19 Mei 2014

ENGGAN BAYAR SAMAN... Lokap selagi tak bayar ini Polis atau Samseng?



Lokap selagi tak bayar ini Polis atau Samseng?

SAYA ingin merujuk kepada kenyataan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Ahmad Fuad Abdul Latif yang disiarkan di dalam facebook rasmi Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) pada 17 May 2014.

SAC Ahmad Fuad menyatakan bahawa pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap akan terus ditahan di dalam lokap sehingga mereka menyelesaikan waran tangkap. Tindakan tersebut dilakukan kerana terdapat lebih kurang 1.9 juta waran tangkap yang belum selesai.

Ada dua (2) perkara yang perlu direspond dan diperbetulkan daripada kenyataan tersebut.

Pertama : Adakah SAC Ahmad Fuad faham prosedur undang-undang sebelum mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan tersebut?
Kedua : Adakah Polis sudah menjadi along pemungut hutang atau penguatkuasa undang-undang?

ADAKAH SAC AHMAD FUAD FAHAM PROSEDUR UNDANG-UNDANG?

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan sedikit kuliah undang-undang kepada SAC Ahmad Fuad, seluruh warga Polis Trafik, seluruh warga PDRM dan seluruh warganegara Malaysia. Ada dua isu berikaitan tajuk ini. Pertama berkaitan prosedur Waran Tangkap dan kedua Menyelesaikan Waran Tangkap.

Prosedur Waran Tangkap.

Waran Tangkap ialah suatu perintah menangkap seseorang yang dituduh (OKT) atau orang yang disaman (OKS) untuk dihadapkan ke Mahkamah kerana kegagalan OKT/OKS hadir ke Mahkamah semasa kes saman disebutkan.

Contoh, Rosmah (bukan nama sebenar) disaman untuk hadir ke Mahkamah pada 21/05/2014 kerana didakwa melakukan kesalahan memandu melebihi hadlaju. Pada 21/05/2014 Rosmah tidak hadir ke Mahkamah, maka Mahkamah jika berpuashati bahawa saman telah diserahkan kepada Rosmah, boleh mengeluarkan WARAN TANGKAP untuk memastikan Rosmah hadir ke Mahkamah menjawab pertuduhan. Mahkamah kemudian akan menetapkan tarikh sebutan baru bagi pihak Polis menguatkuasakan Waran Tangkap membawa Rosmah hadir ke Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan.

Prosedur berkaitan Waran Tangkap diperuntukkan dengan jelas di dalam Kanun Tatacara Jenayah (Criminal Procedur Code) di dalam Bahagian III Seksyen 38 - Seksyen 43.

Seksyen 42 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan dengan jelas bahawa seseorang yang diserahkan waran tangkap hendaklah dengan seberapa segera dibawa ke Mahkamah.

Section 42. Person arrested to be brought before Court without delay.

The police officer or other person executing a warrant of arrest shall, subject to the provisions of section 39 as to security, without unnecessary delay bring the person arrested before the Court before which he is required by law to produce that person.

Peruntukkan ini amat jelas dan merupakan prosedur khusus berkaitan perlaksanaan sesuatu Waran Tangkap.

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena datang seorang hamba Allah yang memegang jawatan Ketua Pasukan Trafik Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap akan dilokap sehingga mereka menyelesaikan waran tangkap. Peruntukkan undang-undang negara mana Ketua Pasukan Trafik tersebut guna. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Menyelesaikan Waran Tangkap.

Seperti yang saya sebutkan di atas tadi, waran tangkap ialah perintah tangkapan seseorang yang gagal hadir Mahkamah. Seksyen 40 Kanun Tatacara jenayah memperuntukkan

Section 40. Warrants, to whom directed.

(1) A warrant of arrest shall ordinarily be directed to the Inspector General of Police and all other police officers of Malaysia, and any police officer may execute the warrant in any part of Malaysia.

(2) The Court issuing a warrant may direct it to any person or persons by name not being police officers and all or any one or more of such persons may execute the same.

Berdasarkan peruntukkan Seksyen 40, tugas menyelesaikan Waran Tangkap adalah tugas Polis kerana Waran Tangkap dikeluarkan kepada Polis untuk Polis menguatkuasakan dengan menangkap orang yang kepadanya Waran tersebut dikeluarkan.

Jika Ketua Pasukan Trafik menyatakan bahawa akan ditahan di lokap sehingga waran tangkap diselesaikan, maka saya sebutkan di sini bahawa yang perlu ditahan di lokap ialah Polis bukan pesalah trafik kerana tugas menyelesaikan waran tangkap ialah tugas Polis bukan tugas pesalah trafik.

ADAKAH POLIS SUDAH MENJADI ALONG PEMUNGUT HUTANG ATAU PENGUATKUASA UNDANG-UNDANG?

Soalan ini kembali merujuk kepada kenyataan tidak berundang-undang dari Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman. Apabila beliau mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan yang tidak mengikut prosedur perundangan, maka sama saja tindakan beliau seperti along yang mengutip hutang sesuka hati menahan peminjam duit sehingga hutang diselesaikan. Perlu diingat saman trafik bukan hutang. Saman trafik adalah perintah hadir Mahkamah. Orang yang menerima saman tidak bersalah sehingga mereka dibuktikan bersalah di Mahkamah. Selagi tidak diputuskan bersalah, saman itu tiada apa-apa nilai kewangan yang membolehkan Polis memungut hutang.

Akhirnya nasihat saya, jadilah penguatkuasa undang-undang yang mengikut prosedur perundangan bukan sewenang-wenang mengugut seperti orang lain tak tahu undang-undang.

Jangan jadi ketam.

ZULHAZMI SHARIFF
19 MEI 2014

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...