimbang sekiranya Malaysia sekali lagi terperangkap dalam krisis kewangan seperti yang berlaku pada tahun 1997-1998.
Betul, jumlah pendapatan per kapita kita meningkat, tetapi apakah kenaikan per kapita ini memberi kesan positif kepada kehidupan petani, nelayan dan pekerja kelas bawahan serta anak muda yang masih terkial-kial mencari peluang pekerjaan dan kehidupan? Inilah yang menjadi keperihatinan saya. Betul, saya bukan pakar ekonomi, tetapi dalam ilmu sains sosial, ia mengajar saya hutang yang banyak memberi kesan kepada kehidupan rakyat. Lihat sahaja kepada kes-kes gejala sosial yang berlaku pada hari ini. Tidakkah ia ada kaitan langsung dengan masalah ekonomi?
Atas hujah di atas, saya fikir sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas untuk mengelakkan satu lagi krisis kewangan berlaku. Kerajaan perlu peka kepada hutang negara kerana ia adalah bom jangka yang sedang menunggu waktunya untuk meletup. Ini bukan sekadar persepsi. Dua bulan lepas saya boleh menukar matawang ringgit dengan kadar USD1=RM2.98, tetapi pada hari ini ia telah menjadi USD1=RM3.32. Saya boleh katakan jika keadaan ini berterusan, hasrat untuk mencapai negara maju pada tahun 2020 hanyalah ilusi.
Langkah Mengatasi Masalah Hutang Negara
Hutang negara di atas adalah membimbangkan. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah segera—sama ada popular atau sebaliknya--untuk mengatasi masalah hutang ini. Pembentangan bajet pada 25 Oktober ini adalah peluang terbaik kerajaan untuk membetulkan kembali dasar kewangan dan fiskal negara.
Pertama, kerajaan perlu menilai semula janji menaikkan BR1M, mengkaji semula projek-projek mega yang lewat siap, mengatasi salahlaku urustadbir kewangan, menghapuskan ketirisan dan membanteras pemberian projek secara runding terus yang tidak menguntungkan negara. Projek gagal seperti PKFZ, bail-out kepada Perwaja, MAS yang melibatkan billion-billion ringgit perlu dilihat semula bagi mengelakkan kerajaan menanggung bebanan perbelanjaan dan hutang yang tidak perlu. Ini kerana kebocoran dan ketirisan ini menyumbang kepada kenaikan pinjaman dan hutang kerajaan setiap tahun.
Kedua, kerajaan perlu melihat semula keperluan memperkenalkan GST, biarpun tidak popular, tapi jika itu cara terbaik untuk kesihatan ekonomi negara, yakinkanlah rakyat bahawa ini adalah dasar percukaian yang baik. Saya faham rakyat akan membantah GST kerana yang muncul di kepala mereka ialah kenaikan harga barang disebabkan cukai yang dikenakan kerajaan, tetapi yakinlah rakyat boleh menerimanya jika penerangan yang jelas dapat diberikan kepada mereka.
Ketiga, kerajaan perlu mencari langkah untuk meningkatkan pendapatan negara. Menteri tidak boleh duduk diam. Untuk pertanian misalnya, cari jalan bagaimana hendak menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar satu produk pertanian terhebat di dunia. MARDI, FAMA dan lain-lain agensi di bawah Kementerian Pertanian perlu memikirkan hal ini, tidak cuup sekadar mengadakan pameran MAHA sahaja setiap tahun tetapi tidak ada peningkatan dari segi produk pertanian.
Keempat, kerajaan perlu menghentikan budaya ‘denial syndrome’ dan bersikap jujur dalam melaporkan situasi ekonomi negara. Jangan mengajar rakyat menilai ekonomi negara dari keupayaan pemberian BRIM dan tingginya nilai saham di BSKL sahaja sedangkan realitinya ekonomi negara dalam keadaan yang lemas. Kesihatan ekonomi negara perlu dilihat dari hutang negara yang kini mendekati tahap maksimum 55% daripada KDNK, defisit belanjawan dan juga nilai mata wang Ringgit yang semakin jatuh.
Jangan bawa lagi negara kita ke arah kekacauan krisis kewangan lagi. Bawalah negara ini ke arah negara berpendapatan tinggi, bukannya berhutang tinggi.
prof Mohammad Agus Yusoff
1 ulasan:
Janga suka berfikiran negatif dan hanya nampak salah orang sahaja. To err is human. Tahukah anda setiap perkara itu ada pro dan contra? Dan berapa banyak kebaikan yang telah kerajaan laksanakan anda hanya membisu , x pernah mahu menghargai. Itulah dasar manusia x pernah bersyukur.
Catat Ulasan