20 Mei 2014

BN SARAWAK DALAM KEADAAN GENTING....APAKAH PUNCANYA!!!


Suasana Genting Selubungi Adenan Akibat Teras?

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Senario politik di Bumi Kenyalang yang lazimnya tenang berkocak akibat tindakan ahli politik daripada dua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak keluar parti dan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang mesra BN.

Meskipun perubahan kerusi tidak mempunyai kesan besar ke atas kedudukan semasa kerajaan negeri yang menguasai lebih daripada dua pertiga majoriti daripada keseluruhan 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), beberapa orang penganalisis politik berkata pucuk pimpinan BN perlu berhati-hati menghadapi senario politik itu.

Semalaman sahaja, Teras, yang didaftarkan pada 28 Ogos 2013 menjadi parti ketiga terbesar di Sarawak selepas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan DAP daripada segi jumlah kerusi DUN.

Sekiranya Teras menyertai BN, parti ini akan muncul sebagai parti komponen BN yang kedua terbesar di Sarawak selepas PBB.

Bagaimanapun, membenarkan anggota BN untuk bertukar parti dan menyertai semula menerusi entiti baru seperti apa yang berlaku dalam Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) mungkin membawa implikasi yang tidak menguntungkan BN.

KRISIS POLITIK SEMASA SARAWAK


Minggu lalu, Presiden SPDP, Tan Sri William Mawan mengumumkan beliau keluar parti dan menyertai Teras yang mesra BN.

Empat lagi mantan wakil rakyat SPDP iaitu Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu) serta Anggota Parlimen Baram Anyie Ngau mengikut jejak langkah beliau.

Mawan dilaporkan mengambil langkah itu bagi mengelakkan berlakunya penentangan dalam SPDP yang diketuai timbalan presidennya, Tan Sri Tiong King Sing.

Pada hari yang sama, Datuk Seri Wong Soon Koh, mantan timbalan setiausaha agung SUPP, juga mengumumkan untuk keluar daripada SUPP kerana krisis dalaman dan menyertai Teras.

Tiga orang lagi wakil rakyat Dayak SUPP menyertai beliau, iaitu Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh), Ranum Mina (Opar) dan Johnical Rayong (Engkilili).



SUASANA GENTING SELUBUNGI ADENAN


Dengan perkembangan terkini politik di Sarawak, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem kini perlu mengambil langkah berhati-hati tanpa menyinggung perasaan mana-mana parti atau menggoyah keseimbangan politik di negeri itu.

"Pada saya, ini satu lagi episod yang Ketua Menteri perlu tangani. Jelas krisis dalaman mungkin memaksa Mawan untuk melakukan sesuatu sebelum disingkir daripada parti.

"Saya fikir ini adalah satu daripada strateginya untuk kekal dalam dunia politik," kata Ketua Politik, Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Arnold Puyoh.

Menurut beliau, satu daripada cabaran untuk Adenan ialah untuk menyatukan pihak yang bertelagah dalam SPDP dan SUPP.

"Saya tak fikir ada penyelesaian kepada apa yang berlaku sekarang kecuali mereka dapat mencari seseorang daripada parti itu yang boleh mendamaikan semua pihak. Soalannya, siapa?" tambahnya.

Dalam masa jangka pendek, mereka mungkin dapat menyelesaikan perbalahan dalaman tetapi untuk jangka masa panjang, ia mungkin lebih rumit.

"Saya tak fikir SUPP dan SPDP akan beralah begitu sahaja terutamanya dalam hal berkaitan dengan peruntukan kerusi pada pilihan raya negeri akan datang," kata penganalisis politik dan pensyarah kanan UNIMAS, Dr Jeniri Amir.

Besar kemungkinan Teras akan menghadapi tentangan sengit daripada SUPP, SPDP dan kemungkinan juga Parti Rakyat Sarawak apabila parti itu memohon untuk menyertai BN.

Pemangku Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing secara terbuka memberi amaran supaya BN menolak Teras.

Beliau menyatakan tidak akan bersetuju parti itu menyertai BN kerana langkah itu seolah-olah memberi restu dan menggalakkan lebih ramai pemimpin dan ahli parti daripada komponen BN yang tidak berpuas hati, menggugat kestabilan gabungan itu.

Presiden SUPP, Tan Sri Dr Peter Chin turut menyatakan pendirian parti itu akan menentang hasrat Teras untuk menyertai BN.

Jadi apakah nasib Mawan, Wong dan pengikut-pengikut mereka dalam Teras?

KEMBALI KEPADA FORMULA PLUS BN

Keadaan ini membuatkan Dr Jeniri percaya perkembangan terkini itu menunjukkan formula asal yang digunakan Adenan untuk menyelesaikan krisis dalaman SPDP dan SUPP tidak diterima dengan baik.

Oleh yang demikian, mereka akan kembali kepada formula lama, formula 'BN Plus'.

Formula 'BN Plus' digunakan oleh Ketua Menteri pada masa itu, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sewaktu pilihan raya negeri tahun 1983 bagi menyelesaikan konflik antara Parti Nasional Sarawak (SNAP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), kedua-duanya komponen BN.

PBDS diwujudkan oleh satu golongan yang keluar daripada SNAP dan mahu bertanding kesemua 16 kerusi yang diperuntukkan kepada SNAP.

Di bawah formula itu, kedua-dua parti dibenar menggunakan simbol mereka sendiri untuk bertanding, melawan satu sama lain, meskipun kedua-duanya komponen BN di kawasan pilihan raya yang dipertikaikan.

Akhirnya, SNAP dan PBDS, masing-masing memenangi lapan kerusi.

LANSKAP POLITIK YANG BERUBAH

Bagaimanapun, sesetengah pemerhati politik dan sumber dalaman parti berhujah, lanskap politik di Sarawak telah banyak berubah sejak tahun 1983.

Pilihan raya negeri yang terakhir pada 2011 menunjukkan ada risikonya jika kepimpinan BN mahu mendokong formula yang sama sekali lagi.

Sumber dalaman parti memberi contoh, Mawan memenangi kerusi DUN Pakan dengan hanya 1,197 undi dan sekiranya ada pertandingan antara Teras, SPDP dan PKR untuk kerusi itu, BN boleh kalah.

Sama juga untuk Bawang Assan yang pada masa ini dikuasai Wong. Kerusi itu secara tradisinya milik SUPP dan jika Teras bertanding untuk kerusi itu menentang SUPP dan DAP, peluang DAP menawannya adalah tinggi memandangkan BN hanya menang dengan 1,808 undi.

Tambahan, Pilihan Raya Umum ke-13 dan Pilihan Raya Kecil Sibu menunjukkan sokongan untuk BN di kedua-dua kawasan pilihan raya semakin berkurangan.

"Bayangkan jika Teras memutuskan untuk bertanding menentang SUPP di Senadin, yang BN (menerusi SUPP) menang dengan hanya 58 undi. Sudah pasti kerusi itu akan jatuh kepada PKR (pembangkang), bukan BN-SUPP atau Teras yang mesra BN," kata satu sumber dalaman parti yang tidak mahu diberitahu identitinya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...