26 November 2014

MONOPOLI, FI MAHAL , KJ & PUTRI MENIBAI ASTRO.... TAHU TAK PA.....

Bebankan Rakyat Nak Tengok Bola, KJ Minta ASTRO Henti Naikkan Fi


KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin hari mengemukakan usul spontan mahu syarikat penyedia siaran televisyen berbayar Astro tidak lagi menaikkan kadar bayaran perkhidmatan yang dilihat membebankan rakyat.

Menurut beliau, jika ada persaingan dengan syarikat lain kenaikan kadar bayaran boleh diterima, tetapi Astro merupakan syarikat yang menjalankan perniagaan secara monopoli.

Khairy berkata untuk melihat pasukan-pasukan bola sepak kegemaran beraksi dalam saingan Liga Perdana Barclays, orang ramai di negara ini memerlukan Astro tetapi bayarannya dilihat terlalu tinggi dan membebankan.

BACA - Jangan Bandingkan Saya Dengan Azalina – Mas Ermieyati

“Nak tengok pasukan yang terbaik di dunia, Manchester United.. (dewan kecoh) kena pakai Astro, nak tengok pasukan yang paling koman (tidak bagus), Chelsea (dewan semakin kecoh) kena tengok Astro.

“Jadi, saya mintalah kita bawa usul daripada anak muda.. sudahlah nama dia monopoli, jangan.. janganlah.. janganlah menyusahkan rakyat dengan fi (bayaran) yang tinggi.. jangan naikkan fi lagi,” katanya.

Usul spontan itu dikemukakan Khairy ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung sayap itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Selain Astro, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut menyelar sikap ejen pengutip hutang yang dilantik syarikat pemberi hutang yang dilihat menggunakan cara kasar dalam tugas mereka mengutip bayaran.

Beliau berkata ada laporan mereka bertindak mengugut dengan kekerasan seperti Ah Long padahal meminta hutang yang tidak seberapa.

“Ada yang datang ke rumah peghutang, datang dengan samseng ugut nak sita rumah, ugut nak rantai pintu rumah dan ugut nak guna kekerasan.

“Pemuda nak bagi amaran kepada tukang kutip hutang dan pelanggan mereka, nak kutip hutang tu kutiplah tapi jangan biadap,” katanya disambut sokongan gamat dewan perhimpunan.

Hari ini, berlangsung Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap parti UMNO iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri selepas ia dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

Menurut jadual atur cara yang dikeluarkan Bahagian Media Umno, Perhimpunan Agung Wanita berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pemuda (Dewan Tun Hussein Onn) dan Puteri Umno diadakan di Dewan Merdeka.


TRADISI… Lautan warna merah ahli sayap Wanita UMNO duduk bersila seperti kebiasaan setiap tahun mengikuti Perhimpunan Agung Wanita UMNO di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Sejumlah 993 perwakilan akan menghadiri perhimpunan agung wanita yang akan berbahas mengenai isu keselamatan, keamanan dan perpaduan negara manakala 992 perwakilan Pemuda akan membahaskan isu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes lelaki berpakaian wanita, isu perumahan di kalangan belia, serta transformasi parti.

Perhimpunan tahunan Puteri Umno dengan 991 perwakilan akan memfokuskan isu pengangguran di kalangan generasi muda sebagai usul utama. - MYNEWSHUB.CC

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...