06 Februari 2015

SAMAN PEMILIK THE EDGE TERHADAP JHO LOW AKAN DEDAHKAN LAGI TEMBELANG 1MDB?


Pemilik The Edge hantar surat saman kepada Jho Low



Pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong menuntut ahli perniagaan Jho Low berhenti 'pembohongan berniat jahat' terhadapnya dan penerbitan berita di bawah kawalannya. 

Pemilik The Edge Media Group, Datuk Tong Kooi Ong menyerahkan notis kepada ahli perniagaan Low Taek Jho, menuntut Low berhenti "mereka pembohongan berniat jahat" terhadapnya dan penerbitan berita di bawah kawalannya.

Katanya, peguamnya pagi ini menghantar satu surat tuntutan kepada Low, juga dikenali sebagai Jho Low, meminta beliau "berhenti dan menghentikan pembohongan yang dibuat" terhadap The Edge, The Malaysian Insider dan Tong sendiri melalui beberapa blog.

"Saya percaya Low ialah orang yang bertanggungjawab membuat pembohongan berniat jahat dan cerita palsu terhadap The Edge Media Group dan saya, melalui beberapa blog menggunakan platform blog WordPress," kata Tong dalam satu kenyataan hari ini.

Tong, pengerusi eksekutif kumpulan itu, diserang beberapa blog, yang kemudiannya dikesan bersumber dari satu blog, kerana medianya memberi liputan kepada dana pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dibebani hutang.

The Edge Malaysia melaporkan pada Selasa, blogger malaysianexpose.wordpress.com yang di belakang serangan terhadap Tong dan The Edge Media Group juga di sebalik serangan terhadap bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan eksekutif bank Datuk Seri Nazir Razak, sambil pada masa sama menulis blog lain yang memuji Low.

Satu persamaan antaranya ialah, kedua-dua The Edge dan Dr Mahathir mendedahkan perkara yang negatif tentang 1MDB.

Blogger yang tidak dikenali itu menggunakan nama umum dan nama pengguna "ahrily90" dan menerusi blognya mengkritik Dr Mahathir sejak Julai lalu.

Bagaimanapun, Low menafikan terlibat dalam serangan terhadap tiga pihak ini, mengatakan dakwaan itu mengarut dan palsu.

"Low menghormati individu tersebut kerana pencapaian profesional mereka," katanya sambil memberitahu beliau merujuk perkara itu kepada peguamnya.

Tong berkata empat hari sebelum serangan pertama terhadapnya dan The Edge, yang mengatakan beliau cuba mensabotaj ekonomi negara menerusi aktiviti spekulasi matawang bagi menjatuhkan nilai ringgit dan mengaut keuntungan daripadanya, seorang wartawan The Edge menghantar soalan kepada 1MDB berhubung pinjaman AS$975 juta diperolehinya dari Deutsche Bank pada September 2014, mengaitkannya dengan Aabar Investments PJS di Abu Dhabi.

Bagaimanapun, 1MDB tidak mahu mengulas lanjut perkara itu, mengatakan tiada apa yang perlu diperkatakannya selain seperti yang dimaklumkan di dalam laporan tahunan syarikat.

Tong berkata, The Edge banyak melaporkan tentang 1MDB kerana kebimbangan yang bukan hanya dirasai mereka tetapi ramai lagi pihak lain dalam sektor korporat dan perbankan, termasuk perkhidmatan awam juga.

"The Edge Media Group, yang termasuk The Edge dan The Malaysian Insider, percaya dengan penyertaan ekonomi dan sosial. Kami mahu menggalakkan ketelusan dan urustadbir yang baik.

"Kami cintakan negara kami dan sebagai sebuah media, kami bertanggungjawab kepada umum melaporkan sebarang isu yang menjadi kepentingan negara," kata Tong.

Sambil menegaskan yang beliau seorang warganegara Malaysia yang tidak memegang status warganegara mana-mana negara lain, katanya apabila The Edge Media Group membangkitkan isu yang menjadi cabaran negara, ia bukan satu tindakan mensabotaj negara.

Sebaliknya, ia akan membantu rakyat ke arah mencari solusi bagi kebaikan negara.

"Satu-satunya sebab The Edge menulis mengenai masalah dihadapi 1MDB ialah supaya isu itu dapat ditangani, dikekang dan diselesaikan," katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

semoga ALLAH melaknat kamu hayati bahalol

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...