27 Februari 2012

PIHAK NFCorp TERLALU ANGKUH

NFCorp ‘terkejut dan keliru’ dengan kenyataan awal Bukit Aman


KUALA LUMPUR, - NFCorporation (NFCorp) melahirkan rasa terkejut dan keliru dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan semalam bahawa pengarah-pengarah syarikat itu disyorkan didakwa atas kesalahan pecah amanah.

Sambil menyifatkan kenyataan itu “terlalu awal”, NFCorp mempersoalkan motif di sebaliknya kenyataan itu mendakwa Syed Ismail bertindak di luar bidang kuasa.Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, NFCorp berkata, oleh kerana polis sendiri mengatakan siasatan masih dijalankan, kenyataan sedemikian adalah sesuatu yang bersifat tiba-tiba.

“Kedua, nampaknya Ketua Pengarah Jenayah Komersial telah lupa bahawa syarikat-syarikat berkaitan NFCorp di mana dana disalurkan adalah anak-anak syarikat NFCorp,” kata syarikat yang diterajui keluarga Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil.Kata kenyataan itu lagi, Syed Ismail seolah-oleh tidak memahami fakta penting dan undang-undang dalam isu NFCorp.“NFCorp terkejut dan keliru dengan kenyataan yang terlalu awal oleh Syed Ismail walaupun beliau mengaku siasatan masih berjalan dan masih belum lengkap.

“NFCorp mempersoalkan motif di belakang kenyataan itu, dilihat satu percubaan secara tidak adil untuk mempengaruhi keputusan Peguam Negara. Adakah Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial cuba menggunakan kuasa Peguam Negara, jika mengikut undang-undang merupakan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk memutuskan jika terdapat satu jenayah atau bukan untuk tujuan pendakwaan,” katanya.

Semalam polis memohon Peguam Negara supaya pengarah NFCorp didakwa atas kesalahan pecah amanah selepas pemimpin pembangkang mendakwa sebahagian daripada RM250 juta pinjaman mudah kerajaan telah digunakan untuk tujuan lain.“Kami mencadangkan Pejabat Peguam Negara supaya semua pengarah NFCorp didakwa atas kesalahan pecah amanah,” kata Syed Ismail.

Hari ini Ketua Publisiti DAP Tony Pua menggesa Putrajaya dengan segera membekukan semua aset NFCorp sama ada di Malaysia atau luar negara.NFCorp, yang dimiliki oleh suami dan tiga anak Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, merupakan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan Pusat Fidlot Nasional (NFC).NFC mula menjadi topik hangat setelah syarikat itu tersenarai dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010.

Shahrizat tetap menegaskan dirinya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan projek berkenaan

NFCorp tak perlu takut kalau tak bersalah

Pihak NFCorporation tidak perlu takut dengan siasatan polis sekiranya mereka tidak bersalah, kata Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee.Beliau percaya bahawa polis telus dalam menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dalam NFCorp.

"Serahkan kepada polis dan Peguam Negara (untuk) dakwa mereka yang terbabit. Kalau tak bersalah, pihak NFCorp tak perlu takut," katanya dalam blog Umno Cheras di sini hari ini.
Semalam, polis mencadangkan agar Peguam Negara mendakwa Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail atas pertuduhan pecah amanah.

Dipetik Bernama, Syed Ali berkata kesungguhan polis menjalankan siasatan berhubung isu kontroversi itu juga membuktikan tiada keistimewaan dalam mana-mana kes walaupun ia melibatkan individu berpengaruh.
"Oleh sebab itu, saya mengalukan-alukan ketegasan polis dan memuji jabatan berkenaan kerana prihatin terhadap pandangan dan kehendak rakyat supaya siasatan dijalankan ke atas NFC," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...