28 November 2014

GAGAL BUMIPUTERA BERMAKNA UMNO JUGA GAGAL

Gagal Bumiputera bermakna Umno juga gagal, kata penganalisis


Perhimpunan Agung Umno 2014 melihat Umno membincangkan perkara yang sama dengan permintaan bantuan dari perwakilan berbahas, namun ekonomi Melayu-Bumiputera yang sering diperjuangkan masih belum berjaya. 

Hampir setiap kali perhimpunan besar parti pemerintah Umno, isu tidak selesai dibincangkan Umno adalah ekonomi Bumiputera dan pada masa sama pelbagai permintaan bantuan diajukan perwakilan yang berbahas.

Selepas pelbagai dasar, polisi dan bantuan diberikan, sasaran untuk mencapai ekuiti 30% Bumiputera menjadi tajuk perbualan dan perwakilan akan membangkitkannya.

Antara intipati ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak juga menyentuh mengenai Bumiputera, beliau memberi komitmen memperjuangkan orang Melayu dan Bumiputera dengan bersidang bersama, sekurang-kurangnya sekali setiap bulan, demi menjamin hala tuju dan agenda pemerkasaan ekonomi Melayu Bumiputera.


Komitmen Najib memperjuangkan ekonomi Bumiputera bukan kali pertama disuarakan, tahun lalu di UiTM Najib menggariskan lima langkah bagi memperkasa ekonomi Bumiputera.

Sejumlah peruntukan besar diumumkan, antaranya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mendapat peruntukan sebanyak RM300 juta untuk lima tahun dan peruntukan tambahan kepada Tekun sebanyak RM700 juta.

"Dah banyak dana awam dibelanjakan, tetapi peningkatan masih tidak memberangsangkan," kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insider.

Ibrahim merujuk kepada kegagalan kerajaan membantu Bumiputera walaupun dengan pelbagai usaha dirancang dan dikemukakan.

Sebaliknya, Ibrahim menggariskan tiga perkara, antaranya:

"Apa-apa pun polisi yang bertujuan membantu mana-mana segmen, ia mesti ada 'termination date' (tamat tempoh) di mana bantuan itu akhirnya akan tamat, maknanya ia diberikan beransur-ansur dan dihentikan apabila mereka sudah maju.

"Kedua, mesti ada proses penilaian berterusan, ia mesti ada pemeriksaan dasar ini berkesan atau tidak, penerima itu meningkat atau tidak sebagainya, mengapa perkara ini masih bermasalah hingga kini.

"Ketiga, mesti ada ketelusan daripada segi proses."

Bagi penganalisis politik Dr Wong Chin Huat, masalah yang dihadapi Umno selaku parti pemerintah adalah mereka sering menjadikan bukan Melayu sebagai kambing hitam, khususnya dalam isu Bumiputera.

"Jika DEB (Dasar Ekonomi Baru) berjaya membantu Melayu, Umno pastinya sudah kuat sekarang. Dan mengapa perlu Umno rasa terancam walaupun jika bukan Melayu tidak gembira?

"Tidak kisah cara apa pun Umno cuba menyalahkan bukan Melayu, mereka perlu jawab mengapa DEB gagal mengangkat Melayu selepas hampir empat dekad," kata Wong.

Wong juga mencadangkan supaya tiba masanya polisi alternatif diperkenalkan bagi membantu Bumiputera dan bukannya kumpulan bangsawan Umno.

"Adakah perlu bantuan kepada Bumiputera untuk bantu Melayu? Atau kita perlu polisi alternatif untuk pastikan orang Melayu biasa mendapat bantuan dan bukan bangsawan Umno?" katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata persoalan yang perlu dilihat Umno bukan lagi sekadar membuat permintaan tetapi mengkaji perkara pokok mengapa masih Melayu mundur.

"Apabila kita lihat data, yang masih mundurnya orang Melayu.

"Apakah masalah sebenarnya sehingga kita tidak dapat capai sasaran? Apakah masalah polisi? Saya tidak tahu, cuma saya tahu setiap permintaan tertunai. Itu persoalannya," kata Agus kepada The Malaysian Insider.

Agus juga mempersoalkan mengapa setengah kelompok dalam Bumiputera sahaja yang semakin kaya tetapi tidak rakyat bawahan yang bergelut.

"Tujuan ekonomi Bumiputera ini bukan untuk memanfaatkan mereka (elit), tapi kenapa mereka juga yang naik," katanya ~TMI

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salah satu sebab mengapa golongan sasaran tidak tercapai adalah kerana bantuan prcuma yg tidak perlu dibayar. Ramai yg ambil kesempatan ....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...