13 Mac 2012

AJK PEMANDU PAS KEDAH TIADA LOCUS STANDI KEATAS EXCO

Mustafa Ali, Mahfodz Mohamad antara ahli jawatankuasa pemandu PAS Kedah
Mustafa juga perjelas bahawa jawatankuasa pemandu tiada locus standi ke atas exco negeri.



KUALA LUMPUR: Pimpinan PAS Pusat hari ini mengumumkan senarai ahli jawatankuasa pemandu PAS Kedah.Antara yang tersenarai ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamad, ahli parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar dan Hasmuni Said.
Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Halim Abdul Rahman telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pemandu tersebut.
“Ahli jawatankuasa pemandu perlu terdiri daripada ahli jawatankuasa pusat dan bukan dari negeri tersebut,” kata Mustafa.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Mustafa dalam satu sidang media pada petang ini.
Sidang media ini turut disertai Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, ahli jawatankuasa pusat Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli parlimen Pokok Sena dan dan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak)Mazlan Aliman.

Tiada locus standi

Mustafa turut menjelaskan bahawa jawatankuasa hanya berfungsi sebagai penasihat di peringkat parti.“Jawatankuasa ini tiada locus standi dalam exco kerajaan.
“Kita hanya menasihat di peringkat parti,” jelas Mustafa ekoran timbulnya salah faham mengenai penubuhan jawatankuasa ini pada minggu lepas.Beliau menambah bahawa jawatankuasa ini wujud sejak 1990 di Kelantan.

Pada bulan lepas kontroversi kepimpinan negeri Kedah timbul apabila Adun Pangkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi merangkap Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah bersama Adun Alor Mengkudu Ismail Salleh menolak tawaran memegang jawatan exco dalam kepimpinan negeri.
Ia berlaku kerana mereka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Krisis yang semakin mendalam ini memaksa pimpinan PAS pusat mengumumkan pembentukan awatankuasa pemandu pada minggu lepas.
Manifesto jangka pendek

“Kita ada manifesto jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Jawatankuasa ini akan pastikan pelaksanaan manifesto sepertimana yang dijanjikan.
“Yang akan melaksanakan ialah kerajaan negeri. Kita hanya beri pandangan,” jelas Mustafa.

Sementara itu, Mahfuz yang turut sama di sidang media tersebut mahu kerajaan menghentikan sebarang pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing sehingga pilihan raya umum ke-13 tamat.

“Kita bimbang dengan jumlah yang akan dimanipulasi dan dimasukkan ke dalam senarai pengundi.
“Kita juga bimbang dengan program 6P yang tidak diurus dengan baik,” kata Mahfuz.Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan pula berkata bahawa beliau akan memanjangkan kepada ahli parlimen PAS berkenaan persoalan mengapa beliau tidak dibenarkan ke Sabah.
Mazlan tiba di Sabah semalam tetapi tidak diberi pas masuk.

“Saya tidak diberi sebab dan saya dilayan teruk,” kata Mazlan yang turut mempamerkan notis penolakan masuk kepada media.Menurut notis yang ditandatangani Addy Rizal Jamlidi, pas tidak diberikan atas arahan pihak berkuasa negeri.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...