18 September 2012

K’jaan bersungguh-sungguh siasat Suaram untuk tutup kes Scorpene


KUALA LUMPUR 18 September: Kempen ‘Stand Up for Suaram’ yang disertai 138 badan bukan kerajaan (NGO) mengutuk keras siasatan bersungguh kerajaan berhubung dana yang diperoleh organisasi itu bertujuan menutup penyelewengan BN dalam pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia.

Pengarah Eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah berkata, siasatan terhadap Suara Rakyat Malaysia (Suaram) itu tidak berasas kerana sebuah organisasi sosial selayaknya mendapat dana tidak kira dari dalam atau luar negara.

“Apa masalahnya dengan pembiayaan global? Kerajaan Malaysia sendiri banyak memberi dana kepada organisasi sosial di luar negara, apa yang penting motif dan perjuangan kita,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen itu pagi tadi.

Wakil peguam Lawyers for Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri mempersoal tujuan sebenar siasatan terhadap Suaram.

“Kenapa kerajaan begitu beriya-iya hendak mengejar dan siasat Suaram? Apakah untuk menutup kes Scorpene?” soal Fadiah.

Pagi tadi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) akan mengesyorkan kepada Peguam Negara untuk mendakwa syarikat Suara Inisiatif Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Suaram.

Sedia disiasat

Menurut Pengerusi Suaram, K Arumugam, mereka sedia untuk disiasat, namun katanya kes Scorpene juga perlu dibuka dan diperdengar kepada rakyat Malaysia. “Kami tidak punya masalah dengan siasatan, tetapi agensi kerajaan juga perlu adil. Siasat sekali kes Scorpene, buka kes dan beri penjelasan kepada orang awam,” kata Arumugam.

Pelancaran kempen itu pagi tadi berlangsung di Menara SSM di Kuala Lumpur.

Apa yang mengejutkan, keratan akhbar anti-Suaram turut ditayangkan kepada umum menerusi televisyen lobi menara agensi kerajaan tersebut, sedangkan siasatan masih berjalan.
“Saya juga hairan mengapa liputan siasatan kes ini begitu meluas, bukan sahaja di berita TV, malah di lobi agensi ini. Jelas ada pendakwaan terpilih di sini,” tegas Ivy lagi.
Kejar Suaram tapi Najib, Razak Baginda dibiar bebas

Pembelian Scorpene mencuri perhatian ramai apabila Syarikat Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki Abdul Razak Baginda, kenalan rapat Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibuu, menerima komisen RM570 juta daripada kerajaan Malaysia untuk urusniaga itu.

Pelbagai desakan dibuat untuk meyiasat urusniaga yang meragukan itu namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil baik ke atas Razak Baginda atau Syarikat Perimekar sendiri.
Susulan itu, Suaram melantik peguam Joseph Breham pada tahun 2009 untuk memfailkan kes terhadap firma pembuat kapal selam Perancis, DCN, yang terlibat dalam urusniaga itu.

Pendedahan itu bukan sahaja membongkar isu Scorpene dan rasuah komisen yang menjahanamkan wang rakyat tetapi turut melibatkan isu pengkhianatan penjualan maklumat ketenteraan negara dan ia benar-benar mengancam pemimpin utama negara yang jelas mempunyai peranan.

Disebabkan itu, kerajaan mengenakan pelbagai tekanan kepada Suaram selepas badan hak asasi itu bertindak memfailkan kes untuk diadakan siasatan terhadap skandal pembelian kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis.

Terbaru, Suaram ditohmah sebagai pengkhianat kerana mendapat bantuan dana asing sebanyak RM570,000 sejak 2007 dari yayasan Open Society Institute kepunyaan George Soros yang dilabel sebagai penyagak matawang oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1997.
Dana yang diperoleh ditegaskan oleh Pengarah Suaram, Kua Kia Soong tidak ada kena mengena dengan operasi perniagaan spekulasi mata wang Soros, sebaliknya diguna untuk pencerahan hak asasi manusia di negara ini.


Penerimaan bantuan asing bukan perkara baru bagi NGO Malaysia. Bantuan dari negara Arab dan Eropah tidak dipersoalkan. Hanya Suaram yang menjadi mangsa kerana berani mendedahkan skandal kapal selam Scorpene yang melibatkan Najib.

Untuk menunjukkan sokongan terhadap kempen ini, orang awam boleh ‘LIKE’ laman Facebook ‘Stand Up 4 Suaram/Bangkit bersama Suaram’ dan ikuti akaun Twitter @StandUp4SUARAM atau menggunakan ‘hashtag’ #StandUp4SUARAM.


Suaram sedia hadapi 'kemungkinan paling buruk'


NGO hak asasi manusia Suaram bersedia untuk menghadapi “kemungkinan paling buruk” dalam tindakan kerajaan ke atasnya, termasuk kemungkinan diisytiharkan sebagai pertubuhan haram.

Anggota sekretariatnya, Cynthia Gabriel berkata Suaram bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu memandangkan menteri perdagangan dalam negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa NGO berkenaan mungkin boleh dituduh atas beberapa dakwaan.

"Beliau juga membayangkan bahawa Suaram merupakan sebuah pertubuhan haram, jadi kita bersedia untuk apa saja," katanya.

Tambahnya, NGO itu hanya akan mendedahkan rancangannya apabila tiba masanya.

Gabriel berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sengaja menggambarkan Suaram sebagai entiti berbeza daripada syarikat yang didaftarkan – Suara Inisiatif Sdn Bhd – untuk mengisytiharkannya sebagai pertubuhan haram.

"Kami percaya pihak berkuasa sebenarnya main kotor kerana mereka cuba bezakan Suaram dan Suara Inisiatif, sedangkan (kedua-duanya) satu (entiti) sama," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...