29 November 2014

700 Lembu Hilang, Rugi RM1.75 juta Apa Nak Jadi Dengan Malaysia !!!

700 lembu hilang, rugi RM1.75 juta



Kenderaan pacuan empat roda digunakan untuk curi lembu.

GUA MUSANG - Seramai 400 penternak kerugian RM1.75 juta apabila 700 lembu ternakan mereka hilang dipercayai dicuri dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini dengan purata kehilangan antara dua hingga empat ekor semalam.

Dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, 150 lembu hilang dicuri mengakibatkan kerugian RM375,000 membabitkan kawasan ternakan dalam ladang sawit Tanah Rancangan Felda, Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar dan Ladang Sungai Terah.

Pengerusi Persatuan Penternak Ruminan Kelantan, Zulkifli Md Zain berkata, kebanyakan lembu yang dicuri itu dijual di luar negeri ini, termasuk sekitar Kuala Lumpur bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan juga penternak itu sendiri.

Beliau bimbang 11,000 lembu dalam kawasan ladang berkenaan berdepan kejadian serupa berikutan penternak sukar mengawal lembu mereka yang dilepaskan dalam kawasan ladang terbabit.

“Kita tidak boleh pagar kawasan ternakan itu kerana jika kita berbuat demikian memudahkan lagi kegiatan mencuri lembu berikutan ternakan terbabit berkumpul dalam satu tempat,” katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan meninjau kawasan ternakan lembu di Kampung Aring, dekat sini, pagi semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan kematian suspek dipercayai menjalankan kegiatan mencuri lembu di Ladang Sungai Terah, baru-baru ini, akibat penternak hilang sabar, sebaliknya hanya tertembak ketika suspek cuba menetak pemilik lembu yang juga anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) menggunakan parang.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 pagi 11 November lalu, seorang daripada dua lelaki berasal dari RKT Kesedar Paloh berusia 33 tahun yang disyaki pencuri lembu maut dipercayai tertembak penternak itu sendiri ketika mempertahankan diri.

Zulkifli berkata, kebanyakan penternak lembu semakin hilang sabar dengan keadaan yang berlaku itu, tetapi tidaklah sampai mengambil tindakan di luar undang-undang kerana banyak lagi cara yang boleh mengawasi perkara itu.

Sebagai ketua dalam persatuan penternak lembu, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan jangan menganggap kejadian itu sengaja mencari musuh yang boleh mengeruhkan lagi hubungan antara penternak dan orang ramai.

“Ahli persatuan yang menjalankan ternakan itu juga adalah permintaan kerajaan untuk jadikan Kelantan sebagai pengeluar makanan utama berasaskan daging lembu di negara ini, walaupun berdepan risiko kejadian curi itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...