04 November 2012

PANAS ! Pehal Nie.... Kerajaan PR Pulau Pinang Sokong AES



Kejayaan Pulau Pinang merekodkan lebihan belanjawan paling tinggi sebanyak RM138 juta untuk 2011, iaitu peningkatan sebanyak 312 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Agenda Ekonomi Saksama untuk mengurang ketidaksamaan rakyat Pulau Pinang

 Pulau Pinang menggunakan tafsiran berbeza bagi singkatan AES untuk tema Belanjawan 2013 iaitu Agenda Ekonomi Saksama adalah berbeza dengan yang dipopularkan Kerajaan Persekutuan bagi Sistem Penguatkuasaan Automatik bagi mengesan kesalahan pengguna jalan raya, termasuk memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2013 berkata, ini adalah Belanjawan kelima Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, AES diperkenalkan untuk mengurangkan jurang ketidaksaksamaan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pendekatan berani untuk memulakan proses mengurangkan ketidaksaksamaan dengan menghapuskan kemiskinan lebih awal iaitu pada 2013,bukannya pada 2015 seperti yang dirancang sebelum ini,” ujarnya.

“Inilah perbezaan AES PR dengan AES BN atau Automated Enforcement System,” tambah beliau lagi. “Satu AES PR yang memartabatkan rakyat dan memperkayakan mereka berbanding dengan AES BN yang menghina rakyat dan membebankan mereka.”

Beliau juga membidas tindakan pihak yang iri hati dengan kejayaan Pulau Pinang merekodkan lebihan belanjawan paling tinggi sebanyak RM138 juta untuk 2011, iaitu peningkatan sebanyak 312 peratus berbanding tahun sebelumnya.


“Pihak yang tidak bertanggungjawab itu meludah ke langit kerana mempertikaikan kewibawaan Ketua Audit Negara yang mengesahkan penyata kewangan Pulau Pinang sebagai benar dan saksama,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Menurut Guan Eng, Agenda Ekonomi Saksama yang dibentang adalah bertujuan mencapai kesejahteraan ekonomi, kesaksamaan sosial, pembangunan mampan dan mesra alam serta urus tadbir bersih dan cekap seiring saranan pakar ekonomi dan penasihat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Prof Jeffrey Sachs ketika melawat Pulau Pinang baru-baru ini.

Belanjawan itu antara lain mengumumkan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menghapuskan kemiskinan sama sekali, selain membayar bonus kepada kakitangan awam negeri serta peruntukan untuk kemaslahatan sosial yang memberi fokus kepada pembangunan insan, wanita, perumahan serta alam sekitar selain memartabatkan agama Islam.

Ketika mengakhiri ucapan belanjawan itu Guan Eng menutupnya dengan serangkap pantun,

AES dasar berharga,
Adil ditegak rakyat dijaga,
Pakatan Rakyat harapan bersinar,
Amar maaruf nahi mungkar.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...