28 Jun 2014

KEKURANGAN AIR TERAWAT: INILAH AKIBAT DASAR PENGSWASTAAN YANG GAGAL DAN LEBIH TERUK APABILA KEPERLUAN ASAS DIPOLITIKAN !

Cuaca panas antara punca utama gangguan air di Selangor, KL dan Putrajaya 


Empangan Sungai Selangor yang dikendalikan Lembaga Urus Air Selangor menyusut berikutan cuaca panas 

Permintaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur (KL) dan Putrajaya yang meningkat mendadak akibat cuaca panas sekarang merupakan antara punca berlakunya gangguan bekalan air dan tekanan rendah tidak berjadual.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) krisis itu diburukkan lagi dengan beberapa kejadian termasuk gangguan bekalan elektrik di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), kejadian paip pecah di dasar lautan, dan penurunan paras air Sungai Selangor.

Gangguan elektrik berlaku di LRA SSP1 selama dua jam pada 24 Jun lepas, menjejaskan bekalan air ke Klang dan Shah Alam memandangkan tempoh bagi mengoperasi semula loji ke tahap pengeluaran biasa mengambil masa.

"Kejadian paip di dasar laut High Density Polythylene (HDPE) bersaiz 400mm yang membekalkan air ke Pulau Ketam telah pecah, menyebabkan gangguan bekalan air kepada seramai 4,800 pengguna di kawasan itu.

"Penurunan paras air Sungai Selangor pada 25 Jun lepas telah menjejaskan pengeluaran LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) menyebabkan pengeluaran loji berkurangan kepada 670 Juta Liter Sehari (JLH) daripada pengeluaran biasa sebanyak 770 JLH, dan menjejaskan bekalan air ke Gombak, KL dan Petaling," menurut kenyataan SPAN hari ini.

Menurut SPAN, semua pihak bertanggungjawab termasuk operator LRA SSP1 dan SSP3 iaitu Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan kerajaan Selangor telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi gangguan itu.

Suruhanjaya itu berkata sehingga kini, bekalan elektrik ke LRA SSP1 telah pulih dan loji itu beroperasi seperti biasa.

Bagi gangguan air di Pulau Ketam, SPAN difahamkan bahawa Syabas telah mengenal pasti kedudukan kasar kebocoran paip namun lokasi sebenar masih belum dikesan memandangkan kerosakan berlaku di dasar lautan.

"Keadaan di dasar laut akan menyukarkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan. Syabas akan memaklumkan perkembangan kerja-kerja membaiki dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, SPAN berkata Kerajaan Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dalam menangani krisis kekurangan air, termasuk meningkatkan aliran air Sungai Selangor melalui pengepaman air dari kolam-kolam takungan di sekitar Bestari Jaya.

Menurut SPAN, satu pelarasan paip akan diadakan oleh semua pihak termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), operator Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, serta LRA SSP1 dan SSP3 iaitu Splash, dan operator LRA SSP2 iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PSNB), bagi memastikan pengepaman yang maksimum dapat dibuat daripada kolam-kolam takungan.

"Pengepaman dari kolam-kolam itu akan mampu mengurangkan kebergantungan terhadap Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi," menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, SPAN berkata kebanyakan kawasan-kawasan yang mengalami gangguan bekalan air dan tekanan rendah telah mula pulih secara berperingkat.

"Bagaimanapun beberapa kawasan terutamanya di penghujung sistem dan lokasi tinggi masih belum mendapat bekalan.

"Syabas sedang menghantar bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan itu, dan ia turut menghantar bantuan dua botol air minuman berkapasiti lima liter setiap satu kepada setiap keluarga di Pulau Ketam," menurut SPAN.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...