29 Februari 2012

PEMBANTU BADRULAMIN DIDAKWA DISOGOK!!!


SEREMBAN, 29 FEB : Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrulamin Bahrom mendakwa pembantunya ditawarkan imbuhan lumayan oleh sekumpulan lelaki sebagai dorongan supaya menjadi saksi memburukkannya.

Menurut Badrulamin, pembantunya itu diugut supaya memberi kerjasama dan ditawarkan upah lumayan bagi membantu menjayakan satu rancangan pihak tersebut.

“Ketika saya berada di Kuantan, pembantu saya didatangi enam lelaki dengan nada memujuk dan mengugut meminta supaya memberikan kerjasama.

“Sekiranya dia (pembantu) sanggup berikan kerjasama dengan menceritakan kononnya saya begitu dan begini, dia akan diberikan imbuhan lumayan,” katanya semasa menyampaikan ceramah sulungnya di Ampangan, dekat sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Badrulamin berkata, pembantunya itu kuat semangat tidak melayan tawaran berkenaan sebelum memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, dia dan pembantunya bercadang membuat laporan polis dalam masa terdekat ini bagi membersihkan kembali namanya berikutan kejadian ditangkap khalwat lalu.

Sementara itu, Badrulamin juga berkata akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu serta stesen televisyen tempatan kerana menyiarkan laporan khalwatnya.

Malah, beliau turut memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz kerana mengeluarkan kenyataan dalam kedua-dua media itu.

“Selepas keterangan saya dan wanita terbabit diambil, Jaip mendapati dakwaan saya berdua-duaan adalah tidak benar dan pihak jabatan agama juga menerima sendiri kenyataan itu.

“Dengan itu, kenyataan Mohd Ghazali bahawa saya ditangkap berdua-duaan adalah terbatal, begitu juga laporan media berkenaan bahawa kami ditangkap berkhalwat adalah tidak benar.

“Sehubungan itu, kami akan me ngambil tindakan undang-undang terhadap kedua-duanya,” katanya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...