05 Ogos 2011

Parlimen perlu dedah konspirator isu PR

KOTA BHARU, 4 Ogos: PAS menuntut diadakan sesi ‘pendengaran awam’ (public inquire) diadakan di seluruh negara bagi menyelesaikan isu penduduk tetap yang memegang MyPR merah didaftar sebagai pemilih baru.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pembongkaran isu PR yang disenarai sebagai pengundi selepas mendapat MyKad perlu diselesaikan secara telus kerana ia melibatkan isu keselamatan.

“Tindakan agensi tertentu menyenaraikan PR dalam senarai pemilih perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan kemungkiran mereka dibenar mengundi pada pilihan raya umum ke-13 nanti,” katanya ketika ditemui di Qaryah Ramadan malam tadi.

Sebelum ini portal berita mendedahkan seorang PR bernama Mismah disenaraikan sebagai pengundi berdaftar yang baru.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datin Jariah Mohd Said dalam kenyataannya menjelaskan Mismah telah mendapat taraf penduduk tetap pada 17 Julai 1982 dan dilulus taraf warganegara pada 31 Januari lalu.

Menurutnya juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah meluluskan sebanyak 29,290 taraf warga negara dalam tempoh 9 April 2009 hingga 15 Julai 2011.

Salahuddin yang juga Parlimen Kubang Kerian berharap orang ramai tampil ke hadapan bagi menyuarakan kecurigaan terhadap tindakan dilakukan JPN.

Menurutnya juga anggota Parlimen Pakatan Rakyat mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil segera sidang tergempar Parlimen membincangkan isu tersebut.

“Ini suatu perkara yang sangat serius, suatu pengkhianatan besar yang telah berlaku terhadap keselamatan negara.

“Dan Parlimen perlu bersidang untuk kita dedahkan siapakah sebenarnya menjadi dalang atau pun ketua konspirator sindiket tersebut,” katanya.

Beliau mendakwa konspirasi itu dianggap sangat merbahaya kepada keselamatan negara.

Menurutnya, PAS mempunyai satu pasukan membongkar sindiket tersebut di mana sehingga kini sejumlah 1,500 kes berjaya dikesan di Selangor.

“Itu baru di antara sebahagian daripada kajian terperinci yang dilakukan,” katanya

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...