19 Januari 2013

Panas ! Yang mana satu kita hendak percaya?


Yang mana satu kita hendak percaya?


Zaman saya kanak-kanak dan remaja dulu, hidup susah tetapi hati kita umumnya senang. Ada makan, ada pakai dan ada rumah robek cukuplah. Itu zaman penjajah dan zaman awal merdeka.

Alhamdulillah, hasil kemerdekaan hidup menjadi lebih senang. Makan lebih daripada mencukupi. Kita tidak sehelai sepinggang lagi. Rumah robek masih ada, tetapi tidaklah sebanyak zaman dulu. Robek-robek pun rumah kita juga. Yang kita takuti adalah semakin ramai orang kita tidak mampu lagi memiliki sebarang bentuk kediaman — terpaksa menyewa sepanjang usia.

Hari ini, yang nampak lebih ketara adalah ramai orang mengeluh, tidak senang hati, marah dan menyampah. Rasa ketidakberdayaan seperti ini adalah negatif dan berbahaya. Boleh membawa kepada gangguan mental.

Mungkin punca ramai orang celaru adalah maklumat yang terlalu banyak, terlalu pelbagai, terlalu pantas dan disalurkan pula melalui terlalu banyak medium — arus perdana, propemerintah, antipemerintah, propembangkang, antipembangkang, bebas, berkecuali dan macam-macam lagi. Zaman saya hanya ada Radio Malaya, Utusan Melayu, Warta Negara, Straits Times dan Straits Echo.

Kemelut nilai RM

Ambil contoh akhbar arus perdana The Star hari ini. Satu laporan mengatakan harga keperluan perayaan Tahun Baru Cina (TBC) naik kerana kadar tukaran mata wang ringgit.

Antara lain, laporan dari Georgetown itu berkata, harga barangan perayaan TBC yang diimport dari China dan Negeri Thai naik antara 5 peratus dan 10 peratus “kerana perbezaan mata wang”.

Kalaulah laporan itu tepat, kesimpulan yang boleh kita buat adalah harga naik kerana nilai ringgit Malaysia lebih rendah daripada renminbi (yuan) China dan baht Thai.

Tetapi dalam laporan lain bertajuk “Ringgit strengthens and emerges as Asia’s 2nd Best” diberitakan yang RM muncul sebagai mata wang kedua terbaik di Asia sejak permulaan tahun ini.

Awal minggu ini, nilai ringgit mencatat paras tertinggi dalam dagangan harian pada kadar 3.0032 bagi setiap satu dolar, iaitu paras paling tinggi dalam tempoh sembilan bulan sejak 12 Mac lalu.

Kita pun hairanlah sikit apabila Bank Negara kata bagus nilai ringgit naik. Tetapi apabila nilai ringgit merosot, Bank Negara kata bagus juga. Memang betul, sebagai negara perdagangan yang eksport dan import barangan, kita untung. Apabila nilai ringgit naik, kos import turun. Tetapi bagi orang yang import barangan kita, kos import naik dan mereka mungkin kurangkan import.

Lagipun, kalau ringgit naik berbanding dolar saja tidak memadai kerana memang nilai dolar jatuh disebabkan ekonomi Amerika meleset dan kerajaannya pula sedang hadapi masalah belanjawan yang sangat rumit.

Seperkara lagi, kita pun hairan apabila pihak berkuasa berdiam diri mengenai dakwaan kononnya berbilion dolar mengalir keluar dari negara kita secara haram. Peliknya, yang sama apabila masuk ke Singapura atau Hong Kong tidak haram lagi.

Yang saya tahu, harga makanan ikan, burung dan ayam naik. Pelihara ikan dan ayam serta beri makan burung liar adalah kegemaran saya. Jadi, sedikit sebanyak saya tahulah keadaan harga barangan import.

Harga makanan di restoran dan gerai pun sudah banyak naik. Ada yang naik dari segi harga manakala yang lain pula “naik” melalui pengecilan hidangan. Dulu sebungkus nasi lemak sudah kenyang. Sekarang dua bungkus pun tidak sekenyang mana. Roti canai dan hidangan lain pun macam itu juga.

Ramal dan tilik pilihan raya

Tak sah kalau tak cakap sikit fasal politik. Makin hampir pilihan raya umum, makin panas dan makin pelbagai ramalan.

Syirik atau tidak, satu hal. Yang sahih, antara ramalan itu banyak yang karut-marut dan syirik. Anehnya, ramalan karut-marut lebih selamat daripada ramalan berdasarkan simulasi berkomputer. Silap-silap kena buang kerja.

Ada yang kata tengok bintang dan cakerawala. Ada yang suruh tanya tukang tilik. Ada yang kata sami Buddha dan Hindu lagi tahu. Ada yang yakin pembaca daun teh lebih tepat. Ada yang tanya sami wanita dari Burma, Kiai Jawa dan bomoh Siam dari Songkla.

Yang pergi berdoa di Makkah dan Madinah itu biasalah. Tidak mengapa kerana orang Islam digalakkan berdoa. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai ramalan dan tilik nasib, bacalah The Star. ~ AKJ

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...