15 Mei 2014

PEMILIHAN PKR : AZMIN TEWAS DIKEBANYAKAN NEGERI DAN CABANG !!!

BERITA BARU MASUK:

Abdul Khalid mula pintas Azmin 59 undi?

SHAH ALAM, 15 MEI: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikatakan mula memintas penyandang jawatan berkenaan, Mohamed Azmin Ali dengan kelebihan 59 undi.

Menurut sumber Selangor Kini, jumlah tidak rasmi terkini Pemilihan PKR 2014, Abdul Khalid memperoleh 11,837, Azmin (11,778) dan Saifuddin Nasution 7,624 undian.

Keputusan berkenaan diperoleh selepas selesai pengiraan di dua cabang, Sepang dan Kuala Langat dan secara tidak rasmi bagi Sepang Abdul Khalid memperoleh 594 undi, diikuti Azmin 210 dan Saifuddin tujuh undi.

Bagi Cabang Kuala Langat pula, Abd Khalid memperoleh 392 undi; Mohamed Azmin, 247 dan Saifuddin lapan undian.

Setakat ini, Abdul Khalid dilihat terus menguasai di semua cabang di Selangor.

Sementara itu, kelewatan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengumumkan keputusan terkini menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan ahli berhubung kredibiliti dan kecekapan badan itu menguruskan pemilihan parti.

Sebelum ini, pengawas pemilihan yang dilantik JPP turut dikritik ketika mengendalikan proses pengundian dijalankan.

Semakan Selangor Kini di laman sesawang rasmi PKR, kali terakhir kedudukan undian dikemaskini hanya membabitkan keputusan peringkat Perak.

Keputusan membabitkan peringkat Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor masih belum dipamerkan lagi.



Pemilihan PKR: Tidak rasmi, Wilayah Persekutuan tolak Azmin


Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali


Penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dilaporkan tewas di Wilayah Persekutuan pada pemilihan pimpinan PKR 2014-2017 yang berlangsung Ahad lepas.

Azmin dilaporkan hanya memperolehi 206 (13%) undi manakala Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapat 678 (44%) sementara Datuk Saifuddin Nasution Ismail di tempat kedua dengan 651 (42%) undi.

Selain di Wilayah Persekutuan, Azmin juga difahamkan tidak berjaya mengatasi Abdul Khalid di Negeri Sembilan.

Azmin dikatakan mendapat 595 undi atau 44 peratus undi di Negeri Sembilan manakala Abdul Khalid memperolehi 695 (51%) undi, Saifuddin mendapat 57 (5%) undi.

Di dua negeri tersebut, tidak ada Cabang yang dibatalkan pemilihannya dan dikatakan keputusan penuh sudah diperolehi.

Azmin juga dilaporkan tewas di Selangor, dimana beliau dikatakan hanya memperolehi 2,385 (40%) undi berbanding Abdul Khalid berjaya mendapat 3,262 (54%) undi sementara Saifuddin memperolehi 324 (6%) undi.

Terdapat 12 Cabang di Selangor yang terpaksa mengadakan semula pemilihan mereka akibat berlaku kekecohan atas dakwaan membeli undi dan penipuan undi pada Ahad.

Biarpun di Selangor terdapat Cabang yang dibatalkan dan terpaksa membuat pemilihan semula, namun pasukan Abdul Khalid yakin PKR akan mendapat timbalan presiden  yang baharu sebaik semua pemilihan selesai dilakukan.

Selain tewas kepada Abdul Khalid, Azmin juga dilaporkan gagal mengatasi Saifuddin di Pulau Pinang, Kedah dan Pahang.

Di Pulau Pinang, Azmin dikatakan mendapat 1,316 (36%) undi berbanding Saifuddin yang mendapat 1,758 (48%) undi manakala Abdul Khalid mendapat 595 (16%) undi.

Selain itu, Saifuddin dilaporkan turut mengatasi Azmin di Kedah biarpun Cabang Pokok Sena terpaksa membuat semula pemilihan mereka.

Difahamkan di Kedah, Saifuddin mendapat 1,161 (50%) undi berbanding Azmin yang mendapat 676 (29%) undi manakala Abdul Khalid memperolehi 500 (21%) undi.

Saifuddin juga dikatakan menang di Pahang dengan memperolehi 546 (50%) undi manakala Azmin dan Abdul Khalid masing-masing dilaporkan mendapat 393 (37%) dan 144 (13%) undi.

Di negeri-negeri lain, Azmin mengatasi dua pencabarnya biarpun terdapat Cabang-Cabang yang dibatalkan pemilihannya.

Read more at:SINI



Khalid Ibrahim yakin kalahkan Azmin, kata setiausaha politik


Menurut setiausaha politiknya Azman Bidin, calon timbalan presiden PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin dapat bersaing dengan Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan tersebut. 

Calon timbalan presiden PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin mampu menyaingi undi penyandang, Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan tersebut.

Menurut setiausaha politik Khalid, Azman Bidin, melalui anggaran undian terkini, perbezaan undi antara Khalid dengan Azmin dianggarkan kurang 1,000 undi.

"Situasi semasa ini memberikan kami kedudukan yang sangat positif.

"Jika pengundian semula dan kiraan yang masih berlangsung ketika ini dibuat secara telus, bebas dan berintegriti, PKR bakal memperoleh timbalan presiden baru untuk penggal kepimpinan yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata, berdasarkan jumlah undi yang diperoleh kira-kira 10,800 undi, menteri besar Selangor itu mengekori rapat kedudukan Azmin yang setakat ini memperoleh undi sekitar 11,300.

Azman berkata, kiraan ini diperoleh selepas ditolak undian cabang yang dibatalkan dan ditangguhkan pengundian, dan mengambil kira keputusan yang diterima Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di Selangor, Wilayah Persekutuan, dan Negeri Sembilan selain jumlah rasmi sehingga 9 Mei yang disiarkan dalam laman web PKR.

"Pencapaian semasa ini merupakan perkembangan yang memberangsangkan memandangkan keputusan rasmi pada 9 Mei sebelum ini, perbezaan undi antara Khalid dengan Azmin adalah sebanyak 3659 undi," katanya.

Katanya, melalui mood dan trend pengundian di Wilayah Persekutuan dan cabang di Selangor yang keputusannya diterima oleh JPP, pihaknya menganggarkan keputusan undian kepada Khalid di cabang yang dibatalkan dan masih ditangguhkan akan melonjak naik.

"Anggaran ini berdasarkan cabang-cabang yang dibatalkan atau ditangguhkan ini dikenalpasti sebagai kubu kuat beliau," katanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...