04 Ogos 2011

KP JKR: Isu sebenar belum terjawab

KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Isu sebenar belum terjawab biarpun Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim akhirnya bersetuju dipinjamkan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai Ketua Eksekutif semalam.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar), beliau yakin masih "ada yang tidak kena" disebalik penerimaan bekas Ketua Pengarah JKR itu sehingga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terpaksa berkompromi menaikkan gred dan memberikan gaji lebih tinggi.

"Saya ucapkan syabas kepada dia (Judin). Saya yakin dia bukan jenis nak pangkat atau duit. Selama ini dia perjuang hak dia.

"Kalau tidak, masakan dia mengambil tindakan undang-undang menyaman kerajaan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas laporan media semalam berhubung penerimaan Judin sebagai Ketua Eksekutif CIDB setelah JPA bersetuju menaikkan pangkatnya dari Gred Turus III kepada Turus II dengan gajinya juga dinaikkan.

Lazimnya, Ketua Eksekutif CIDB ditawarkan Gred Jusa A.

CIDB membuat tawaran itu menerusi surat kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, bertarikh 22 Julai dan tempoh pinjaman bermula semalam sehingga tarikh akhir persaraan wajib Judin pada 16 Disember 2013.

Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam juga bersetuju meluluskan tawaran CIDB dengan gred itu kepada Judin.

Kemelut jawatan Ketua Pengarah Kerja Raya timbul apabila Judin dipinjamkan ke CIDB dan tempatnya digantikan Timbalan Ketua Pengarah II, Datuk Mohd Noor Yaacob pada 1 Mei lalu.

Bagaimanapun, Judin tidak bersetuju dengan tawaran itu menyebabkan beliau tidak mengosongkan pejabat, walaupun Mohd Noor sudah dilantik.

Tindakan itu menyebabkan wujud dua ketua pengarah di kementerian itu.

Difahamkan, pada masa itu, proses peminjaman bercanggah dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008, Bahagian II Perkara 4(a) untuk sektor awam.

Pekeliling itu menetapkan peminjaman pegawai memerlukan persetujuan tiga pihak, iaitu peminjam (CIDB), pembekal (JKR) dan pegawai terbabit terlebih dulu, sebelum dikemukakan kepada JPA dan dirujuk kepada SPA yang kemudian mengemukakan cadangan serta mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Daripada 1 Mei, bermakna sudah tiga bulan perkara ini berlanjutan. Sudah tentu ada kesilapan yang besar dilakukan kerajaan dalam kes ini.

"Sekarang ini masih belum terjawab, kenapa dia ditukar kepada CIDB dengan keadaan tergesa-gesa sebelum ini tanpa persetujuan tuan badan terlebih dahulu, sedangkan saya difahamkan dia seorang pekerja yang efisyen" soal Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Katanya lagi, beliau yakin penerimaan Judin disebabkan pujuk rayu pihak tertentu yang tidak mahu isu sebenar terdedah di mahkamah jika saman Judin terhadap kerajaan itu dideganr kelak.

Difahamkan semakan kehakiman saman Judin itu bakal didengan 24 Ogos ini.

"Apabila pegawai tinggi kerajaan menyaman kerajaan, sudah tentu ianya suatu yang memalukan kerajaan.

"Maka tawaran baru dikeluarkan supaya Judin menarik semula saman tersebut bagi mengelak kerajaan dimalukan," katanya.

Walaupun kemelut dua ketua pengarah di JKR itu selesai, namun kata Mahfuz lebih besar dari itu ia menjelaskan bahawa berlaku salah guna kuasa terhadap penjawat awam demi kepentingan politik pihak tertentu

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...