06 Ogos 2011

Negara sudah hilang kepimpinan

Negara sudah hilang kepimpinan - Ada jalan lain untuk membinanya.

Satu kehairanan yang pada pandangan saya ialah kita tidak serius dalam membentuk serta menyediakan kepimpinan melalui UMNO di setiap peringkat. Saya bukan orang pandai tetapi oleh kerana saya menumpukan pemikiran saya tentang isu ini ditambah pula dengan segelumit pengalaman saya amat takut dengan nasib kepimpinan Melayu pada hari ini.

Saya telah menulis tentang isu ini tetapi oleh kerana saya merasakan ianya merupakan isu yang begitu kritikal maka saya di desak oleh perasaan yang ada di dalam diri saya ini untuk menulisnya lagi. Saya berharap kepada sesiapa yang mengambil serius tentang isu penting ini elok bersama-sama memikirkannya dengan serius. Saya berharap kepada sesiapa yang hanya memikirkan politicking berpuak-puak elok berdiam diri sahaja dan terus berfikir dari masuk campur yang hanya menambahkan konflik kepimpinan tanpa kesudahan.

Negara kita merupakan negara yang berbilang kaum tetapi telah di fahami dan di terima oleh semua kaum yang politik kita dipimpin oleh orang Melayu. Tidak payah kita mengulangi cerita lama ini kerana semuanya telah terkandung di dalam perlembagaan negara.

Jangan kita menghina dan mengambil segala-galanya dengan menghentam peribadi seperti sekarang ini. Hormati pandangan masing-masing dan mari kita berbahas secara ilmiah yang penuh dengan tata susila. Tentu semua di antara kita telah pergi ke sekolah dan mempunyai sedikit pelajaran. Seseorang yang tinggi pelajarannya sepatutnya lebih berhemah dan beretika apabila memberikan pandangan untuk membahaskan apa-apa yang kita tidak bersetuju.

Melayu merupakan bangsa yang menerajui politik dan kepimpinan negara selama ini, sehinggakan semua pihak telah bersetuju untuk memilih seorang Perdana Menteri secara ‘convention’ iaitu sesiapa sahaja yang menjadi Presiden UMNO secara ‘automatic’ menjadi PM negara pada hal cara yang sebenarnya yang di maktubkan oleh perlembagaan kita ialah sesiapa yang mendapat keyakinan walaupun dengan simple majoriti akan menjadi Perdana Menteri.

Semasa sistem pemilihan PM ini di lakukan ianya tentulah berdasarkan kepada keyakinan bangsa-bangsa lain yang Melayu (UMNO) itu mempunyai kepimpinan yang tinggi tanpa menghadapi persoalan yang banyak dari mereka (Bukan Melayu). Bagi sesiapa yang serius berfikir sebagai rakyat yang mempunyai hak untuk mengundi dan mengarakan sokongan mereka kemana-mana sekali pun persetujuan mereka (bangsa asing) untuk memberikan laluan mudah ini merupakan pengorbanan yang besar kepada negara khususnya kepada orang Melayu itu sendiri.

Semangat ini telah menjadi amalam siasah negara kita dan telah berjalan dengan baik sehinggakan semua pihak mampu untuk menerima dasar baru yang dinamakan DEB pada tahun 1970 dahulu. Sebagai rakyat Melayu yang telah di hormati kewujudannya sebagai tunjang kepada siasah negara kita kita sepatutnya lebih berhati-hati dan bersyukur kerana kita telah mendapat pemimpin yang sangat di terima oleh semua kaum dan mampu menyakinkan bangsa lain untuk berkorban terus-terusan untuk kita yang sudah hilang hidayah dan kurang bersyukur itu..

Tetapi malangnya kepimpinan Melayu kita telah beransur-ansur kehilangan sanjungan tinggi bukan sahaja dari kaum lain tetapi di kalangan orang-orang Melayu sendiri. Melayu telah hilang kepimpinan yang kuat dan istimewa seperti apa yang telah kita alami dahulu.

