13 Disember 2014

KACAU: GANGSTER GANGGU OPERASI MKN DI CAMERON HIGHLAND

Gangster terus ganggu operasi MKN di Cameron Highland



Bayangkan dengan cara begini, tiga tahun tidak selesai masalah di Cameron

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim hari ini mendedahkan terdapat kumpulan samseng (gangster) yang cuba mensabotaj operasi kerajaan membanteras penerokaan tanah secara haram melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) di situ.

Menurut beliau, oleh kerana kehadiran polis dan tentera gangster terbabit tidak berani mengancam secara langsung, sebaliknya bertindak mengugut penduduk di Cameron Highland agar tidak menyewakan jentera atau peralatan keperluan logistik yang diperlukan MKN.

“Antara halangan yang kami hadapi di samping halangan dalaman, MKN tidak bagitahu lagi, halangan berbentuk gangsterisme di mana kami hendak sewa (jentera) mereka (penduduk) tidak mahu (sewakan).

“Kami cuma dapat dua buah jentera untuk merobohkan premis-premis haram ini.


“Dua buah jentolak dengan 200 orang tentera, apa cerita ini. Yang lain kena tengok sahajalah.

“Jentolak di sana (Cameron) mungkin ada beratus tetapi orang tidak bagi sewa kerana gangster telah bagi amaran jangan sewa kepada kerajaan dan mereka tidak sewa,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Bagaimanapun, kata Shahidan kumpulan gangster terbabit telah melarikan diri selepas memberi amaran kepada penduduk.

Usaha memburu mereka sedang dijalankan dan kerajaan akan bertindak tegas tanpa mengira latar belakang mereka.

Bagi mengatasi kekurangan jentera, kata Shahidan, pihaknya sedang berusaha untuk menyewa jentera dari bawah untuk dihantar ke tanah tinggi itu.

Shahidan bagaimanapun tidak menyentuh mengenai kemungkinan jentera milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh dikerah ke kawasan operasi di Cameron Highlands.

“Saya menghadapi masalah di Cameron Highland, sudah seminggu kita buat operasi baru selesai satu kebun.

“Bayangkan dengan cara begini, tiga tahun tidak selesai masalah di Cameron.

“Sekarang kita ambil pendekatan baru yang telah kita laksanakan kelmarin, saya percaya dalam masa enam bulan habis operasi,” katanya.

Shahidan turut memaklumkan, sebaik selesai operasi di Cameron Highland, operasi pihaknya akan beralih ke Lojing, Kelantan yang juga telah diteroka malah lebih teruk daripada di Cameron Highland.

Jelas Shahidan, kerajaan negeri Kelantan telah mengeluarkan geran bagi 5,000 hektar tanah kepada individu warga tempatan yang kemudiannya telah disewakan kepada orang asing.

“Orang asing ini pula teroka tanah tanam sayur sampai kubur orang asli pun dia korek.

“Sebelum ini ada permintaan daripada kerajaan negeri Kelantan supaya kerajaan Pusat campurtangan, lama sudah masa itu sudah teruk, sekarang ini hancur.

“Kerajaan Kelantan ada bagi individu tertentu ada yang haram ada yang halal tetapi yang halal pun buat kerja tidak betul, mereka potong bukit tidak ikut peraturan yang telah ditentukan oleh Kementerian Pertanian,” kata Shahidan yang kecewa dengan keadaan itu.

Read more: sini

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...