26 Disember 2012

DAP kesal kenyataan berkenaan kalimah “Allah” diputar-belit



KUALA LUMPUR, 26 DIS: DAP kesal kerana kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diputarbelitkan beberapa akhbar harian kononnya Guan Eng menggesa kerajaan Pusat membenarkan penganut Kristian di Semenanjung Malaysia menggunakan kalimah “Allah” dalam kitab Bible versi Bahasa Malaysia.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari berkata, dakwaan itu ternyata tidak benar sama sekali dan isu itu sengaja diperbesarkan.

“Dalam perutusan sempena sambutan Hari Natal, semalam, Guan Eng tidak sekali pun merujuk kepada penggunaan kalimah “Allah” di Semenanjung Malaysia,

“Guan Eng hanya meminta agar perkataan Allah dibenarkan diguna dalam kitab Bible versi Bahasa Malaysia sebagaimana penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, tambahan pula, kitab Bible versi Bahasa Malaysia hanya boleh didapati di Sabah dan Sarawak, bukannya di Semenanjung Malaysia,” jelas beliau.

Kesan daripada kenyataan Setiausaha Agung DAP yang diputarbelit itu menimbulkan kekeliruan dan salah faham di kalangan masyarakat Islam, termasuk parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

Zairil yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan bahawa tidak timbul langsung soal penggunaan kalimah “Allah” di Semenanjung Malaysia kerana apa yang diharapkan ialah hak penganut Kristian di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak tidak dinafikan kerajaan Pusat.

“Seperti yang ditegaskan Guan Eng, penggunaan kalimah “Allah” bukan saja biasa digunakan penganut Kristian di Indonesia dan di Timur Tengah.

“Penggunaan kalimah “Allah” juga adalah satu kelaziman selama berpuluhan tahun di kalangan masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar,” jelasnya.
– Roketkini.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...