14 Mac 2011

Pembinaan jambatan Melaka perlu diteruskan kerana impak positif ekonomi

Pembinaan jambatan Melaka perlu diteruskan kerana impak positif ekonomi

MELAKA, 13 Mac — Cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Melaka dengan Dumai di Sumatera, merentangi Selat Melaka sejauh 35 kilometer, perlu diteruskan kerana impak positif daripada segi ekonomi dan jalinan hubungan penduduk kedua-dua negara.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata jambatan yang dianggarkan berharga US$13 bilion (RM39.4 bilion) itu wajar dibina kerana pembiayaannya menerusi inisiatif pihak swasta.

“Ada pelabur dari Melaka yang sanggup membiayai projek jambatan ini dan tidak akan melibatkan dana kerajaan dan saya berpendapat projek ini boleh dilaksanakan dan menguntungkan pada jangka panjang bagi kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Bernama-Antara 2011 di sini hari ini.

Sidang kemuncak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Indonesia (Antara) itu yang bermula semalam di Kuala Lumpur, menghimpunkan kira-kira 70 wartawan dan pengamal media yang akan berbincang serta mengemukakan pendapat berhubung dunia penyiaran dan kewartawanan.

Seminar julung kali itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Kerajaan Negeri Melaka bertemakan “Menjambatani Selat Melaka”. — Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...