23 Ogos 2014

PROTON LANCAR MODEL ( PCC ) PROTON COMPACT CAR...NAMPAK OK...HARGA?

MODEL kompak yang dijangka menjadi model terbaharu Proton. Pengeluar kereta nasional itu akan melancarkan model terbaru yang dijangka dikenali sebagai Airis atau Iriz tidak lama lagi. - Foto ihsan www.indianautosblog.com

Model kompak terbaharu Proton dengan 6 beg udara

SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd (Proton) akan melancarkan dalam masa terdekat model kompak pertamanya dengan kod nama PCC.

Proton Compact Car (PCC) dalam segmen B, dihasilkan menerusi dua penekanan utama iaitu tahap keselamatan terbaik dan ekonomi bahan api tetapi ditawarkan pada harga mampu milik.

PCC dibangunkan menerusi platform terkini Proton menggunakan enjin terbaharu VVT bersesaran 1.3 dan 1.6 liter dengan transmisi manual serta automatik ditawarkan dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium.

Selain itu, PCC juga akan menggunakan omboh, blok dan injap baharu, pertama seumpamanya bagi model Proton, sekali gus bakal menampilkan model terbaik keluarannya setakat ini.

Ketua Pegawai Teknikal Proton, Abdul Rashid Musa, berkata pengenalan model kompak itu yang memberi nilai kepada wang rakyat Malaysia mendapat pengiktirafan lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) dan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (NCAP).

"PCC dilengkapkan dengan enam beg udara dan sistem ABS, EPS dan hill hold assist serta enjin VVT 10 peratus lebih menjimatkan minyak berbanding Campro sebelum ini," katanya dalam taklimat di sini baru-baru ini.

PCC menjana 110 kuasa kuda (hp) dan kilas 148 Nm selain mampu mencecah kelajuan lebih 180 kilometer sejam.

Enjin VVT (injap pemasa berjujukan) yang digunakan pada PCC adalah permulaan kepada generasi enjin baharu yang akan digunakan pada model akan datang kenderaan Proton bagi menggantikan Campro.

PCC juga akan menggunakan stereng kuasa elektrik hidraulik yang menjadikan stereng lebih ringan pada kelajuan rendah dan berat serta seimbang pada kelajuan tinggi.

"Harga dan spesifikasi lain akan diumumkan pada pelancaran PCC tidak lama lagi," katanya sambil menambah PCC bukannya model yang menggantikan model Savvy sebaliknya segmen baharu bagi Proton.

Mengikut Abdul Rashid, penggunaan teknologi terkini dalam rekaan dan keselamatan pada PCC yang ditawarkan dalam tujuh pilihan warna, adalah sejajar dengan apa yang dimahukan pelanggan Proton.

Sementara itu Ketua Reka Bentuk Proton, Azlan Othman, berkata PCC dibangunkan dalam tempoh dua tahun selepas prototaipnya dibangunkan pada tahun 2010.


GSC_01

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...