01 Ogos 2011

PEMIMPIN BN RAMAI YANG TIDAK RELEVAN LAGI.

Kita kembali ke garis permulaan

Dalam situasi politik yang begitu kusut pada hari ini, apa yang perlu bagi negara ialah untuk mempunyai pemimpin yang penuh dengan ‘wisdom’ politik yang berpijak di atas alam yang nyata. Ucapan bergegar-gegar tidak lagi menjadi alat penyatu sesuatu kaum dan di antara kaum di negara yang berbilang bangsa, agama dan budaya ini.

Pemimpin yang dikatakan pemimpin yang mempunyai ‘wisdom’ itu adalah pemimpin yang tidak lagi bercakap hingga pecah anak tekak, tetapi pemimpin yang faham keadaan sebenarnya yang melanda negara. Apabila pemimpin itu faham keadaan sebenarnya maka adalah mudah bagi pemimpin itu untuk mencari kaedah penyelesaiannya mengikut kehendak semua orang dan kaum-kaum.

Tentulah di dalam membuat keputusan untuk di gubal dan di laksanakan itu ianya pasti ada pengorbanan dari semua pihak seperti kaum-kaum yang ada, pemimpin-pemimpin serta mereka yang bakal memberikan kepimpinan bagi penyelesaian itu. Yang terpenting sebelum apa-apa dilakukan semua pihak wajar insaf dan sedar serta mengakui yang keadaan ini jika tidak di selesaikan akan membawa padah dan mudharat kepada negara dan rakyat negara ini.

Segala yang dilakukan hendaklah mengikut acuan dan berdasarkan kepada masalah-masalah yang melingkungi kita semua supaya tindakan kita itu mampu menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit dengan sempurna. Selalunya masalah ini tidak akan mampu dilakukan oleh pemimpin yang menjadi penyebab kepada wujudnya masalah ini, lebih-lebih lagi jika pemimpin itu mempunyai stigma yang negative oleh kerana kelemahan kepimpinan dan faktor sampingan seperti mempunyai masalah peribadi serta keluarga.

DAN tidak juga melayakan jemaah yang bersama-sama dengan barisan kepimpinan itu. Ini di sebabkan mereka di sekeliling pimpinan itu juga mempunyai ‘accountability’ yang besar kerana segala tindakan salah pucuk pimpinan itu sepatutnya di perbetulkan oleh jemaah dalam kepimpinan itu. Jika tidak dilakukan maka seluruh jemaah tersebut wajar berkorban bersama-sama dengan pucuk pimpinan bagi mengatasi masalah yang di hadapi negara.

Pembaharuan yang dimaksudkan ialah baharu dalam semua elemen-elemen penting kepimpinan. Ianya mesti dilihat baru supaya rakyat dapat melupakan episod-episod buruk yang kita lalui. Rupa dan bentuk kepimpinan negara yang baru itu mesti mempunyai pengalaman luas dalam mentadbir dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan berjaya.

Najib dalam erti sebenarnya telah kehilangan penghormatan rakyat kerana dasar-dasar ‘flip-flop’ dan tidak ada pun satu dari dasar yang di umumkan beliau setiap bulan itu akan berjaya dilaksanakan. Rakyat sudah sampai ketahap jemu dan bosan dengan cara beliau mentadbir negara yang kini memerlukan penumpuan khusus untuk mencapai negara maju. Oleh kerana beliau bercakap terlalu banyak ada di antara kata-kata beliau itu membayangkan sikap sebenar beliau sebagai pemimpin.

Di antaranya ialah ‘aku tolong kamu dan aku akan tolong kamu kembali’. Kata-kata ini membayangkan Najib memang kekurangan ‘wisdom’ yang amat diperlukan oleh negara kini. Kata-kata itu tidak akan terlepas dari pandangan ramai yang Najib sedang membina barisan kroni yang kuat untuk mempastikan kemenangan dalam pilihanraya dan tentulah cara ini menjadikan negara ini hanya dikuasai oleh mereka yang memberikan sokongan sahaja. Jika beliau berjaya dengan ‘you help me to help you back’ ini akan secara atomatik menjadi pemimpin yang tidak legitimate.

