07 November 2013

BATAL PENDAFTARAN PAS, KENYATAAN KARPAL DIPUTAR BELIT - PENJELASAN

Putar belit kenyataan Karpal, cuba rosak kesepakatan PR: Kit Siang



KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER: 

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang meminta semua pihak lebih berhati-hati kerana ada pihak sedang cuba untuk merosakkan kesepakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, terbaru ada pihak memutarbelitkan kenyataan Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Bukit Gelurgor, Karpal Singh dengan dakwaan mahu pendaftaran PAS dibatalkan.

“Saya sendiri telah bercakap dengan Karpal dan menjelaskan bahawa beliau tidak langsung menyeru supaya pendaftaran PAS dibatalkan.

“Sebaliknya Karpal mengkritik Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) kerana mengugut Majlis Peguam lantaran sokongan yang diberikan badan itu terhadap akhbar mingguan Katolik, Herald, sambil menekankan bahawa demi kepentingan perpaduan nasional, badan politik atau profesional tidak wajar beroperasi dalam kerangka perkauman atau keagamaan,” katanya mengulas laporan media yang mendakwa Karpal menyarankan parti berasas kaum dan agama tidak dibenarkan.


Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, rakyat Malaysia yang rasional dan patriotik kian bertambah runsing dengan melonjaknya kadar retorika perkauman, kurangnya toleransi agama serta kebencian di negara ini.

Katanya, kerisauan sebegini tidak wajar dibiar terpinggir dan diputarbelitkan dengan dakwaan tidak berasas kononnya Karpal mahu PAS dibatalkan pendaftarannya.

Menurut beliau, apa yang diperlukan kini ialah supaya warga Malaysia yang rasional dan patriotik mengekalkan fokus mereka menuntut supaya segala retorika perkauman kebencian dan kurangnya toleransi agama ini kian berkurang kerana ia jelas berlawanan dengan nilai wasatiyah dan inklusif yang dirangkum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam polisi 1Malaysianya, selain pada kempen antarabangsanya ke arah ‘Global Movement of Moderates’.

Berikutan kenyataan Karpal itu, PAS membantah keras cadangan Karpal itu kerana menganggap kenyataan itu serius dan membahayakan.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kesal jika benar kenyataan itu dan menganggap tidak berasas dan memperlihatkan Karpal gagal memahami perjuangan parti Islam itu.-Roketkini.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...