19 Februari 2014

Hot! Jepun pun malu bila kerajaannya menindas

TMI

Maka ramailah orang memperleceh Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana dia percaya imigresen Jepun dipengaruhi oleh anasir pro-BN atau pro-Najib sehingga menyekatnya masuk ke negara itu.

Dia terpaksa balik bodoh sahaja ke tanah air.
Mungkin justeru kes fitnah yang dikenakan kepadanya menyebabkan kerajaan Jepun melarangnya masuk.

Dia ke Jepun untuk bercakap tentang Islam dan demokrasi yang dikendalikan oleh NGO Jepun sendiri.

Sejak dia keluar daripada sekolah Sungai Buloh, sudah beberapa kali dia masuk ke Jepun, tiada apa-apa sekatan.

Sebelum pecah isu Kajang ini pula, dia dilarang masuk, dan kerajaan Jepun gagal memberi alasan.

Apabila dia mengesyaki anasir tertentu dari negara ini mempengaruhi Jepun, ramailah jurubodek Umno dan kerajaan Najib mempelupuh Anwar sebagai orang yang gelojoh mempolitikkan apa saja demi kepentingannya dan politiknya.

Bagi mereka, Anwar adalah orang yang paling tidak berguna, dan logiknya geng anti-Anwar itulah wargenegara kita yang paling berguna, paling benar dan tiada cacat.

Tentulah Jepun ada alasan kukuh untuk melarang Anwar masuk.

Anwar sekadar menyatakan bahawa Jepun tidak pernah antinya dan merasa ajaib apabila tiba-tiba dilarang masuk.

Tentulah pihak tertentu di Jepun terkeliru.

Tiba-tiba datang orang dari Jepun yang berkaitan dengan jemputan ke atas Anwar itu meminta maaf kepada Anwar atas tindakan imigresen Jepun yang dikiranya memalukan Jepun dan rakyat Jepun.

Tindakan kerajaan Jepun itu dibantah oleh orang Jepun.

Lalu mereka menganjurkan satu majlis lain, meminta Anwar jangan serik untuk ke Jepun lagi.

Mereka meminta Anwar memberi jaminan akan hadir juga pada tarikh yang mereka tetapkan itu, dan Anwar pun bersetuju untuk ke Jepun semula.

Apa terjadi kepada tempelak konco anti-Anwar tadi?

Dalam kes di imigresen Jepun ini, Anwar dimalukan dan menjadi mangsa penindasan.

Penindas jelasnya ialah imigresen Jepun.

Masyarakat Jepun malu menjadi pihak yang menindas dan bangun membela sesiapa saja yang dirasakan ditindas dan tidak diberi layanan yang adil.

Dalam kes Anwar ini, rakyat Jepun mengeluarkan belanja datang ke Kuala Lumpur, meminta maaf kepada Anwar.

Habis duit mereka untuk menebus malu itu. Tiada apa ertinya duit dibandingkan rasa malu dan jati diri.

Apakah bagi orang Malaysia, kejadian ke atas rakyatnya bukan satu penindasan dan tidakkah ia sengaja memberi malu kepada rakyat kita?

Jika Malaysia sebuah negara bermaruah dan rakyatnya merdeka dan bermaruah, maka ia tidak akan benarkan sesiapa dengan sesenang itu memalukan rakyatnya.

Jangankan ketua pembangkang di Parlimen dimalukan, hatta seorang Orang Asli yang tidak pernah bersekolah dan tidak tahu memakai kasut pun jika dimalukan, maka bangsa yang bermaruah mesti mengutuk penindasan dan tidak menafikan keadilan.

Itulah bezanya Jepun dengan orang kita yang separuh masak maruahnya. Jepun benci kepada penindasan, sekalipun terhadap orang asing.

Tetapi ada orang di Malaysia bukan sahaja tidak peka kepada keadilan dan penindasan, suka pula Anwar ditindas.

Adalah benar Anwar banyak menyusahkan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia.

Dia penentang ulung Umno dan BN, tetapi bukankah dia rakyat kita dan ketua pembangkang yang diiktiraf oleh Parlimen?

Ketua pembangkang adalah Perdana Menteri menunggu. Maka suka pula rakyatnya ditindas.

Mungkin kerajaan tidak terasa untuk membelanya, kerana itu adalah masalahnya.

Tetapi janganlah jadi bangsa yang setuju kepada penindasan, sekalipun terhadap orang yang kita benci.

Apa yang terjadi adalah, rakyat Jepun mengajar kerajaannya dan jangan kata ia tidak mengajar maruah rakyat Malaysia yang separuh masak!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...