Kepimpinan kita sudah tidak di hormati lagi kerana sejak 3 dekad yang lalu pimpinan kita di setiap peringkat telah di hinggapi oleh elemen-elemen yang telah melemahkan daya kepimpinan Melayu (UMNO) itu dengan terbentuknya budaya baru seperti budaya rasuah dan salah guna kuasa serta menghancurkan semua institusi demokrasi yang ada kepada kita. Tidak payah kita sebut dan ulangi lagi tentang keruntuhan institusi-institusi ini kerana kesuntukan masa dan ruang.

Apabila runtuhnya kepimpinan Melayu maka runtuhlah kepimpinan negara. Budaya dan sikap yang telah merosakan kepimpinan kita boleh kita katakan dengan tegas yang ianya tidak mungkin kebah dan kembali lagi ke tahad dahulu lagi kerana hampir kesemua kepimpinan kita telah terjebak dengan kepimpinan yang telah roboh ini.

Hinanya besi kerana karatnya, hinanya negara kerana kepimpinannya. Orang Melayu kini sedang dalam delima yang tidak dapat penyelesaiannya jika masih bersama pimpinan seperti ini. Maka ramai yang serius tentang masalah kepimpinan ini telah memilih untuk bersatu diluar UMNO . Ramai cendiakawan, kecuali yang ditonjolkan di dalam TV oleh kerajaan telah memilih untuk menyertai PAS.

PAS telah dilihat sebagai parti yang begitu serius dalam pembinaan kepimpinan mereka. PAS merupakan parti yang secara relatifnya adalah parti yang mempunyai disiplin yang tinggi dan ini mungkin terbentuk kerana himpitan yang kuat oleh pihak pemerintah dan media massa yang tidak bersimpati dengannya.

DAP merupaka satu lagi parti yang telah bangun dengan memberikan contoh yang baik dan memberangsangkan jika kita lihat dari kualiti manusia yang memimpinnya. Kejayaan DAP menjadi kerajaan yang baik dan telus telah membuktikan kepada rakyat yang parti itu seperti juga PAS telah mampu mentadbir dengan baik walaupun telah di himpit dengan tekanan-tekanan yang tidak demokratik dari BN yang memerintah kerajaan pusat.

Kejayaan DAP dan PAS ini tidak di sukai oleh BN khususnya UMNO dan pihak pusat telah memberikan tekanan yang kuat terhadap negeri-negeri tadbiran PR untuk menonjolkan kelemahan mereka supaya rakyat kembali memberi sokongan terhadap mereka (UMNO).

DAP kini telah dan sedang menyelesaikan masalah yang sudah lama di hadapi oleh parti itu, iaitu momokan pihak parti pemerintah yang parti itu adalah parti Cina, komunis, dan segala-galanya yang tidak baik sedangkan parti itu telah berusaha untuk menunjukan bukti yang parti itu merupakan parti berbilang kaum yang ingin melihat sebuah kerajaan yang descent dan mempunyai nilai kemanusiaan yang bermoral dan beretika dalam kepimpinan.

DAP setakat ini telah menjaga moral kepimpinannya dengan mentadbir tanpa mengambil kira bangsa dan agama. Malahan sikap terbuka DAP itu telah membuat MCA rasa cemburu dengan menuduh DAP telah memberikan keutamaan kepada orang Melayu di dalam pembahagian kontrak-kontrak baru-baru ini. Tan Cheng Liang, ketua wanita MCA telah membidas kerana kerajaan negeri itu telh memberikan banyak kontrak kepada orang Melayu.

UMNO pula menuduh telah mengenepikan kepentingan orang Melayu bagi menjauhkan sokongan orang Melayu terhadap parti yang sedang berusaha melakukan perbezaan dari apa yang di lakukan oleh kerajaan BN sebelum ini. Lim Guan Eng telah menjawab bahawa pembahagian kontrak itu adalah berdasarkan kepada kredibiliti syarikat-syarikat yang menawarkan kerja-kerja itu tanpa mengira kaum.

Berbalik kepada kepimpinan Melayu tadi saya dan ramai berpendapat bahawa Melayu sepatutnya menyertai parti yang serius di dalam membentuk kepimpinan yang bertanggungjawab samada DAP atau pun PAS tanpa menyanyikan lagu-lagu lama rasis yang amat menjemukan.

