18 Julai 2012

Rakyat Selangor Hilang Kemudahan Air Percuma Jika...

Rakyat Selangor Hilang Kemudahan Air Percuma Jika...


Saya ingin mengulas kenyataan Datuk Noh Omar, Menteri Pertanian Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi Umno Selangor yang mengatakan bahawa rakyat Selangor akan terus diberikan air percuma sekiranya Barisan Nasional berjaya merampas Selangor dalam PRU 13 yang akan datang.

Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan Noh itu tidak berasas dan merupakan retorik politik berdasarkan beberapa fakta:

1) Kos penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan Pembinaan Loji Langat 2 adalah bernilai RM8.65 Bilion. Selain dari itu Kerajaan Negeri juga terpaksa membayar RM60 juta 'royalti air' setiap tahun kepada Pahang bagi air mentah tersebut .

2) Walaupun dana keseluruhannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan tetapi sumber dana tersebut diperolehi dari pinjaman dari Japan International Cooperation Agency (J.I.C.A) dari Negara Jepun.

3) Bagi membayar bagi kos projek, kerajaan Pusat (melalui pembekal dan pengedar air tunggalnya, iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tiada pilihan lagi melainkan mengenakan kadar tarif (harga air) yang tinggi kepada pengguna iaitu rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

(Kita menjangkakan bahawa harga akan akan meningkat sehingga 70 peratus selepas Loji Langat 2 siap sepenuhnya dijangka pada tahun 2014)

4) Sekiranya kenaikan air tersebut berlaku di mana rasionalnya untuk memberikan 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor dan pengguna-pengguna yang lain.

5) Harus juga diingat bahawa SYABAS adalah sebuah syarikat korporat swasta yang berorientasi ‘keuntungan’ (Profit making company) dan kita tidak nampak SYABAS mampu mengorbankan keuntungannya bagi tujuan tersebut.

6) SYABAS juga dilaporkan menanggung hutang bernilai RM2.8 bilion kepada operator loji rawatan air dan dalam keadaan kewangannya yang meruncing ini maka adalah sukar untuk SYABAS memberikan air percuma.

7) Harus diingat bahawa rekod kami menunjukkan bahawa kerajaan negeri membelanjakan RM144 juta setahun bagi pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor .

Jadi berdasarkan fakta-fakta di atas jelaslah Noh Omar hanya bercakap kosong, sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor. - DR XAVIER JAYAKUMAR


BERITA BERKAITAN :

K'jaan S'gor Isytihar 'Perang' Pertama Dengan Tarik Balik Kuasa Syabas

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengorak langkah pertama untuk mengambil alih pengurusan air di negeri itu daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd atau Syabas apabila ia mengambil keputusan untuk mengenepikan kuasa Syabas dalam memberikan kuasa kelulusan pembangunan kepada projek baru dan juga kilang.

Menteri Besar,Tan Sri KhalidIbrahim berkata, berdasarkan perjanjian konsesi, Pengawal Air Negeri Selangor yang juga Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Datuk Noordin Sulaiman, mempunyai kuasa untuk mengenepikan ataupun menolak sebarang keputusan yang dibuat oleh Syabas.

Kata Khalid, setakat ini Syabas telah menolak 60 permohonan daripada pekilang.

"Dalam proses untuk memperolehi kelulusan pembangunan, setiap jabatan kerajaan yang berkaitan diperlukan memberi keputusan sama ada setuju, tidak setuju atau wajar dipertimbangkan.

"Syabas akan memberi komen sama ada cadangan itu tidak disyorkan atau disyorkan. Kini kita telah mengarahkan supaya pengawal air Selangor melihat akan keputusan yang dibuat oleh Syabas kerana Syabas bukanlah pihak berkuasa terakhir yang menentukan keputusan muktamad," katanya kepada para pemberita hari ini.

Semalam Khalid telah mengumumkan hasrat kerajaan negeri untuk mengambil alih pengurusan Syabas dengan syarat ia diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Keputusan untuk mengambil alih peranan dan tanggungjawab Syabas itu memerlukan persetujuan daripada pusat.

Selama ini kata Khalid, kerajaan negeri telah mendelegasikan tanggungjawab dan kelulusan arahan pembangunan kepada Syabas di bawah perjanjian konsesi.

Bagaimanapun tegasnya, kerajaan negeri memutuskan untuk membatalkan delegasi kuasa itu ekoran perkhidmatan Syabas yang mereka dakwa sebagai tidak memuaskan.

"Kini mereka tidak dibenarkan lagi membuat keputusan akhir atau muktamad. Keputusan akhir kini akan ditentukan oleh pengawal air negeri Selangor," ujarnya lagi.

Mengenai langkah untuk mengambil alih pengurusan Syabas, Khalid berkata kerajaan negeri telahpun menulis kepada kerajaan pusat dan juga Syabas mengenai hasrat mereka itu.

Keputusan untuk mengambil alih pengurusan Syabas itu dibuat setelah syarikat konsesi air itu membuat keputusan untuk mencatu penggunaan air di Lembah Klang.

"Kami telah memerhati dan melakukan penilaian mengenai prestasi Syabas sejak enam bulan yang lalu dan kami dapati mereka bertindak tidak profesional dan cuba mencetuskan perasaan bimbang dan panik kepada masyarakat," tegas Khalid.

Dalam perkembangan yang lain, Khalid berkata pejabatnya masih belum lagi menerima surat perletakan jawatan ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Latheefa Koya yang diumumkan semalam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...