24 Julai 2012

SHAFIE MUNGKIN GUGUR PRU-13? KEM NAJIB DAN MUSA AMAN TUNJUK KUASA


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan dan sedang menjalankan siasatan berhubung aduan rasmi terhadap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa meluluskan beberapa projek Top-Up (projek yang berharga luar biasa), termasuk 16 projek NKRA yang diluluskan kepada Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Okin dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing.

Maklumat dalaman yang diperolehi daripada SPRM sebentar tadi mengesahkan siasatan ditumpukan kepada 16 Projek NKRA yang menyimpang daripada tatacara tawaran biasa sehingga melibatkan penyalahgunaan kuasa, memperdaya dan mengemukakan maklumat palsu secara curang agar projek-projek berkenaan diluluskan kepada kroninya.

"Siasatan juga termasuk Projek Pembinaan Jalan Luar Bandar berimpak tinggi, Jalan Montineor-Halogilat sepanjang 12 kilometer dengan kos RM82 juta," kata sumber SPRM mengesahkan bahawa siasatan termasuk jalan berkenaan.

Kata sumber itu lagi, adalah tidak munasabah jika jalan sepanjang 12 kilometer berkenaan dibina dengan kos RM82 juta iaitu RM6.83 juta bagi satu kilometer iaitu 600 peratus lebih mahal daripada kos tertinggi pembinaan jalan luar bandar.

Sumber tersebut juga mendedahkan siasatan termasuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di Pulau-Pulau Daerah Semporna Sabah melalui tender bernombor KKLW.T.40/2011 bernilai RM95,282,320.00 yang diberikan kepada Ternama Tabah Sdn.Bhd dan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid Fasa II di Pulau Banggi melalui tender bernombor KKLW.T.67/2011 bernilai RM81,475,281.42 diserahkan kepada Usaha Serimas Sdn.Bhd.

"Sekalipun dibuat secara tender, tetapi terdapat campurtangan menteri dan manipulasi di kalangan Jawatankuasa Tender KKLW yang menjadi asas siasatan kerana kuasa Menteri KKLW hanya RM10 juta sahaja," ujar sumber berkenaan yang mengesahkan siasatan sudah di peringkat akhir.

Dalam pada itu, keberanian luar biasa Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Okin yang seolah-olah menunjukkan 'jari tengah' kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib dengan menghadiri beberapa acara rasmi anjuran Parti Pembangkang, memang dikagumi ramai pemerhati politik Sabah.

Bukan rahsia lagi jika dikatakan bahawa semua tindakan Lajim mendapat restu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang mengumpan Lajim dengan beberapa projek Pembangunan Luar Bandar bernilai RM150 juta; terutama Projek Pembinaan Jalan Luar Bandar berimpak tinggi, Jalan Montineor-Halogilat sepanjang 12 kilometer dengan kos RM82 juta.

Sudah terang lagi bersuluh, Shafie menggunakan lidah Lajim untuk mengutuk kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Datuk Anifah Aman, terutama membayar sejumlah wang tertentu kepada Sarawak Report untuk mengitar semula kes Skandal Penggubahan Wang Haram Michael Chia Tien Foh yang kononnya proksi dan adik angkat Musa Aman.

Menurut maklumat dalaman SPRM, Projek Jalan Montineor-Halogilat ini termasuk dalam siasatan mereka kerana dilaporkan sebagai 'Projek Top-Up' sekalipun dikategorikan sebagai Jalan Luar Bandar(JLB) oleh KKLW; tetapi terlalu tinggi iaitu RM6.83 juta bagi satu kilometer sedangkan kos pembinaan jalan baru dan berturap di Sabah antara RM2 hingga RM3 juta (kos naiktaraf hanya RM1 juta).

Projek HQ.191/2011(F) bagi kerja-kerja Naiktaraf Jalan Montenior-Halogilat, Beaufort, telah ditawarkan kepada Syarikat Kumpulan Kemajuan K.K. (Sabah) Sdn. Bhd. pada 15 Disember 2011 dengan kos RM 81,536,660.10 oleh Jabatan Kerjaraya sebagai Penyelia Projek setelah dipersetujui oleh Agensi Pelaksana, KKLW.

Syarikat Kumpulan Kemajuan K.K. (Sabah) Sdn. Bhd. yang dimiliki Abd Kahar Bin Bacho, Faridah Ang Mei Ling dan Sahlih Bin Sirin sebelum ini pernah melaksanakan Projek Pembinaan Kem Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD), Batalion Infantri Standard, Kem Kubota, Tawau, Sabah pada 26 Januari 2011 dengan kos RM 61,867,858.10 dan Projek Naiktaraf Jalan Apin-Apin-Kg. Bundu-Kg. Tiga (Design & Build) pada 30 Julai 2007 dengan kos RM 18,585,154.87.

Pengumuman Najib di Pekan, Pahang baru-baru ini bahawa beliau belum memutuskan senarai calon PRU-13 mungkin untuk menimbang dengan semasaknya tokoh yang mempunyai kes dengan SPRM, termasuk Shafie, Lajim, Salleh Kalbi dan beberapa Wakil Rakyat yang masih dalam peringkat saringan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

OSIN DIKUN-sabahkini.net

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...