22 Oktober 2014

RASUAH,RASUAH...RASUAH KRITIKAL : HUTAN TINGGAL 30%

Rasuah: Hutan Tinggal 30 Peratus, Kritikal



PETALING JAYA: Kegiatan pembalakan haram dan rasuah pihak berwajib menyebabkan hutan di negara ini dalam keadaan kritikal kerana berbaki 30 peratus sahaja.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, hutan di negara ini sepatutnya berada di atas 60 peratus.

"Jika kita tinjau melalui ruang udara, beberapa kawasan hutan dan berbukit digondol dan ditarah. Keadaan itu amat kritikal dan membimbangkan," katanya kepada mStar Online.

Justeru, Shariffa Sabrina berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat melakukan kegiatan haram di seluruh negara.

"Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri harus tegas dalam menangani kegiataan haram ini. Malah masyarakat juga harus peka dan bertanggungjawab memelihara hutan," katanya.

Kegiatan pembalakan haram di seluruh negara dilaporkan semakin serius angkara perbuatan rasuah yang melibatkan pembalak dan anggota penguat kuasa agensi kerajaan.

Baru-baru ini, Sarawak dilaporkan menanggung kerugian kira-kira RM100 juta setiap tahun akibat kegiatan pembalakan haram yang berleluasa di negeri itu.

Terbaharu, kegiatan pembalakan dikesan dijalankan di Limbang yang terletak di kawasan sempadan utara negeri itu.

Kegiatan tersebut yang dipercayai dinaungi sindiket dan kumpulan mafia bersenjata turut menyebabkan kerugian kepada kerajaan Persekutuan dan negeri yang menjejaskan kutipan cukai eksport, cukai pendapatan syarikat balak, individu dan syarikat pengangkutan.

Malah, aktiviti pembalakan haram yang dikesan dijalankan di dua taman negara di Sarawak turut mengundang kemarahan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang mahu melihat hasil dalam memerangi kegiatan tersebut.

Susulan itu, beliau telah berhenti mengeluarkan lesen pembalakan yang baharu bagi membendung kegiatan pembalakan haram yang masih berterusan dan dijalankan secara terang-terangan, terutama di hutan-hutan yang dilindungi.

Pada Isnin, Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Jamidan Abdullah mengesahkan pihaknya ada menerima maklumat mengenai aktiviti pembalakan haram tersebut.

Menurut sumber, satu operasi serbuan akan dilakukan oleh SPRM untuk mencari dalang disebalik aktiviti haram itu dalam masa terdekat.

Bimbang mengenai kegiatan tersebut yang semakin berleluasa, Shariffa Sabrina menegaskan ekosistem flora dan fauna akan terus terjejas dan nyawa manusia akan terancam.

"Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan kualiti air dan udara yang tidak bersih menyebabkan manusia terdedah kepada jangkitan bronkitis dan kanser," katanya.

Beliau berkata, air sungai yang tercemar mengalir ke empangan dan kemudiannya diminum oleh manusia boleh mengundang pelbagai penyakit berbahaya.

"Sebagai contoh, banyak sungai mati di Johor kerana banyak kawasan hutan dibuka untuk aktiviti penanaman kelapa sawit yang melibatkan penggunaan bahan kimia," katanya.~MStar

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bukan kah setiap negeri ada jabatan hutan utk pantau kegiatan pembalakan yg sah dan yg haram.Pembalakan haram itu untung nya banyak tinggi kerana tak perlu bayar premium dan lain lain.
Harap kan Jabatan Hutan pun tak boleh sangat kerana mereka ini mudah dibeli oleh tokeh tokeh balak. Maklum lah duit free siapa yg tak mahu.Mereka buat pantauan bukan di hutan tapi dlm bilik hotel yg belanjanya dan segala galanya (termasuk betina) dianggung oleh tokeh.Mana tak tinggal 30%,gelap masa depan.Kalau di Finland, pembalak tebang 1 pokok, dia Kena tanam 5 pokok.DiNegara kita, beri konsessi balak 5000 hektar dia kasi tebang 6 000 hek.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...