NFC: SOP Kementerian Kewangan, Pertanian lemah
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati wujud kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung penganugerahan kontrak projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata ini termasuk kelemahan dalam aspek memberi arahan dan kawalan dalaman Kementerian Kewangan kepada agensi-agensi yang tidak mantap.
"Didapati pegawai yang mewakili kementerian (kewangan dan pertanian) dalam NFC tidak begitu mahir dalam tanggungjawab sebagai ahli lembaga pengarah. "Mungkin tahu (tanggungjawab) tapi tindakan-tindakan untuk pastikan sesuatu
urusan berjalan dengan sepatutnya tidak dibuat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat jawatankuasa tersebut di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Turut hadir pegawai-pegawai tertinggi kedua-dua kementerian berkenaan serta wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Azmi yang juga Anggota Parlimen Padang Besar, berkata PAC dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah mengeluarkan SOP baru untuk dipatuhi pegawainya yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah mana-mana syarikat atau projek.
"Saya tidak tahu setakat mana ia akan ditingkatkan tapi kami berharap ia akan dipertingkatkan," katanya.
Seorang lagi anggota PAC, Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) berkata antara SOP yang diberi perhatian dalam penilaian mesyuarat hari ini adalah cara perjanjian projek ladang lembu itu dirunding dan dimeterai.
Selain itu, pengeluaran wang, pengawalseliaan laporan kemajuan, tugas pengarah syarikat yang kerajaan mempunyai kepentingan serta pengendalian akaun syarikat juga diteliti.
Azmi berkata PAC juga meminta kerjasama Jabatan Audit Negara untuk meneliti beberapa dokumen tertentu yang memerlukan penjelasan lanjut.
"Kami gembira dengan kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua kementerian dan sokongan Ketua Audit Negara...EPU (Unit Perancang Ekonomi) juga ada di sini untuk membantu kami," katanya.
Selain itu, Azmi berkata pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijadual hadir mesyuarat seterusnya esok. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan