24 Jun 2012

Sakan Jugak Jenayah di Kedah, Suri Rumah Terima Bungkusan Bom Maut




SUNGAI PETANI: Suri rumah, Tan Chin Fang, 48, mangsa bom buatan sendiri yang meletup sebaik memegang bungkusan 'hadiah' itu di depan rumahnya di sini semalam, meninggal dunia pagi Sabtu.

Wanita itu disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pada 9.15 pagi kerana komplikasi akibat kecederaan parah di tangan dan perut.

Suaminya, Ng Cheng Siang, 49, berkata Tan dimasukkan ke Hospital Pakar Metro sebelum dipindahkan ke HSAH untuk menjalani pembedahan lebih lima jam.

Beliau berkata sebelum pembedahan, isterinya masih boleh bercakap serta meraung kesakitan tetapi selepas itu, keadaan Tan semakin lemah sehingga tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia.

Pemilik kilang mee itu berkata beliau berada di tingkat atas rumah mereka di Taman Angsana Sari ketika bungkusan bom yang dipegang isterinya meletup. "Saya bergegas turun ke bawah selepas mendengar letupan dan mendapati isteri dan anak seorang saudara meraung kesakitan," katanya ketika ditemui di rumah mayat HSAH pada Sabtu.

Sementara itu, Chua Shang Hang, 11, yang terkena serpihan bom, selamat dan dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Zakaria Ahmad pula berkata polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di bandar ini malam tadi bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh. -BERNAMA

“Apabila keluar rumah sejurus mendengar letupan kuat, saya terkejut melihat jiran saya terbaring berlumuran darah dengan sebahagian perut terburai dan cebisan dagingnya berselerak.”

Demikian kata saksi juga jiran kepada Tan Ching Fang, 48, yang parah akibat satu letupan selepas dia membuka bungkusan dipercayai mengandungi bom buatan sendiri di depan banglo miliknya di Taman Angsana Sari, di sini, semalam.

Saksi itu hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 40-an, berkata kejadian berlaku jam 8.20 pagi dan mangsa adalah isteri kepada seorang pengusaha kilang mi di sini. -Harian Metro

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...