12 Mac 2012

BAHAYA PARTI KUASI KERAJAAN

RIDHUAN TEE ABDULLAH- Sinar Harian

Sesiapa yang mengkaji ilmu politik dan kerajaan, akan memahami bahawa kerajaan dan parti politik adalah dua perkara berbeza. Parti politik adalah parti politik, ia tidak berdaulat. Kerajaan telah wujud sebelum wujudnya parti politik dan ia berdaulat. Barisan Nasional (BN), Umno, PKR, Pas dan DAP, bukannya kerajaan. Mereka hanyalah ruling party (parti yang menguasai atau menjalankan urusan kerajaan). Justeru, adalah salah jika kita katakan, “Ini projek kerajaan BN, kerajaan PR, kerajaan Pas atau kerajaan DAP”. Pendek kata, parti politik tidak boleh menjadi kerajaan.

Saya timbulkan persoalan ini akibat kekecohan pentadbiran politik Kedah. Pas mewujudkan Jawatan Kuasa Pemandu untuk memantau perjalanan pentadbiran dan pengurusan kerajaan Kedah, bagi meredakan pergolakan politik dalamannya. Secara profesional, Pas Pusat sepatutnya menyerahkan budi bicara Menteri Besar (MB) dan Kabinetnya untuk menyelesaikan masalah berlaku, supaya tidak timbul isu parti menguasai kerajaan. Amalan ini jarang sekali berlaku. Lagi pula, wakil rakyat Pas bukan calang-calang orang, majoriti bergelar ustaz.

Jika tidak ustaz pun, mereka adalah protaz (profesional ustaz). Takkan mereka tidak meminta petunjuk daripada ALLAH SWT dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Mungkinkah wakil rakyat ini terlalu mengejar dunia sehingga mereka lupa mendapatkan petunjuk seperti yang biasa dilakukan sebelum ini?

Jika dibiarkan berlaku, ini adalah satu lagi contoh episod malang kehidupan bernegara. Kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan rakyat, bukan kerajaan parti, bersesuaian dengan makna demokrasi, “kerajaan dari rakyat untuk rakyat kepada rakyat”. Bukannya kerajaan dari Pas untuk Pas kepada Pas. Jika itulah yang berlaku, Pas akan menerima akibatnya nanti. Pas perlu sedar, kerajaan Kedah bukan kepunyaan Pas, tetapi kepunyaan rakyat. Dalam sesebuah negara atau negeri, tidak semuanya menyokong Pas. Justeru, hak rakyat perlu diberikan sewajarnya. Saya tidak hanya merujuk kepada kerajaan yang pimpin oleh Pas sahaja, tetapi juga parti politik lain.

Jangan mangsakan rakyat hanya kerana perbezaan ideologi dan parti politik. Rakyat tidak bersalah, yang salah adalah orang yang menguruskannya. Sama juga isu royalti minyak. Jika itulah yang menjadi hak rakyat Kelantan, berikan, Jangan mangsakan rakyat Kelantan keseluruhan, hanya kerana majoriti mereka memilih Pas untuk menjadi ruling party.

Saya yakin suatu hari ini, dengan kewibawaan kepimpinan hari ini, pasti royalti tersebut akan diberikan kepada rakyat Kelantan. Pada ketika itu, kita amat mengharapkan, jika Pas masih lagi menguasai Kelantan, berikanlah bantuan kepada sesiapa sahaja, tanpa pilih kasih. Inilah sunnah yang ditinggalkan oleh Baginda SAW dan para sahabat.

Saya kurang menyalahkan MB Kedah dalam hal ini, sebab saya kenal hati budinya semasa saya belajar di universiti lagi. Beliau sanggup menjadi tidak popular dengan ambil tindakan terhadap pelajar-pelajar Kolej Universiti Insaniah yang melanggar undang-undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Tindakan ini amat tidak disenangi Pakatan Rakyat dan orang Pas sendiri yang mahukan AUKU dimansuhkan sama sekali mengikut selera ultra kiasu. Tetapi itulah sifat MB Kedah, begitu profesional.

Ingatan saya kepada Pas, walaupun tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat, tidak semestinya semua perkara baik, yang datang daripada BN dan Umno mesti ditolak.

Inilah politik rimba yang masih lagi sukar dibuang daripada segelintir pemikiran umat Islam sehingga ultra kiasu mengambil kesempatan. Dengar sahaja nama Umno dan BN semuanya ditolak atau naik meluat.

Sebelum ini saya melahirkan kebimbangan akan segelintir ustaz dan protaz yang menjadi wakil rakyat, yang ingin kaya-raya dan hidup lebih bergaya. Mereka sudah lupa perjuangan asalnya, dengan tidak menafikan ada yang ikhlas. Jika dahulu, para pejuang Pas sanggup berbasikal dan tinggal dalam pondok buruk, seperti mana diamalkan tok-tok guru mereka. Hari ini, tidak lagi, mereka sudah pandai berlumba-lumba untuk mendapatkan tender di sana sini. Saya tidak kata, hidup mewah itu salah, tetapi ia bukan perjuangan Pas yang saya kenal dulu.

Ahli Majlis mereka juga berebut-rebut mendapatkan projek Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran. Dahulu mereka menuduh BN dan Umno. Bila sampai sendiri memerintah, tidak banyak bezanya. Saya masih ingat bagaimana bisnes minyak saudara saya lingkup disabotaj oleh wakil-wakil rakyat Pas yang bergelar Exco ini. Tidak semua Exco bergelar ustaz dan protaz ini baik. Mereka juga mahukan habuan dan kepuasan nafsu dunia.

Perlu diingatkan, rakyat Kedah tidak menyenangi keputusan Pas melantik Jawatankuasa Pemandu. Terutamanya mereka yang berada dalam Perkhidmatan Awam Kedah. Apakah hak jawatankuasa ini terhadap kerajaan Kedah. Pas perlu memahami budaya politik Kedah tidak sama dengan Kelantan. Jangan biarkan rakyat menghukum Pas disebabkan wakil rakyat dan Exco bergelar ustaz dan protaz sudah lupa daratan- SH

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...