02 September 2013

PUNCA RM JATUH TERBONGKAR....


 PM  perlu perjelas status hutang 1MDB




DAP hari ini meminta penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung faedah serta pertumbuhan ekonomi yang dinikmati rakyat Malaysia daripada pinjaman bernilai RM38.4 bilion oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang menyumbang kepada peningkatan kadar hutang kerajaan persekutuan dalam KDNK sehingga mencapai 70 peratus.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar), berkata jaminan pinjaman yang begitu besar dan tidak dijelaskan oleh kerajaan persekutuan mengakibatkan agensi Fitch Ratings menyemak semula unjuran kredit Malaysia daripada ‘stabil’ menjadi ‘negatif’.

“Fitch mempersoalkan hutang yang tidak disenarai rasmi melalui jaminan kerajaan sehingga mencecah hampir RM150 bilion, yang meningkatkan jumlah hutang rasmi kerajaan daripada RM502 bilion menjadi RM650 bilion pada penghujung 2012.


“Kerajaan Malaysia mengecilkan jumlah hutang kerajaan persekutuan dengan tidak mengambil kira hutang yang tidak disenarai secara rasmi sebagai sebahagian daripada hutang kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika kedua-dua hutang rasmi kerajaan dan hutang yang dijamin kerajaan dikira bersama, kadar hutang kerajaan persekutuan terhadap KDNK akan mencecah 70%, bukan 54 peratus seperti didakwa, malah menyalahi undang-undang yang menetapkan takat statutori sebanyak 55 peratus sahaja.

Katanya, kebanyakan hutang yang dijamin kerajaan ini berpunca daripada instrumen kewangan seperti pinjaman 1MDB bernilai AS$12 bilion atau RM39 bilion melalui terbitan bon.


“Sehingga hari ini, rakyat Malaysia masih tidak tahu siapa pihak pengurusan serta status pinjaman RM39 bilion yang dijamin oleh mereka, terutama sekali sama ada 1MDB menghasilkan sebarang keuntungan yang boleh dijadikan wang tunai.

“Khabar angin bahawa 1MDB dikaitkan dengan kroni muda kepada pimpinan BN memerlukan perkiraan penuh bagi dana awam yang begitu besar berjumlah RM39.5 bilion atau hampir RM1,500 untuk setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, demi kepentingan nasional serta menjulang prinsip akauntabiliti dan ketelusan, penjelasan perdana menteri diperlukan bagi mengetahui status semasa 1MDB.

Penghujung Julai tahun ini, Fitch menilai unjuran kredit Malaysia berubah daripada stabil ke negatif berikutan kemungkinan kelemahan kewangan awam selepas Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

Berita itu muncul selepas ringgit Malaysia jatuh ke paras rendah berbanding dolar Amerika untuk tempoh tiga tahun dan 15 tahun rendah berbanding dolar Singapura menjadikan dagangan import lebih mahal sementara nilai eksport lebih rendah meskipun jumlah eksport menurun.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...