26 Jun 2014

PANAS! DOKUMEN SULIT KELULUSAN KIDEX OLEH MMKN DIDEDAH....MP DAN ADUN KAWASAN SUDAH MAKLUM PADA 2012....


Selangor dedah dokumen sulit kelulusan Kidex


Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini telah bersetuju untuk mendedahkan dokumen sulit kepada awam yang melibatkan keputusan MMKN ke-6/2012 pada 15 Februari 2012 berhubung persetujuan secara dasar yang diberikan Kerajaan Selangor terhadap cadangan pembinaan Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX).

Keputusan mengklasifikasikan semula dokumen sulit kerajaan kepada dokumen awam ini dibuat menurut Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 sebagai reaksi kepada permohonan seorang rakyat Selangor, Encik Chia Gek Suan untuk mendapatkan maklumat berkaitan Documents Pertaining of The Approval of The Proposed Kidex.

Keputusan MMKN ke-6/2012 dan disahkan pada 22 Februari 2012 antara lain menyatakan bahawa;

1. Cadangan Kerajaan Negeri supaya Kerajaan Persekutuan memberi penekanan dan mengambil langkah-langkah seperti berikut;

i) Perjanjian yang adil (tidak berat sebelah) iaitu tidak memihak hanya kepada pemegang konsesi sahaja

ii) Meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan

iii) Memasukkan ke dalam perjanjian klausa penamatan awal iaitu sekiranya pemegang konsesi telah mencapai unjuran keuntungan bagi projek ini lebih awal dari tempoh konsesi tamat, maka perjanjian hendaklah ditamatkan lebih awal setelah permohonan di bawah Seksyen 3 Akta Pengambilan Tanah dan

iv) Perkara tersebut (penamatan awal) diguna pakai bagi semua lebuh raya sedia ada atau yang akan dibina.

2. Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor diminta menyelaraskan dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi membincangkan keperluan-keperluan yang melibatkan Negeri Selangor dalam perancangan pembinaan KIDEX dan mengemukakan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau Konsortium.

Keputusan MMKN ke-6/2012 itu juga membuat keputusan bahawa LLM atau konsesi berkaitan yang akan membina lebuh raya baru di Negeri Selangor perlu memaklumkan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) kawasan berkaitan mengenai cadangan tersebut terlebih dahulu sebelum dimaklumkan kepada penduduk setempat bagi memudahkan wakil rakyat menjawab pertanyaan atau bantahan orang ramai.

MMKN ke-6/2012 jelas menyatakan bahawa LLM akan memberikan taklimat kepada penduduk berhubung cadangan pembinaan KIDEX.

Selain itu, MMKN ke-6 menyatakan pendirian bahawa penswastaan hendaklah meletakkan keutamaan atau kepentingan rakyat Malaysia amnya dan Selangor kerana ia melibatkan cukai yang dibayar oleh rakyat; kos hendaklah dibuat secara terbuka dan tidak diswastakan dan apabila siap maka pulangan hasil yang diswastakan; dan kos juga perlu mengambil kira risiko dan pulangan berdasarkan penanda aras antarabangsa.

Dikeluarkan oleh SEKRETARIAT AKHBAR ,PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...