17 Mac 2012

EXCO KEDAH : AMIRUDDIN, TAULAN PANGKU PORTFOLIO

Amiruddin, Taulan pangku portfolio belum diisi

KOTA SARANG SEMUT - Portfolio yang masih belum diisi sementara menunggu majlis mengangkat sumpah dua Exco, yang mengubah pendirian untuk menerima pelantikan semula, akan dipangku oleh Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kedua-dua pemimpin itu akan memangku portfolio-portfolio terbabit sehingga selesai majlis mengangkat sumpah dua lagi Exco.

"Ada beberapa portfolio yang dipangku oleh Amiruddin dan ada juga diserahkan kepada Taulan," kata beliau ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Perhubungan Pas Kedah di Kompleks Pas Batu 9, hari ini.

Ia membabitkan portfolio Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, yang sebelum ini dipegang Amiruddin manakala Pembangunan Usahawan (Abd Ghani Ahmad) serta Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Dr Ismail Salleh).

Portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, sebelum ini disandang Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, kini diserahkan kepada Amiruddin bersama portfolio Industri dan Pelaburan.

Portfolio Kesihatan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, yang sebelum ini disandang Ismail, kini masing-masing diletakkan di bawah Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib dan Abd Ghani.

Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat bulanan Perhubungan Pas negeri yang dipengerusikan Azizan hari ini tidak dihadiri kedua-dua Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Phahrolrazi dan Ismail.

Azizan berkata, tidak semua ahli dalam Jawatankuasa Perhubungan Pas negeri dapat hadir kerana perlu menghadiri program lain, selain ada antara mereka yang sedang bercuti.

"Tidak semua datang hari ini, dua timbalan (Phahrolrazi dan Ismail) tiada, mereka bercuti dan tidak dapat hadir.

"Tetapi ada satu lagi Timbalan Pesuruhjaya yang hadir," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...