18 November 2013

Pemimpin Sabah, Sarawak baru sedar keangkuhan UMNO




 Ideologi perkauman dan polisi ekstremis menjadikan UMNO tuan, sementara yang lain tunduk menyebabkan wujud pergeseran bukan sahaja antara Putrajaya dengan Sabah dan Sarawak malah antara rakyat biasa di Malaysia, terutama bukan Melayu dan bukan Muslim.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing mendakwa sikap pemimpin UMNO adalah penyebab wujudnya pergeseran antara Putrajaya dan Kerajaan Negeri Sarawak yang mahu pemimpin Sarawak dan Sabah harus mentaati mereka.

Katanya, serangan mengejutkan terhadap pemimpin UMNO menunjukkan rakyat Sabah dan Sarawak mula menyedari mereka tidak diberi penghormatan sepatutnya malah dieksploitasi.

“James menyalahkan pemimpin muda UMNO kerana kurangnya kefahaman terhadap Perjanjian Malaysia dan bagaimana Persekutuan Malaysia dibentuk dan mencadangkan UMNO mempelajari semula sejarah Malaysia dan autonomi khas yang dinikmati Sabah dan Sarawak.

“Sebaliknya, ideologi perkauman dan polisi ekstremis UMNO yang memberi hak kepada UMNO menjadi tuan sementara yang lain tunduk mewujudkan pergeseran bukan sahaja antara Putrajaya dan Sabah/Sarawak malah antara rakyat biasa di Malaysia terutamanya yang bukan Melayu dan bukan Muslim.

“Apa yang lebih menarik, kekecewaan James terhadap sikap pemimpin UMNO yang suka merendah-rendahkan rakyat Sabah dan Sarawak kerana tidak dilayan sebagai rakan kongsi saksama dalam pentadbiran Persekutuan membuatkan kami menyampah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan James tepat apabila menyifatkan UMNO sebagai bongkak, sambil mengatakan bahawa isu yang merenggangkan pertalian negeri dengan Persekutuan termasuk keputusan Kementerian Dalam Negeri menghalang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Kristian.

Katanya, ini menambahkan kemarahan 1.6 juta penganut Kristian di Malaysia Timur terhadap Putrajaya kerana ia dilihat rakyat di kedua-dua negeri itu sebagai melanggar perkara pertama dalam syarat yang diberikan Sabah dan Sarawak ketika Malaysia ditubuhkan.

“Walaupun James mengambil masa hampir 30 tahun usia politiknya untuk menyedari keangkuhan UMNO terhadap Sabah, Sarawak dan Malaysia secara umum, sebenarynya lebih baik lambat asalkan selamat daripada tidak sedar langsung.

“DAP menawarkan kerjasama dengan pimpinan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi mengatasi keangkuhan UMNO dengan memastikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi saksama dalam Persekutuan Malaysia tidak berakhir sebagai sekadar hubungan antara tuan dan hamba seperti sewaktu penjajahan British.

“DAP sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi menuntut kenaikan royalti minyak dan gas daripada kadar 5% sekarang kepada 20% serta mengakhirkan polisi kabotaj.

“Masanya sudah tiba untuk mengembalikan kekayaan asli serta memastikan pelaksanaan segera dan sepenuhnya polisi ‘1Malaysia, 1Harga’ yang akan memberikan peluang saksama kepada semua agar rakyat di Sabah dan Sarawak tidak lagi didiskriminasi dengan terpaksa membayar harga tinggi berbanding rakyat di Semenanjung Malaysia,” tambahnya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...