Apabila DAP serius untuk menunjukan yang parti itu bukan main-main di dalam usaha menjadikan parti itu sebagai parti yang berbilang kaum maka UMNO telah menuduh DAP sedang berusaha menggunakan orang Melayu untuk mendapat undi.

DAP yang saya hampiri akhir-akhir ini acapkali memberitahu saya dan orang ramai yang DAP bukan parti untuk menjadi Perdana Menteri kerana DAP tidak pun menurunkan calon yang secukupnya untuk menguasai Dewan Legislatif Parlimen. DAP hanya mahu melihat kerajaan yang telus dan terbuka dan jauh dari rasuah dan salah guna kuasa.

DAP akui yang DAP tidak mungkin menjadi PM tetapi isu inilah yang dimainkan oleh BN khususnya UMNO untuk menakutkan orang Melayu untuk menghampiri dan memberikan sokongan kepada parti yang serius ini.

Saya bersetuju dengan pendapat yang orang Melayu boleh mengasah kepimpinan melalui dua buah parti ini, iaitu PAS dan DAP. Di sini UMNO telah gagal seratus peratus kerana sejak hampir 30 puluh tahun yang lalu UMNO hanya mampu membina pengampu dan pembodek yang besar kerana kepentingan ekonomi yang besar sehinggakan manusia yang berkempimpinan telah secara beransur-ansur hilang dari barisan kepimpinan di setiap peringkat. UMNO telah membina dengan besarnya komuniti kepimpinan yang hanya berpolitiking dan tidak berpolitik.

Setelah menunggu sebegitu lama untuk UMNO membina kepimpinan maka ramai orang Melayu sudah memulakan langkah untuk membina kepimpinan melalui parti DAP selain dari PAS. Menyertai DAP merupakan langkah yang baik untuk orang Melayu bagi mengimbangkan komposisi kaum untuk membuktikan yang parti itu adalah benar-benar sebuah parti berbilang kaum dan agama.

PAS yang juga parti berbilang kaum yang di dominasi oleh orang Melayu jika bekerjasama dengan DAP yang juga parti yang berbilang kaum akan menambah kepimpinan Melayu di dalam siasah negara.

Saya amat merasakan yang keadaan dan kerjasama di antara PAS dan DAP itu akan memberikan impak besar terhadap usaha untuk melenyapkan permainan isu rasis dengan terbuka di hari muka.

Orang Melayu yang ingin melihat kepimpinan orang Melayu berkembang meninggalkan parti parti yang berunsurkan rasis wajar dilakukan dengan kadar yang segera. Puluhan tahun UMNO memainkan isu rasis tetapi Melayu tidak juga terbela. Dibelakang pemimpin yang memainkan isu rasis Melayu berkumandang mendendangkan isu ini adalah terdiri dari taukeh-taukeh Cina juga.

Mereka pecahkan kita dengan bangsa lain tetapi mereka mendapat habuan besar dari taukeh-taukeh Cina juga. Berdekad-dekad kita diperdaya oleh pemimpin-pemimpin kita sendiri.

Ramai di antara orang Melayu UMNO sendiri jemu dengan perpecahan di kalangan pimpinan tertinggi parti. Walaupun mereka menafikan keadaan itu berlaku kita tahu perkara itu benar. Najib sendiri kalau bergantung kepada sokongan dalaman UMNO akan meletakan diri beliau dalam kedudukan seperti telor di hujung tanduk.

Bagi saya UMNO sudah hilang segala kemungkinan akan menjadi parti yang diyakini rakyat lagi kerana sudah kehilangan kepimpinan untuk menjaga generasi kita yang akan datang. Sokongan semakin hari semakin menirus, ibarat tali gasing; lagi kehujung lagi halus.

Jika kita harapkan UMNO untuk membina kepimpinan Melayu ianya ibarat menunggu buah yang tidak jatuh. Bagi mereka yang serius tentang isu ini elok bermula dengan menghampiri parti-parti yang berkepimpinan.

Yang ada dalam UMNO hanya lah mereka yang tidak berani menggorak langkah untuk keluar dari kepompong pimpinan yang jumud dan tidak mempunyai haluan dan tujuan.-AAN

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...