26 Julai 2012

BUMBURING ALU-ALUKAN SIASATAN SPRM


AHLI Parlimen Malaysia (Tuaran), Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing menafikan menerima projek NKRA bernilai jutaan ringgit daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal seperti dakwaan dalam artikel 'Shafie Mungkin Gugur Pru-13?' dan mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan yang dihantar melalui sms, Bumburing menolak dakwaan bahawa beliau telah menerima projek berjuta ringgit nilainya oleh Shafie Apdal dan kini sedang di siasat oleh SPRM mengenainya.

"Sepanjang sejarah politik saya, terutama sejak Shafie Apdal menjadi Menteri Persekutuan, saya tidak pernah ditawarkan projek olehnya sebagaimana yang di dakwa itu," kata Bumburing yang menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai liar dan bertujuan menjatuhkan reputasinya sebaik sahaja beliau mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran.

Kata Bumburing lagi, beliau tidak menyedari sama ada beliau sedang disiasat oleh SPRM tentang projek yang dikatakan sebagai diberi oleh Shafie Apdal.

"Untuk makluman, secara peribadi saya dan Shafie Apdal adalah kawan baik dan rakan seperjuangan yang saling memahami peranan masing-masing," kata Bumburing yang menzahirkan keikhlasan memberi kerjasama sepenuhnya jika ada sebarang siasatan SPRM demi membuktikan bahawa tuduhan tersebut adalah palsu dan tidak berasas.

Dalam pada itu, siasatan Sabahkini.net mendapati daripada 16 Projek NKRA yang dimaksudkan disiasat SPRM, tiga daripadanya terletak di daerah Tuaran iaitu Projek membina Jalan Bungallo-Longkou Lama-Timbok, Tuaran; Projek membina Jalan Gonipis-Tebobon, Kiulu, Tuaran dan Projek membina Jalan Poring-Tebobon, Tuaran, Sabah.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada pihak tertentu menggunakan nama, pengaruh dan persetujuan Bumburing untuk mendapatkan projek yang dijalankan secara tender tertutup berkenaan.

Bukanlah sesuatu yang luar biasa di Sabah jika projek KKLW tidak diketahui atau dimaklumkan kepada Ahli Parlimen kerana sudah menjadi lumrah sejak Shafie Apdal menjadi Menteri KKLW, bagaimanapun sebelumnya semua senarai projek wajib melalui atau diketahui Ahli Parlimen sebelum dilaksanakan.

Manakala Bumburing enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada kebijaksanaan SPRM menjalankan siasatan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...