Kita perlu memahami bahawa jika kita menggenggam kuasa secara tidak legitimate tadi negara tidak akan stabil kerana sebahagian besar rakyat tidak berpuas hati. Apa gunanya berkuasa dengan ‘you help me and I shall help you back’ kerana kuasa itu bukan sokongan yang natural dari rakyat berbilang kaum ini?

Elemen yang paling penting di dalam kepimpinan ialah kepimpinan yang mempunyai ‘legitimacy’ yang jelas. Najib tahu yang ramai di antara pimpinan yang ada di dalam kerajaan dan UMNO sekarang sudah tidak relevan lagi. Tetapi Najib tidak tahu untuk mengatakan kepada ‘warlords-warlords’ ini untuk mengundurkan diri kerana takut mereka akan menarik sokongan terhadap beliau. Isu ini sangat membebankan Najib dan kita tahu Najib tidak akan berani melakukannya. Justru yang akan menanggung perasaan dan kekecewaan ialah rakyat dan negara.

Situasi sekarang ini amat meruncing dan setiap pihak wajar melakukan sesuatu untuk menyelesaikan. Kita sudah sampai ke persimpangan dan sedang bertanya, ‘hendak melakukan untuk kepentingan peribadi saya atau untuk negara dan bangsa saya?’

Yang penting sekarang ialah untuk setiap insan berfikir dengan cermat dan jujur, mampukah kepimpinan hari ini membawa negara keluar dan kecurangan politik dan ekonOmi yang sedang berlaku tanpa kawalan pada hari ini. Mesti kita ingat yang negara ini negara kita bukan negara orang lain.

Tanggungjawab untuk menjaga negara ini terletak di bahu setiap rakyat negara ini. Apabila sudah berfikir apa-apa sahaja keputusan yang di ambil harus ditanggung oleh kita sendiri. Jangan pula kita menyalahkan orang lain jika keadaan tidak berubah kerana yang menyebabkan tiada perubahan itu adalah oleh kerana kita sendiri.

Sekarang ini UMNO tidak lagi mampu untuk membendung sokongan yang pernah mereka perolehi dahulu. Itulah sebabnya jika kita masih menggunakan isu mengenang budi misalnya, ia tidak relevan lagi kerana yang sepatutnya mengenang budi rakyat ialah parti dan pemimpin-pemimpin yang memerintah negara selama ini.

Keadaan amat serius dan jika tidak ada ‘political will’ yang kuat untuk memperbaiki keadaan kita akan menjadi rakyat yang tinggal dalam negara yang tidak mempunyai sistem dan ini akan merugikan setiap pihak terutamanya kepada rakyat yang masih terkial-kial untuk mencari kehidupan yang sempurna dalam negara yang kaya raya ini.

Seperti yang saya pernah cadangkan dahulu, ‘we have to start our nation anew’. Kita telah terlepas segala perkara yang sepatutnya menjadi genggaman kita….bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi juga setiap bangsa yang mendiami negara kita ini. Elok kita berfikir beberapa jenak untuk mengenangkan nasib negara kita setiap hari.

Mari kita mulakan politik yang diperbaharui. Mulakan perbincangan yang baru dengan semua pihak seperti yang dilakukan oleh YTM Abd Rahman dan rakan dari semua bangsa. Cari jalan yang baik dengan pembaharuan yang boleh menyelamatkan siasah dan negara kita dalam jangka masa yang panjang.

Biarlah ianya dilakukan oleh seorang yang diterima semua pihak. Yang akan melakukan itu biarlah mereka yang tidak terlibat dengan sentimen perkauman serta tidak terlibat dengan apa-apa jenayah rasuah, pembunuhan dan sebagainya.

Kata agama suci kita, “berfikir sejenak lebih baik dari beramal sepanjang malam”.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...