12 Mei 2014

KEKECOHAN PEMILIHAN PKR ...INI PENJELASAN JPP

Walau pemilihan 27 cabang ditunda, PKR masih anggap berjaya

 

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul bercakap kepada wartawan semasa sidang media di Ibu Pejabat PKR di Damansara, Selangor hari ini.

Walaupun pemilihan 27 daripada keseluruhan 198 Cabang PKR ditunda ekoran kekecohan antara penyokong dan kelemahan pengendalian sistem undi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Johari Abdul tetap mempertahankan perjalanan pemilihan parti itu setakat ini yang dianggap sebagai paling baik dan berjaya.

Johari berkata, banyak perubahan sistem dibuat sejak pemilihan 2010 yang disifatkannya lebih telus selain menerima pencalonan lebih ramai.

"Tahun 2004 hendak cari calon pun payah, tetapi sekarang ramai yang hendak jadi pemimpin, maknanya ini cabaran bagi JPP supaya lebih proaktif dan menambahbaik sistem dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.




Kekecohan dipercayai dilakukan oleh orang luar - Johari

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR percaya bahawa pemilihan pimpinan di 10 Cabang PKR di Selangor yang berakhir dengan kekecohan itu dilakukan dikalangan orang luar dari parti tersebut.

Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul berkata parti tersebut tidak bertoleransi dengan budaya samseng namun berdasarkan apa yang berlaku, terdapat perlakuan samseng yang dilakukan oleh orang dari luar parti itu.

"Sebagai contoh, kita ada rakaman video dalam pemilihan di Kuala Langat semalam di mana sebelum berakhirnya sesi pemilihan tersebut, datang lima orang remaja menyerbu masuk ke kawasan pemilihan dan menendang peti undi sehingga terkeluar kertas-kertas undi yang berada dalam peti itu," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Tropicana disini tadi.

Tambahnya lagi, meskipun kekecohan itu berlaku, pemilihan di kawasan tersebut tidak dibatalkan.

"Sehingga semalam, jawatankuasa telah bersepakat membatalkan pemilihan di 10 cabang iaitu Hulu Langat, Sabak Bernam, Sungai Besar, Subang, Klang, Selayang, Kota Raja, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kapar,".


Tiada aduan rasmi Khalid Ibrahim beri rasuah RM50, kata JPP PKR

Pengerusi Panel Bantahan (JPP) bagi PKR, Abdul Malek Hassan bercakap kepada wartawan semasa sidang media di Ibu Pejabat PKR di Damansara, Selangor pada 12 Mei, 2014. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 12 Mei, 2014.Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR masih tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan calon Timbalan Presiden Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengamalkan politik wang semasa mengundi di Cabang Kuala Selangor semalam.

Pengerusi Panel Bantahan JPP Abdul Malek Hussin berkata, setakat ini tidak ada pihak yang datang tampil mengemukakan aduan atau bantahan terhadap menteri besar Selangor itu.

"Setakat ini tidak ada aduan politik wang... bagi calon yang berjawatan negeri, termasuk Exco, kehadiran mereka dalam majlis rasmi negeri tidak disifatkan sebagai satu bentuk kempen," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Bekas ahli Parlimen Kapar yang juga calon Ketua Cabang Hulu Selangor, S Manikavasagam mendakwa Khalid memberi wang suapan kepada pengundi sebanyak RM50 seorang.

"Saya ada bukti dalam bentuk rakaman video (politik wang) dan saya akan muat naikkannya tidak lama lagi. Saya menerima aduan bahawa pemilih diberi rasuah sebanyak RM30 untuk memberi undi kepada calon yang bertanding bagi jawatan kebangsaan dan RM20 bagi jawatan ketua bahagian Kuala Selangor.

"Saya harap jawatankuasa pemilih akan bertindak segera tentang perkara ini," katanya kepada media semalam.

Namun perkara itu dinafikan Khalid, sebaliknya mengakui menaja pengangkutan bagi kemudahan pengundi ke tempat pusat mengundi
. 



Tarik baju, tunjuk isyarat lucah




Penyokong bertelagah ditenangkan oleh sebahagian ahli mereka sebelum keputusan penangguhan terpaksa diumumkan pegawai pemilihan, semalam.

SABAK BERNAM – Proses pemilihan PKR Cabang Sabak Bernam yang bermula kira-kira jam 11 pagi semalam, kecoh dan terpaksa ditangguhkan pada satu tarikh lain akibat provokasi dicetuskan penyokong calon-calon yang bertanding.

Penangguhan pada kira-kira jam 1 tengah hari itu, terpaksa dibuat berikutan berlaku pertikaman lidah dan maki hamun antara satu sama lain hingga hampir mencetuskan pergaduhan antara penyokong calon bertanding.

Dalam kekecohan itu, seorang lelaki dipercayai penyokong salah seorang calon kelihatan cuba bertindak memukul seorang penyokong lain menggunakan kayu, namun berjaya dileraikan ahli lain, manakala kayu itu dirampas anggota polis yang bertugas.

Tidak cukup dengan itu, kekecohan juga turut berlaku dalam kalangan wanita apabila menyaksikan adegan tarik menarik baju antara seorang petugas pemilihan dengan seorang ahli parti.

Meskipun cuba dileraikan, kedua-duanya terus menunjukkan isyarat lucah di antara satu sama lain dari jauh diselangi aksi ludah meludah ke tanah.

Salah seorang calon yang merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Aziz Bari mendakwa, ada calon yang turut berada dalam dewan mengundi dilihat cuba mempengaruhi pengundi.

“Calon tersebut cuba membantu ahli-ahli yang kurang upaya dan buta huruf buang undi (pangkah calon).

“Saya dan dua lagi calon merasakan perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku lalu mengadu kepada pegawai pemilihan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kejadian provokasi itu dipercayai berpunca akibat daripada kelemahan dalam sistem pemilihan baharu yang diperkenalkan oleh PKR yang mana pegawai pemilihan tidak mengenali calon-calon bertanding.

“Akibatnya, calon bebas berlegar di dalam dewan sehingga boleh mendekati pengundi," katanya.

Abdul Aziz yang menjadi calon PKR Parlimen Sabak Bernam dalam PRU13 lalu akan ditentang tiga calon lain iaitu Timbalan PKR Cabang Sabak Bernam, Abdul Talib Bujang; bekas Setiausaha Cabang PKR Sabak Bernam, Anuar Mujhir dan seorang pemandu kereta sewa, Abdul Kadir Rashid.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...