24 Ogos 2014

TEAM TUN M BERKIRA UNTUK TUMBANGKAN NAJIB?



MAMPUKAH DR MAHATHIR MENUMBANGKAN NAJIB?
Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun sudah berusia masih lagi kuat kerana semangat perlawanannya yang tinggi. Sejak awal penglibatannya dalam politik, bekas perdana menteri itu tidak pernah sunyi daripada krisis dan kontroversi.

Lebih 10 tahun selepas bersara daripada politik, suaranya masih lagi berpengaruh dan didengari, mungkin kerana beliau terlalu lama memerintah satu ketika dahulu, mungkin juga kerana pendiriannya yang konsisten dalam pelbagai isu.

Dr Mahathir tidak perlu menunggu mimpi sebelum membuat keputusan. Keputusannya jelas, disokong dengan fakta dan boleh menghujahkannya kembali untuk memberikan penjelasan.

Walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan pandangan atau tindakan politiknya, tetapi kita harus akui beliau konsisten dengan pandangan dan kepercayaannya dan tidak akan berhenti daripada terus melawan musuhnya.

Musuh nombor satu beliau adalah bekas anak didiknya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selagi Anwar bebas bergerak ke sana sini, Dr Mahathir tidak akan senang duduk.

Anwar merupakan satu-satunya lawan Dr Mahathir yang masih belum terkubur selepas dipecat dari Kabinet dan Umno pada tahun 1998.

Sehingga hari ini Dr Mahathir masih melawan Anwar, walaupun tidak secara langsung.

Menumbangkan Tunku dan Abdullah

Sebelum ini lawan Dr Mahathir juga bukan calang-calang orang. Pada awal penglibatan politiknya dan sebelum berkuasa, perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman tersungkur kerananya.

Gerakan pemimpin muda seperti Dr Mahathir dan Tun Musa Hitam berjaya memaksa bapa kemerdekaan negara itu memberikan laluan kepada Tun Abdul Razak untuk mengambil alih kepimpinan negara.

Selepas meletakkan jawatan, tanpa menguasai media dan kerajaan Dr Mahathir berjaya menumbangkan seorang lagi perdana menteri dan presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada ketika itu, Dr Mahathir dibantu oleh penulis-penulis blog yang menyebabkan Abdullah mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 walaupun Barisan Nasional (BN) masih lagi berkuasa.

Setahun selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga dan 5 negeri ke tangan Pakatan Rakyat (PR) yang dipimpin Anwar, Abdullah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.

Sokongan terhadap Najib ditarik balik

Menulis di blognya www.chedet.cc, Dr Mahathir mengumumkan beliau menarik kembali sokongannya terhadap Najib untuk menyedarkan perdana menteri di atas kelemahan polisi dan pentadbirannya.

Dr Mahathir mengatakan beliau tidak menyangka prestasi Najib lebih buruk dalam PRU13 berbanding Abdullah pada 2008.

Pemimpin Umno dalam menjawab kritikan Dr Mahathir terhadap Najib mengambil sikap berhati-hati.

Walaupun mempertahankan Najib, kebanyakan daripada mereka mengatakan menghormati pandangan bekas perdana menteri dan presiden Umno itu.

Terbaru Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan semalam yang mahu Dr Mahathir tidak lagi mengkritik pentadbiran Najib secara terbuka kerana dikatakan akan memberikan peluru kepada pembangkang.

Ahmad Maslan, sama seperti Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya masih lagi tidak menjawab kritikan Dr Mahathir terhadap pentadbiran Najib.

Mereka hanya mengelak seperti Hishammuddin yang menjadikan contoh krisis Penerbangan Malaysia Airlines MH17 sebagai contoh kejayaan pentadbiran Najib.

Zahid pula mahu Dr Mahathir turut menghormati Najib kerana beliau kini memimpin pada zaman yang berbeza.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum menyatakan pendiriannya.

Dikhabarkan timbalan presiden Umno itu tidak akan mengadakan sidang akhbar dalam jangka masa terdekat untuk mengelak ditanya pemberita berhubung kritikan Dr Mahathir.

READ MORE HERE

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Najib dan Mahathir tiada pergeseran. Pandai saja nak reka cerita.

Tanpa Nama berkata...

Betul tu bro..pandai2 pulak mereka nk menafikan cerita tu..padahal memang betul pn...hidup apa nama apa nama...!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...