04 Oktober 2014

SALINAN PERJANJIAN AIR SELANGOR HILANG DARI PEJABAT MB?

Mana salinan perjanjian air Selangor?


PETALING JAYA, 3 OKT – Pengumuman Menteri Besar Selangor Azmin Ali bahawa Kerajaan Negeri tidak memiliki salinan perjanjian penstrukturan semula air Selangor amat mengejutkan.

Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan digesa untuk mendedahkan kandungan perjanjian tersebut, yang ditandatangani secara tergesa-gesa tiga minggu lalu sebelum Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

“Adakah bekas menteri besar turut tersalah bawa perjanjian air yang penuh misteri itu ketika membungkus barang-barang peribadinya sebelum keluar dari pejabat MB?” soal Pengerusi DAP Selangor Tony Pua yang hairan bahawa salinan perjanjian tersebut turut tidak disimpan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Dalam kenyataannya Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu turut menyatakan sokongannya terhadap kenyataan Azmin supaya perjanjian penstrukturan semula dengan Kerajaan Persekutuan didedahkan kepada orang awam.

Perjanjian tersebut ditandatangani Khalid yang kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Negeri pada 12 September lalu dan dokumen berkenaan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Tidak masuk akal bagaimana seluruh kerajaan negeri termasuk ahli Exco di bawah pentadbiran Khalid Ibrahim langsung tidak tahu menahu kenapa kerajaan negeri tidak memiliki salinan perjanjian tersebut.

“Kami menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menyerahkan perjanjian tersebut dengan segera kepada Kerajaan Negeri supaya pihak negeri dapat mengetahui hak dan tanggungjawabnya,” katanya.

Jelas Pua, hanya dengan memiliki salinan tersebut kerajaan negeri boleh membuat keputusan mengenai langkah seterusnya demi melindungi kepentingan rakyat Selangor.

Menurutnya tidak ada alasan keselamatan negeri untuk tidak mendedahkan kandungan perjanjian tersebut kerana ia dikatakan hanya meliputi langkah penstrukturan semula.

Semalam, Azmin telah menyatakan hasrat Kerajaan Negeri untuk memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya perjanjian tersebut didedahkan kepada umum dalam masa satu minggu. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...