16 Februari 2014

BR1M BOLEH BANGKRAPKAN MALAYSIA

Pemberian tunai Najib boleh bangkrapkan Malaysia, kata pakar kepada Dr Mahathir


Inisiatif Najib memberi bantuan wang tunai hanya akan memburukkan ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus menghentikan pemberian tunai kepada golongan berpendapatan rendah kerana ia akan membangkrapkan Perbendaharaan, selain tidak mengurangkan jurang pendapatan antara orang Melayu dan Cina, kata wartawan veteran.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin mengatakan, ini adalah diantara rungutan dibuat kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menasihatkan pengadu supaya “menjerit” mengenai isu dan permasalahan jika mereka berasa Najib dan kerajaan perlu memberikan perhatian.

“Hentikan menjadi Santa Klaus. Duit bukan segala-galanya dan pemberian tunai akan bangkrapkan Perbendaharaan. Cari jalan yang lebih mampan untuk membantu golongan miskin dan merapatkan jurang pendapatan di antara yang miskin dan kaya di kalangan kaum berbeza,” tulis Kadir dalam blognya, The Scribe semalam.
“Sama ada ia kebetulan atau lahir daripada polisinya, program dan proklamasi, jurang pendapatan nominal antara orang Melayu dan Cina semakin melebar sejak 2009 (tahun Mohd Najib menjadi PM), memadamkan keuntungan yang dibuat dalam dekad yang lalu,” tambahnya.

Menurut Kadir, Najib harus menghentikan penggunaan dana awam untuk pemberian tunai dan kenaikan gaji yang tidak membantu produktiviti dan kemampanan.

“Penduduk luar bandar – penyokong kuat Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 2013 – lebih teruk sekarang berbanding pada 1957 jika dibandingkan dengan penduduk bandar,” katanya dalam tulisan terbaru diblognya.

Kadir mengatakan, Umno harus ingat, kebanyakan daripada 88 kerusi Parlimen dimenangi di Semenanjung tahun lepas adalah di kawasan pedalaman.

Begitu juga kerusi dimenangi BN di Sarawak dan Sabah juga di kawasan pedalaman.

Semasa mengumumkan Bajet 2014, Najib mengatakan isi rumah dengan pendapatan RM3,000 ke bawah layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM650 sementara bagi yang bujang dan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,000 akan menerima bantuan sebanyak RM300.

Sejumlah RM4.6 bilion diperuntukkan kepada 7.9 juta rakyat Malaysia menerima BR1M yang Najib mulakan tiga tahun lalu sebagai langkah untuk membantu 40% rakyat Malaysia.

Kadir yang memimpin New Straits Times dari 1988-2000 juga berkata, hanya 10% Bumiputera digajikan di dalam sektor pengurusan dan profesional pada 2012, menurun sedikit dari 2009.

Sejumlah 62% digajikan dalam sektor semi-mahir termasuk pemandu bas, dan selebihnya pekerjaan tidak mahir, katanya dan menambah kadar penggangguran anak muda sangat tinggi.

Bagi kumpulan umur 15 hingga 19, 25.7% adalah India, 15.6% (Melayu), 18.9% (Bumiputera bukan Melayu) dan 9.9% (Cina) yang mengganggur pada 2012.

Bagi kumpulan umur 20-24, 14.1% daripada penggangur adalah India, 9.9% Melayu, 13% Bumiputera bukan Melayu dan 7.1% Cina.

“Ini menjelaskan mengapa pengelibatan masyarakat India dalam jenayah tinggi,” kata Kadir apabila mendedahkan kebanyakan komen datang daripada sesi tidak formal Perjumpaan Kedai Kopi (KKA) dengan ahli politik, ahli politik veteran, ahli ekonomi dan pemberita.

Beliau mendedahkan salah satu daripada sesi ini melibatkan Dr Mahathir di mana tiga ahli ekonomi Melayu “terdesak untuk didengari.”

“Dr Mahathir menasihatkan mereka untuk ‘menjerit” mengenai isu dan masalah yang mereka rasa PM dan kerajaan harus tahu dan ambil perhatian.

“Ini adalah vintage Dr Mahathir. Mesej ‘jerit’ itu adalah benar-benar Mahathir. Apabila kamu tidak mempunyai kuasa untuk bertindak, kamu jerit,” tulis Kadir dalam blognya.

Wartawan veteran itu mengatakan, Dr Mahathir pernah memberitahunya, “apabila beliau di luar Umno dan tidak berkuasa, beliau menjerit untuk didengari”.

“Daripada barisan yang beratur di pejabatnya, di Yayasan Kepimpinan Perdana, Proton dan Yayasan Albukhary, jelaslah walaupun beliau sudah tidak berkuasa, beliau masih lagi berpengaruh, mengadakan pertemuan Kabinet Rakyat dengan pelbagai golongan dalam masyarakat yang mempunyai sesuatu untuk diceritakan, nasihat untuk diminta, dan semangat untuk dikuatkan – seperti pemimpin veteran Wanita Umno yang dihalau di pejabat perdana menteri kerana datang tanpa membuat temujanji,” tambahnya.

Kadir juga mengatakan, persoalan mengenai perubahan dalam kepimpinan politik sudah dibincangkan dalam siri-siri kedai kopi.

“Dalam satu jamuan makan malam makanan Yemen yang mahal, satu soalan timbul: Jika Mohd Najib letak jawatan (atau dipaksa berbuat demikian), siapa yang boleh menggantikannya?

“Jawapan tidak spontan. Saya terpaksa mengambil masa menggaru kepala sebelum mereka menyebut nama Muhyiddin Mohd Yassin. Ini kerana Muhyiddin sudah menyatakan beliau tidak berminat untuk jawatan itu dan sudah letih,” katanya.

Kadir mengatakan mengikut hiraki, Muhyiddin seharusnya menjadi pengganti kerana beliau merupakan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

"Akan tetapi seperti Mohd Najib, beliau tidak dipilih oleh ahli. Beliau hanya disokong untuk Majlis Tertinggi Umno.

“Pemimpin Umno yang paling kanan dan dipilih secara demokratik adalah Ahmad Zahid Hamidi yang menang naib presiden dengan jumlah undi tertinggi dalam pemilihan tahun lepas. Akan tetapi kebanyakan delegasi KKA tidak memikirkan beliau adalah pengganti pilihan.

“Pilihan adalah kepada Hishamuddin Hussein, naib presiden Umno ketiga dan adik saudara Mohd Najib,” katanya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...