06 November 2013

BIL LETRIK KENA GST DAN AKIBATKAN PENINGKATAN INFLASI,

Negara laksana GST catat peningkatan inflasi, kata MTEM


Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berkata, sejarah negara luar yang melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menyaksikan berlakunya peningkatan kadar inflasi selepas pelaksanaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar, berkata kurangnya maklumat disampaikan kerajaan berhubung kumpulan yang akan menerima impak akibat pelaksanaan cukai tersebut juga membimbangkan.

Mohd Nizam berkata, Cukai Barangan dan Jualan (SST) sememangnya memberi tekanan kepada pengguna kerana kadar cukainya yang tinggi namun kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik sama ada melaksanakan GST atau model percukaian yang lain.

"Kita tahu dalam sejarah banyak negara yang melaksanakan GST, inflasi pasti berlaku. Itu yang kita bimbangkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan tempoh 17 bulan bagi sistem percukaian negara ditukarkan daripada SST kepada GST, maka tempoh yang diberi harus digunakan bagi mengenal pasti masalah.

"Inilah masa pemain industri dan pengguna meneliti dan memberi maklum balas kepada kerajaan. SST yang digunakan sekarang mempunyai masalah kerana kadar yang tinggi maka masalah sistem percukaian semasa perlu diatasi sama ada memperkenalkan GST atau sistem percukaian lain,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider.

Najib semasa membentangkan Bajet 2014 mengumumkan pengenalan GST pada kadar 6% bermula April 2015 dan memansuhkan SST sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan pengurusan fiskal menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan.

Katanya, GST tidak akan dikenakan ke atas bahan makanan asas seperti beras, gula dan tepung serta bekalan air mentah.

 Cukai tersebut juga tidak akan dikenakan ke atas perkhidmatan kerajaan dan 200 unit pertama bekalan elektrik dalam tempoh sebulan untuk pelanggan domestik.


Mohd Nizam berkata, MTEM kini masih di peringkat perdebatan kerana mereka belum mempunyai maklumat yang cukup tentang model GST yang akan digunakan kerajaan.

"Kita sedar GST ada kebaikan dan keburukannya sendiri. Apabila kerajaan memberi butiran lanjut tentang GST, kami akan memberikan kata putus dan cadangan kepada kerajaan.

“GST tidak wajar dikenakan kepada barangan keperluan rakyat. Kerajaan harus jelas kumpulan mana yang layak dikenakan GST dan siapa yang akan menerima impak lebih besar akibat pelaksanaan cukai tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan berpendapatan rendah tidak harus menerima kesan akibat pelaksanaan GST sambil menggesa kerajaan untuk mengambil kira semua pandangan yang dikemukakan.

Katanya, MTEM gusar dengan cukai berganda yang akan dikenakan kepada pengguna dan dakwaan tersebut ada kebenarannya.

“Jika benar perkara itu berlaku dan rakyat yang menerima kesannya maka itu adalah tidak adil.

“Itu sebabnya kami mahu penjelasan lanjut mengenai model GST. Siapa yang terbeban, pengguna akhir atau hanya di peringkat pengilang? Jika cukai bermula dari peringkat pengilang dan pengguna menerima kesan berganda maka itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Hujung bulan lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang terdiri daripada 800,000 ahli menentang pelaksanaan GST yang dilihat membebankan pekerja berpendapatan rendah dan rakyat terbeban dengan cukai berganda dikenakan kepada mereka.

Presidennya, Mohd Khalid Atan, berkata golongan pekerja yang akan terkesan dengan pelaksanaan GST adalah mereka yang bergaji rendah dan pertengahan selain kerajaan tidak memberi jaminan kenaikan barang melampau tidak berlaku.

Katanya, meskipun Najib mendakwa barangan keperluan asas tidak dikenakan GST, namun barangan seperti sayur dan ikan sudah beberapa kali mencatatkan kenaikan harga yang menurutnya GST dikenakan bermula daripada peringkat pengilang, pemborong, peruncit dan akhir sekali kepada pengguna.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat pada minggu lalu turut meyakinkan hadirin bahawa GST tidak akan membebankan rakyat dan menyifatkannya sebagai kaedah penyusunan semula sistem percukaian negara.

Khatib berkata, dengan pelaksanaan GST, sistem percukaian negara akan dapat diurus tadbir dengan lebih berkesan, saksama dan efisien selain dapat mengelak berlakunya cukai yang terselindung dan bertindih.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam pada Ahad turut berkata, kos perkhidmatan kesihatan di negara ini tidak akan meningkat dengan pelaksanaan GST pada April 2015.

Beliau berkata, sektor kesihatan merupakan antara perkhidmatan dikecualikan cukai dan meminta mana-mana pihak tidak membuat spekulasi tentang peningkatan kos perkhidmatan kesihatan di Malaysia yang boleh mengelirukan orang ramai.

Katanya, Kementerian Kesihatan akan meneliti dan seterusnya mengeluarkan senarai terperinci jenis perkhidmatan kesihatan dikecualikan GST untuk maklumat orang ramai apabila sistem cukai itu dilaksanakan kelak.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Habis setahun 2015 kaut duit. Jaga2lah, dekat pru nanti boleh juga dibatalkan atau ditukar nama lain untuk menunjukkan Keraaajaan prihatin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...