14 Mac 2012

TERAS tuntut kerajaan mansuh terus PPSMI, bukan ubahsuai

TERAS tuntut kerajaan mansuh terus PPSMI, bukan ubahsuai


Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) hari ini sekali lagi menuntut kerajaan memansuhkan dengan serta merta pelaksanaan Pelajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik melalui bahasa Inggeris (PPSMI), dan bukannya melakukan pengubahsuaian terhadap sistem berkenaan.

Presiden TERAS, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataannya berkata sekiranya kerajaan boleh melaksanakan PPSMI dalam keadaan tergesa-gesa, mengapa penarikan balik dan pelaksanaan PPSM-Melayu tidak boleh dilakukan dengan kaedah sama.

"Pemerintah kini membayangkan ada ruang untuk meneruskan PPSMI jika ia melakukan ubahsuai . Sehingga ada yang mengambil kesempatan untuk mencelah agar PPSMI dapat dilanjutkan.

"Jika PPSMI dengan mendadak diperkenalkan tanpa banyak kajian dan hujah , kenapa PPSM-Melayu tidak boleh dikembalikan dengan kaedah yang sama?"

Menurut Azmi, beliau bersetuju agar gelombang bantahan diketengahkan kembali dan momentum rakyat dibangkitkan sekali lagi untuk menamatkan sistem PPSMI.

"Gelombang ini tidak boleh dimatikan hanya dengan janji kerajaan yang nampaknya cuba “ membeli masa”. Inilah sebenarnya strategi pihak yang beria-ia PPSMI dipertahankan.

"Mereka bermakar untuk mendesak kepada kerajaan agar PPSMI diteruskan dengan lobi diperingkat tinggi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat bersabar dan pemansuhan PPSMI akan mengambil masa berdasarkan kohot pembelajaran disekolah yang bakal menyaksikan 2012 dijadikan tahun sepatutnya berakhir PPSMI.

"Keputusan ini menyebabkan rakyat tergamam kerana terperangkap dengan dalih pentadbiran dan alasan sistem persekolahan. Akhirnya PPSMI diteruskan sehingga hari ini," tegas Azmi.

Jelas Azmi, apa yang lebih malang adalah sementara menantikan pemansuhan tersebut berlaku, pelajar, ibubapa dan pendidik yang akan menjadi mangsa.

Selain itu, Azmi turut berkata ketika PPSMI diperkenalkan tidak ada pertimbangan jangka panjang diambil kira terhadap masa depan dan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

"Ribuan yang terpaksa menggagahkan diri untuk melalui PPSMI yang memeritkan seluruh warga pendidikan," tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...