15 Mac 2014

Naib Pengerusi Wanita MCA Meninggal Dunia


Oleh: BERNAMA


Lim Bee Kau.

ALOR SETAR: Naib Pengerusi Wanita MCA Kebangsaan Datuk Lim Bee Kau meninggal dunia pada Sabtu selepas lebih tujuh tahun menghidap kanser ovari.

Lim, 58, yang juga Ketua Wanita MCA Kedah, meninggal dunia pukul 4.30 pagi di Hospital Ampang, Selangor.
Seorang saudara Lim, Chin Hooi Choo, 57, berkata Lim dimasukkan ke Hospital Ampang sejak 3 Mac lalu dan penyakit kansernya sudah berada pada peringkat ketiga.

"Semalam (Jumaat), doktor telah memanggil semua anggota keluarga. Sejak pukul 10 pagi semalam, beliau sudah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia 4.30 pagi tadi," katanya kepada pemberita di kediaman mendiang di Taman Golf di sini Sabtu.

Beliau berkata mendiang dikesan menghidap kanser ovari sejak 2006 dan doktor memaklumkan pesakit kanser itu yang berada pada tahap ketiga boleh hidup sehingga lima tahun.

Mayat Lim, yang dibawa ke Taman Golf petang ini, akan disemadi di Nian En Memorial Park di Kebun 500, Pokok Sena Rabu ini.

Lim merupakan anak sulung daripada empat beradik dan tidak berkahwin.

Beliau pernah menjadi Anggota Parlimen Padang Serai selama dua penggal selepas menang dalam pilihan raya umum 1999 dan 2004.

Sementara itu, bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Chor Chee Heung berkata kematian Lim merupakan satu kehilangan besar kepada MCA kerana beliau merupakan seorang yang kuat semangat dalam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap parti.

"Saya kenal dia sejak 1981 dan kami bersama-sama bekerja untuk parti. Semangat dia kuat. Kalau ikutkan, dia sakit sejak 2006 tetapi dia masih aktif dengan parti dan menjadi Ketua Wanita MCA Kedah, jawatan yang dipegang sejak 2004," katanya.

Beliau pernah menjadi Naib Pengerusi Wanita MCA Kebangsaan bagi penggal 2005-2008 dan 2008-2011 serta kembali memegang jawatan itu bagi penggal 2013-2016 setelah menang pada pemilihan parti akhir tahun lepas.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...