28 November 2013

Ketua Pembangkang Selangor anggap kenaikan saraan Adun, MB wajar


SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) menganggap kenaikan saraan untuk anggota pentadbiran kerajaan negeri, Speaker dan Timbalan Speaker juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu adalah berpatutan serta wajar.

Shamsuddin (gambar, kanan) berkata, hal itu berikutan kenaikan terakhir pada 2011 yang dilakukan perlu dikaji semula selaras dengan meningkatnya bebanan tugas tanpa mengira masa, perbelanjaan untuk masyarakat yang diwakili dan kos sara hidup semakin meningkat.

“Memang wajar sebab ia selaras daripada aspek pelarasan gaji yang dibuat di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan juga aspek kutipan hasil Selangor yang semakin meningkat.

“Adun Selangor dinaikkan tidak melebihi 70 peratus daripada kenaikan yang diterima Adun di Sarawak,” katanya di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Shamsuddin menganggap kenaikan itu adalah motivasi kepada semua yang terbabit dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

Adun (PKR-Seri Muda) Shuhaimi Shafiei (gambar, kiri) pula menganggap keputusan itu adalah satu inisiatif kepada semua pihak terbabit dalam menjayakan dasar kerajaan negeri.

“Ia satu semakan semula memandangkan ia kali terakhir pada 2010 hanya membabitkan Adun tetapi kali ini secara menyeluruh termasuk gaji Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker.

"Kita harap ia akan menyuntik semangat semua anggota kerajaan dan legislatif dalam mengurus tadbir lebih baik lagi,” katanya.- 
Selangorkini


RESPON MB:

Selangor tidak akan tangguh kenaikan gaji, kata MB


Kerajaan negeri Selangor hari ini menegaskan pendirian mereka untuk tidak menangguhkan kenaikan gaji yang dijadualkan bermula 1 Januari tahun depan kerana telah mendapat persetujuan 100% Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) menegaskan, kedua-dua Adun daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mencapai kata sepakat berhubung kenaikan tersebut, dan Dewan telah bersetuju perkara itu akan dilaksanakan.

"Saya tak akan pertimbangkan. Ia telah diputuskan Dewan," katanya kepada pemberita selepas sidang DUN di Shah Alam, hari ini. 

Malah, Abdul Khalid menegaskan, sebelum perbahasan berkenaan perkara itu dilakukan, beliau telah memaklumkan kenaikan gaji itu hanya akan dilakukan dengan persetujuan Adun PR dan BN.
Adun Pelabuhan Klang itu bagaimanapun berkata, sekiranya ada mana-mana ahli Dewan yang tidak bersetuju dengan kenaikan tersebut, boleh menyalurkan lebihan pendapatan mereka kepada saluran-saluran lain.

"Adun PR dan BN semua setuju. Semasa dibahaskan tiada bantahan daripada mana-mana pihak.


"Jadi kalau ada yang tidak bersetuju, boleh dermakan kepada sesiapa," katanya.  Beliau turut berkata, sehingga hari ini, selain Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, tiada pihak lain yang menggesa beliau untuk menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji tersebut.


Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) Selangor hari ini menggesa kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan adun negeri itu agar penilaian semula dengan kadar berpatutan dapat dilakukan.
Azmin berkata biarpun BBC tidak menolak kenaikan gaji tersebut, kadar yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah terlalu tinggi.

Menurut Adun Bukit Antarabangsa itu, sepanjang tempoh cadangan pelaksanaan kenaikan gaji, Abdul Khalid tidak pernah berbincang dengan BBC. "Kita tidak tahu bagaimana pelaksanaannya dan kerajaan negeri sudah umumkan semalam. Tidak ada perbincangan langsung yang dibuat bersama BBC," katanya yang juga merupakan ahli Parlimen Gombak dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Pagi tadi, Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar turut mengulas mengenai kenaikan berkenaan dengan menyifatkan ia terlalu tinggi dan mendadak. Abdul Khalid bagaimanapun berkata, kadar yang digunakan kerajaan negeri Selangor adalah berdasarkan kadar gaji di Sarawak, dan jumlah berkenaan adalah munasabah.

"Bagi sesetengah orang ini mungkin dah banyak tetapi bagi mereka yang berada dalam sektor swasta, ia tidak tinggi. Ini munasabah," katanya. "Kita tidak boleh sorokkan pendapatan. Kita sudah setuju pendapatan kita akan umumkan," kata Adun Pelabuhan Klang itu lagi. Malah, Abdul Khalid turut berkata, pendapatan mereka yang berada dalam sektor swasta juga melebihi gaji menteri.

"Kerajaan persekutuan juga guna konsultan daripada orang swasta. Pendapatan mereka ada kalanya yang jauh lebih tinggi daripada menteri. Jadi maknanya sudah ada penerimaan tentang gaji yang munasabah," kata Abdul Khalid.

DUN Selangor semalam meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 anggota Dun berkuat kuasa Januari 1 depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun daripada RM6,000 kepada RM11,250.

Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.

Abdul Khalid ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata mesyuarat exco pada November 22 bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75% daripada elaun dan gaji yang diterima Adun dan anggota pentadbiran Sarawak.


Henti perbesar isu kenaikan gaji Exco, ADUN – Dr Rani

SHAH ALAM, 28 NOV : Semua pihak diminta berhenti mempolitikkan isu kenaikan gaji Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Dr Abdul Rani Osman mempertikai pihak yang membesar-besarkan isu itu sedangkan kenaikan sama di Sarawak tidak mendapat liputan media massa.


 “Kenapa bila kenaikan elaun Adun di Sarawak tiada yang besar-besarkan isu? Semua DUN di seluruh negara akan turut menaikkan elaun Adun secara berperingkat.

“Tiada masalah pun, malah dari segi Islam pun tiada sekatan asalkan dengan cara betul,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor itu pada sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Sebelum ini, DUN Sarawak meluluskan kenaikan gaji Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, menteri kanan dan Adunnya yang jumlah kenaikannya lebih tinggi berbanding Selangor.

Bagaimanapun, Adun Meru itu berkata, BBC menafikan kenaikan itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri Besar, baru-baru ini sebaliknya menyentuh isu peruntukan kepada rakyat.

“Memorandum itu lebih merujuk kepada gesaan pemberian peruntukan secara terus untuk kebajikan rakyat,” katanya, menambah pemimpin Barisan Nasional (BN) juga menyambut baik kenaikan gaji itu.

Berjanji terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim pula, berkata kenaikan itu bukan untuk bermewah atau bermegah, sebaliknya menambah komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Budaya politik Pakatan Rakyat (PR) ialah kita mencegah elemen rasuah. Kita tidak mengambil projek daripada luar berbanding wakil rakyat yang dulu (BN).

“Wakil rakyat PR mesti ada elaun munasabah supaya tidak ambil projek atau tidak ‘sapu’ tanah. BN dulu tidak pedulikan elaun tetapi pentingkan projek,” katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...