27 Februari 2012

KITA Nafi Zamil Ibrahim Dilantik Ketua Parti


KUALA LUMPUR, -- Parti KITA hari ini menafikan bahawa Zamil Ibrahim telah dilantik sebagai ketua parti yang baru menggantikan presiden Datuk Zaid Ibrahim.

Setiausaha KITA Masrum Dayat berkata "laporan akhbar yang memetik Zamil Ibrahim sebagai ketua parti baru menggantikan Datuk Zaid Ibrahim adalah satu berita lucu, kenyataan yang bebal dan tidak siuman, silap dan sama sekali tidak berasas.

"Ketua parti ini hanya boleh diganti mengikut perlembagaan dan peraturan parti dan bukan ikut sesuka hati sesorang bekas ahli yang dipecat secara sah atau ikut "syok sendiri".

"Mesyuarat yang dikatakan diadakan di Kota Baharu pada 25 Feb baru-baru ini bukan mesyuarat parti ini. Barangkali ia mesyuarat bekas ahli-ahli parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti pada 17 Feb lepas, dihadiri 25 daripada 30 ahli anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat, telah bersetuju sebulat suara menolak tawaran Zaid untuk mengundur diri.

Selain itu, beliau berkata parti itu tidak akan dibubar tetapi ahli yang menentang dasar parti untuk menyokong pembangkang akan diambil tindakan disiplin, termasuk memecat keahlian mereka.

"Parti ini akan menjawab surat dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pendaftar Pertubuhan berhubung aduan-aduan yang ditimbulkan oleh mereka," katanya.

Parti Kita, yang ditubuhkan setahun lalu telah diberikan surat tunjuk sebab oleh Pendaftar Pertubuhan bertarikh 9 Feb bagi menjelaskan kenapa parti itu tidak boleh dibatalkan pendaftaran selepas didapati melanggar beberapa peruntukan parti dan pertubuhan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...