27 Julai 2014

MH17: UKRINE PERLU BERTANGGUNGJAWAB - TIONG LAI



Ukraine perlu memikul tanggungjawab dalam tragedi MH17 kerana pusat kawalan udara negara itu telah membenarkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) melintasi ruang udaranya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Kuala Lumpur akan megemukakan aduan kepada pertubuhan antarabangsa berkenaan memandangkan kebenaran menggunakan ruang udara Ukraine merupakan faktor penting yang menyebabkan nahas berlaku.

``Ukraine tidak pernah mengeluarkan sebarang notis sebelum ini. Sekiranya ruang udara mereka tidak selamat, mereka seharusnya memaklumkan MAS.

``Pusat Kawalan Udara Ukraine turut memaklumkan bahawa adalah selamat untuk MAS terbang pada ketinggian yang berlaku nahas,"
katanya kepada Sinchew Daily.

Ditanya sama ada Malaysia akan membuat aduan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Tiong Lai berkata, perkara itu masih diteliti oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, Kuala Lumpur pasti akan membawa tragedi MH17 di timur Ukraine untuk dibicarakan di Mahkamah Antarabangsa.

Tiong Lai berkata, siasatan mengenai unsur jenayah dalam tragedi itu akan diketuai oleh Belanda sementara Malaysia mahu mengambil bahagian dalam proses tersebut.

``Kita masih menunggu hasil siasatan dan setiap negara yang penumpangnya terkorban dalam tragedi ini berhak untuk membawa kes ini ke Mahkamah Antarabangsa.

``Kita bagaimanapun tidak menetapkan jangka masa untuk proses siasatan, ia bukan mudah untuk mencari orang yang bertanggungjawab," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...